GL THE MAN AWARDS 2025, “THE STYLE HERO”-NOH SALLEH
Teks & temu bual, SHAKIF MD NOOR
NOH SALLEH, PENERIMA “THE STYLE HERO” TELAH LAMA MEMBUKTIKAN BAHAWA GAYA YANG TULEN DAN AUTENTIK TIDAK PERNAH LAPUK DITELAN ZAMAN. DARI AWAL KEMUNCULAN DALAM DUNIA MUZIK INDIE HINGGA KE HARI INI, GAYA PERIBADINYA KEKAL RELEVAN. DIA BERANI, BERBEZA DAN PENUH KARAKTER. TERINSPIRASI OLEH PERJALANAN SENINYA, NOH SALLEH TERUS MEMBERI IMPAK BUKAN HANYA DALAM MUZIK, TETAPI JUGA SEBAGAI IKON GAYA LELAKI.
Bagaimana anda menggambarkan diri anda hari ini berbanding lima tahun lalu?
Hari ini, saya merasakan diri saya jauh lebih kuat. Ada satu kesedaran yang tumbuh. Bahawa kita tidak perlu hidup semata-mata untuk memuaskan hati semua orang. Dahulu, saya sering mencari makna kepuasan dengan memenuhi harapan orang lain, tetapi kini saya merasa lebih bebas. Saya berada di satu fasa kehidupan yang lebih tenang dan penuh kesyukuran. Noh Salleh hari ini lebih memahami makna kebebasan dan ketenangan diri. Sesuatu yang belum benar-benar saya temui lima tahun lalu, ketika saya masih mencari erti kepuasan yang sebenar.
Apakah risiko terbesar yang pernah anda ambil dalam kerjaya, dan bagaimana hasilnya?
Kalau diimbas kembali, risiko terbesar yang pernah saya ambil adalah pada tahun 2005, ketika saya ‘melarikan diri’ dari rumah untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Tanpa restu penuh daripada ibu bapa. Saya datang ke sini tanpa sebarang jaminan, tanpa tahu apa yang menanti di hadapan. Namun, saya berpegang pada gerak hati bahawa rezeki saya ada di sini.
Alhamdulillah, keputusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila saya berjaya menapak dalam industri muzik dan memenangi Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 2007. Itulah taruhan paling besar dalam hidup saya. Meninggalkan keluarga demi mengejar impian. Dan dari situlah segalanya bermula.
Di luar kerjaya, apakah perkara yang paling anda minati?
Dulu, saya gemar menunggang motosikal. Ia memberi saya satu rasa kebebasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Saya juga minat dengan culinary travel. Walaupun saya bukan jenis yang terlalu obses mencari makanan. Kadang-kadang, saya sendiri akui, semangat saya datang dan pergi… hangat-hangat tahi ayam, orang kata. Selain itu, saya juga gemar berlari. Bagi saya, sukan dan aktiviti luar bukan sekadar hobi, tapi satu cara untuk melepaskan tekanan dan mencari keseimbangan dalam hidup, terutamanya dalam dunia hiburan yang penuh dengan hiruk-pikuk dan tuntutan emosi.
Apakah erti ‘good style’ buat anda sebagai seorang lelaki?
Bagi saya, gaya yang baik bukan tentang kesempurnaan. Ia tentang keseimbangan antara sisi ‘raw’ dan kekemasan. Ada unsur rugged, ada elemen streetwear, tapi tetap kelihatan tersusun. Gaya sebenar bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat; ia lahir secara semula jadi. Ada orang yang memang dilahirkan dengan aura itu. Dan itulah yang menjadikan mereka unik. Pada saya, good style adalah apabila seseorang tampak effortless, tapi tetap mampu meninggalkan kesan yang mendalam.

Berkait dengan tema #BOSSRecognizeBOSS, bagaimana anda pastikan anda kekal relevan sebagai seorang ‘Boss’ dalam industri hiburan?
Secara jujur, saya sendiri pun tidak pasti bagaimana saya masih bertahan dalam industri ini selama dua dekad. Saya tidak punya formula khas, tiada strategi besar yang dirancang. Saya cuma lakukan apa yang saya rasa betul, dan selebihnya saya serahkan kepada Tuhan. Bagi saya, semua ini adalah rezeki dan anugerah.
Kalau ada satu prinsip yang saya pegang, ia adalah untuk tidak terlalu mencuba. Don’t force it. Bila kita terlalu mendesak, keikhlasan itu mudah hilang. Dan bagi saya, keikhlasan itulah kuncinya untuk terus relevan, untuk terus berkarya dengan jiwa. Sama seperti gaya yang baik, semuanya datang dari effortless sincerity.
Artikel berkaitan: GL THE MAN AWARDS 2025, “STAIL TERBAIK”-IQIE
Tags
Artikel Yang Berkaitan
QAL-G, “LAGU ‘SEPI’ MENANDAKAN LANGKAH RASMI PERTAMA SAYA DALAM INDUSTRI MUZIK.”
"Sejujurnya, saya tidak pernah menjangka akan melangkah sejauh ini, jadi ia merupakan satu kejutan besar dan rezeki," Qal-G.
GL25: TAHUN PENUH PENGARUH, GAYA & EVOLUSI BUAT GLAM LELAKI
GL25: Sepanjang 2025, GLAM Lelaki terus memperteguh naratif lelaki moden menerusi deretan pencapaian dan kolaborasi eksklusif.
AVANT-GARDE & HIGH FASHION DESIGNER “ON YOUR RADAR”
Sorotan pereka avant-garde dan high fashion Malaysia yang wajar diberi perhatian dalam landskap fesyen kontemporari tempatan.
JAMES JIRAYU: BINTANG THAILAND YANG TERUS MENAWAN ASIA, KINI MEMASUKI FASA KEHIDUPAN BAHARU
GLAM Lelaki mencipta sejarah dengan bintang Thailand pertama menghiasi muka depan. Istimewa penutup 2025, GLAM Lelaki tampilkan James Jirayu.
HAKIM PARKER, “JANGAN BERHARAP UNTUK “NASIB BAIK” TANPA USAHA YANG SEBENAR.”
Hakim Parker, content creator dan pengasas podcast ‘Borak Space’ yang membawa gelombang baharu, terus mencorak ruang digital tempatan.
HAZIQ ZULKIFLI, “SAYA IMPIKAN UNTUK MEMULAKAN PERNIAGAAN SENDIRI.”
Haziq Zulkifli, wajah baharu dalam dunia penciptaan kandungan digital, mungkin masih baru tetapi penuh potensi. Kenali Haziq Zulkifli.











