INSPIRASI DAN KISAH ROMANTIS MUHAMAD KHALID, PEMUDA KELANTAN DI BUMI KOREA
Muhamad Khalid Bin Ismail mulai tular dan hangat diperkatakan netizen selepas dirinya muncul di sebuah rancangan terbitan stesen televisyen Korea Selatan sekitar bulan Februari yang lalu, menerangkan keunikan yang terdapat di Malaysia. Fasih berbahasa Korea namun masih mengekalkan jati diri sebagai seorang anak Malaysia, keperibadian yang ada dalam dirinya meraih perhatian dan pujian terutama sekali rakyat di Malaysia.
Tidak ubah seakan ‘duta’ negara di sana, beliau yang sudah menetap lebih 10 tahun di sana, khabarnya sudah pun mendirikan rumah tangga dengan menikahi gadis idamannya. Beliau juga kini dalam perancangan untuk memekarkan lagi nama Malaysia di sana. Atas sebab itu, GLAM Lelaki terpanggil untuk menghubungi Muhamad Khalid sendiri. Teruskan membaca temubual eksklusif kami bersamanya.
GLAM LELAKI: Boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai diri anda terlebih dahulu.
MUHAMAD KHALID: Terima kasih kepada pihak GLAM Lelaki kerana sudi menghubungi saya. Baiklah, nama saya Muhamad Khalid Bin Ismail dan saya berasal dari Kota Bharu. Saya merupakan anak ketiga dari enam adik beradik. Saya lahir pada 19 Jun 1988. Sekarang, saya bekerja sebagai peruding perniagaan dalam bidang trading dan supply chain di syarikat saya sendiri di Korea. Saya juga menawarkan khidmat perjalanan kepada rakyat Malaysia yang datang ke Korea sebagai perunding perlancongan tempatan.
GLAM LELAKI: Ramai yang tertanya bagaimana anda boleh sampai ke Korea suatu ketika dahulu?
MUHAMAD KHALID: Saya menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan setelah mendapat biasiswa daripada JPA dan alhamdulillah saya telah mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan mekanikal dari Korea University pada Februari 2012.
GLAM LELAKI: Kenapa memilih Korea?
MUHAMAD KHALID: Masa saya memilih untuk datang ke Korea pada tahun 2007, saya merasakan Korea lebih dikenali dan disukai ramai dengan tahap ekonomi dan teknologinya terus berkembang pada masa itu. Malah saya percaya negara tersebut bakal menjadi tumpuan ramai pada masa hadapan dan tanggapan saya itu ternyata benar, walhal saya bukanlah peminat K-pop atau Korean drama. In fact, in Korea everything changes fast!. Bayangkan, hari ini kita pergi ke sebuah kedai menjual baju, minggu hadapan kedai tersebut sudah menjadi restoran atau kedai menjual aksesori telefon. Mereka sangat cepat membuat keputusan dalam skop peluang pekerjaan. Malah, saya lihat orang Korea ini mempunyai etika yang tinggi. Kalau di sini (Korea), kita tidak risau untuk tinggalkan telefon pintar atau walet di atas meja makan.
GLAM LELAKI: Anda tular di laman-laman sosial baru-baru ini selepas muncul di sebuah rancangan terbitan stesen di Korea berjudul Abnormal Summit menerangkan keunikan negara Malaysia. Tindakan anda seakan mengharumkan nama Malaysia. Pernah terfikir atau tidak anda akan tiba-tiba popular di Malaysia (termasuk di Korea). Bagaimana anda boleh terlibat dalam rancangan tersebut dan apa perasaan selepas tiba-tiba saja dikenali?
MUHAMAD KHALID: Saya sebenarnya dijemput oleh kawan saya untuk menghadiri program itu kerana ia program yang mengumpulkan individu-individu dari negara-negara luar menggambarkan keunikan negara sendiri dan menyampaikannya dalam bahasa Korea. Sejujurnya, memang tak pernah terfikir dan tak menjangka saya akan tiba-tiba popular sebab asalnya saya seorang yang pemalu. But, things change. Orang kata, untuk maju kita kena berani mencuba sesuatu yang baru bukan? Tambahan pula, pada masa itu saya pun baru saja berhenti kerja dari sebuah syarikat dan sedang mempelajari dan mencari peluang-peluang perniagaan. Dah alang-alang dikenali, why not ride the wave!
GLAM LELAKI: Anda boleh berbahasa Korea dengan lancar. Jadi, boleh Khalid kongsikan tip-tip untuk fasih berbahasa Korea?
MUHAMAD KHALID: Untuk mempelajari asas bahasa Korea, sememangnya kita perlukan latihan yang berterusan selama 4-5 tahun. Namun setiap orang ada keupayaan masing-masing. Mungkin berbeza kalau individu itu benar-benar meminati bahasa dan budaya Korea pasti akan lebih cepat. Dalam kes saya, selepas habis belajar bahasa di pusat bahasa, saya amalkan untuk sentiasa bergaul dengan orang-orang Korea. Secara tidak langsung, kita akan berlatih dan itu adalah cara terbaik untuk mempertingkatkan bahasa dan pada masa yang sama mengenali budaya Korea. Malah saya selalu menyertai acara dan sambutan yang diadakan di sekitar Seoul. Peluang berjumpa masyarakat di sana membolehkan saya mempratiskan kefasihan dalam percakapan dan perbualan. Namun tidak dinafikan kalau ada teman wanita Korea, pasti lagi cepat nak pandai.
GLAM LELAKI: Anda sudah menamatkan zaman bujang dengan seorang wanita Korea. Boleh ceritakan serba sedikit bibit-bibit perkenalan dengan gadis tersebut, dan ciri-ciri yang ada pada dirinya sehingga anda bersetuju mengahwininya.
MUHAMAD KHALID: Saya mula mengenali Lee-Seul pada akhir tahun 2014 beberapa hari sebelum tahun baru, sewaktu menghadiri acara bersama-sama teman-teman Korean dan Kanada yang lain. Sebelum balik, terdetik di hati untuk meminta ID kakaotalk (Korean SMS seperti Whatsapp waktu itu) dia tetapi tidak pernah pun menghubunginya. Entah macam mana suatu hari, saya tersilap hantar masej kepadanya. Sejak dari itu, kami mulai rapat dan merancang untuk berjumpa pada 1 Januari 2015. Yang pasti saya amat selesa dangannya kerana dia memahami saya. Malah, dia suka mendengar cerita dan mencari lelaki yang mempunyai minat dan visi yang sama.
Saya akhirnya memilih untuk berkahwin dengannya sebab dia seorang yang supportive dan matang. Sewaktu saya membuat keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan, saya mengakui agak risau jika dia enggan meneruskan perhubungan ini kerana jika anda ingin tahu, wanita Korea agak memandang status namun dia terus menyokong dan menggalakkan saya untuk teruskan mencapai apa saja impian. Namun yang paling penting, adalah penerimaan dia terhadap Islam. Dia amat menghormati agama saya sewaktu di awal perkenalan malah sanggup untuk belajar menganutinya. Tambahan pula, ini kali kedua dia bertukar agama kerana dia dilahirkan sebagai ‘atheis’ (tiada agama) sebelum dia tukar kepada Kristian.
Dan alhamdulillah, saya sudah bernikah dengannya di Masjid Pusat Seoul, 9 April lalu. Saya juga amat gembira menyaksikan Lee-Seul mengucap dua kalimah syahadah pada 2 April lalu. Yang penting ibu dan bapa saya juga merestui perhubungan saya dengannya kerana saya sudah bawanya menemui kedua ibu dan bapa saya. Insya allah, majlis perkahwinan di tanah air (Kelantan) akan diadakan tidak lama lagi. Semuanya masih lagi dalam perancangan.
GLAM LELAKI: Adakah anda punya apa-apa perancangan untuk mempromosikan Malaysia di sana?
MUHAMAD KHALID: Perancangan secara khusus itu tiada tetapi saya terbuka untuk memenuhi jemputan atau program mempromosikan Malaysia di sini (Korea). Malah, saya sendiri selalu menceritakan tentang keunikan Malaysia dan mencadangkan rakan-rakan dan masyarakat di sini untuk datang melawat dan melancong ke Malaysia. Saya juga terfikir untuk membuat travel log atau pengambaran video tidak lama lagi. Ya, masih lagi dalam perbincangan.
GLAM LELAKI: Apa-apa perancangan untuk kembali ke tanah air?
MUHAMAD KHALID: Buat masa sekarang, masih belum lagi kerana saya ingin membina tapak dan kerjaya di sini dahulu. Insya allah, mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi.
GLAM LELAKI: Sekiranya diberikan peluang untuk terjun ke dalam bidang seni, apakah anda sudi menimbanginya?
MUHAMAD KHALID: Why not, im always waiting for the offer.!
GLAM LELAKI: Kata-kata terakhir buat semua rakyat Malaysia?
MUHAMAD KHALID: Saya amat bersyukur dengan apa yang ditakdirkan untuk saya dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada netizen dan rakyat Malaysia yang banyak beri sokongan dan ucapan-ucapan tahniah kalian.
Foto: Ihsan Muhamad Khalid Ismail
Oleh Wan Mohd Firdaus, 21 April 2017
Tags
Artikel Yang Berkaitan
5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD
Tiada ijazah diperlukan untuk bergelar selebriti berjaya di Hollywood namun lima bintang ini mempunyai latar belakang pendidikan yang mengagumkan.
RENAISSANCE FILEM BY BEYONCÉ DITAYANGKAN DISEMBER INI
Peminat fanatik Beyonce akan berpeluang menonton RENAISSANCE: FILEM BY BEYONCE yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
“USAH RISAU TENTANG KEMASYHURAN DAN KEKAYAAN, IA AKAN DATANG SENDIRI” – DATO’ SRI BERNARD CHANDRAN #GLALPHAMEN2023
Dengan mengangkat tema “Our Heroes” tahun ini, GLAM Lelaki mempersembahkan Dato’ Sri Bernard Chandran sebagai salah seorang Alphamen 2023 yang merupakan seorang pereka fesyen terkenal dan berbakat besar malah digelar sebagai King of Fashion Malaysia.
“JANGAN MUDAH LEKA DAN LALAI DENGAN SEGALA IMPIAN YANG INDAH DI LUAR SANA” – TOMOK #GLALPHAMEN2023
Dengan mengangkat tema “Our Heroes” tahun ini, GLAM Lelaki mempersembahkan Tomok sebagai salah seorang Alphamen 2023 yang terus gemilang mewarnai industri muzik tanah air.
“KITA PERLU MENORMALISASIKAN PERBUALAN KESIHATAN MENTAL. HENTIKAN STIGMA SETIAP LELAKI PERLU “SUCK IT UP” ATAU “BE A MAN” – KHOON HOOI #GLALPHAMEN2023
Dengan mengangkat tema “Our Heroes” tahun ini, GLAM Lelaki mempersembahkan Khoon Hooi sebagai salah seorang Alphamen 2023 yang terus unggul meluaskan empayar label fesyennya dalam industri fesyen tempatan dan luar negara.
#NYFW: COOL KIDS DI PERTUNJUKAN COACH MUSIM BUNGA 2024
Coach SS24 menyajikan koleksi penuh dengan jukstaposisi antara dua aspek berbeza, pretty and tough. Jennifer Lopez hadir buat julung kalinya.