KENALI KUMPULAN K-POP GENERASI TERKINI, CORTIS
Sedang hangat dalam dunia K-Pop terkini, kumpulan lelaki baharu di bawah naungan BIGHIT Music, CORTIS menerima perhatian yang besar.
Debut secara rasmi pada 11 Ogos 2025 dengan digital single berjudul What You Want, CORTIS turut melancarkan muzik video pra-debut mereka, GO! pada 11 Ogos 2025. CORTIS terdiri daripada lima ahli iaitu James, Juhoon, Martin, Seonghyeon dan Keonho. Nama CORTIS diambil daripada enam huruf dalam frasa “Color Outside the Lines”. Ia melambangkan komitmen kumpulan ini untuk berfikir secara bebas, tanpa terikat dengan norma dan jangkaan yang ditetapkan oleh masyarakat.
Syarikat utama BIGHIT Music, Hybe Corporation pertama kali mendedahkan rancangan untuk menubuhkan kumpulan lelaki baharu pada April 2025. Pada Jun 2025, tarikh debut bulan Ogos diumumkan oleh BIGHIT. Ahli kumpulan serta nama rasmi CORTIS diumumkan pada 14 Julai dan 7 Ogos 2025. Mereka secara rasmi memulakan karier dengan pelancaran lagu What You Want pada 18 Ogos, yang menjadi single utama untuk EP pertama mereka Color Outside the Lines. EP tersebut kemudiannya dikeluarkan pada 8 September bersama single ketiga mereka, Fashion.
Kumpulan baharu dari syarikat yang sama dengan BTS dan TXT ini bukanlah biasa-biasa. Walaupun masih muda, mereka mempunyai pengalaman yang amat luas dari segi koreografi dan pembikinan lagu. Selain daripada bakat mereka dalam dunia muzik, CORTIS turut diminati kerana personaliti mereka yang kelakar dan cukup melambangkan Gen Z masa kini.
Kenali Ahli-Ahli CORTIS
Martin
Martin, atau nama sebenarnya Martin Edwards (Park Woo-joo), dilahirkan pada 20 Mac 2008 dan merupakan ketua kumpulan CORTIS. Berbangsa Kanada-Korea, Martin mempunyai ketinggian 190.5 cm dan darah jenis O. Dia menyertai BIGHIT Music sekitar tahun 2019 hingga 2020. Sebelum debut, dia menjadi sebahagian daripada koir kanak-kanak di Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018. Lagu kegemarannya dalam EP COLOR OUTSIDE THE LINES ialah “What You Want”, dan dia terlibat dalam semua lima lagu dalam album tersebut serta turut menyumbang kepada koreografi buat lagu “GO!”. Selain aktif dalam kumpulannya, Martin juga pernah menghasilkan lagu untuk artis-artis besar seperti TXT, ILLIT, LE SSERAFIM dan ENHYPEN.
James
Zhao Yufan, lebih dikenali sebagai James dilahirkan pada 14 Oktober 2005 dan berasal dari Hong Kong, namun membesar di Taiwan. Berdarah campuran Thai dan Cina, dia pernah menjadi ahli kumpulan Trainee A sebelum debut bersama CORTIS. James fasih berbahasa Thai, Cina, Korea, Inggeris dan Jepun. Dalam EP COLOR OUTSIDE THE LINES, dia terlibat dalam tiga lagu iaitu “GO!”, “JoyRide” dan “Lullaby”, serta turut menyumbang kepada koreografi lagu “GO!”. James juga pernah menghasilkan lagu untuk TXT dan ILLIT.
Juhoon
Juhoon dilahirkan pada 3 Januari 2008 di Seoul, Korea Selatan. Pernah menjadi model kanak-kanak dan bermain dalam pasukan bola keranjang remaja, Juhoon kini dikenali sebagai salah seorang ahli CORTIS. Dia fasih berbahasa Korea dan Inggeris serta menyertai BIGHIT Music sebagai trainee pada tahun 2023. Dalam EP COLOR OUTSIDE THE LINES, Juhoon terlibat dalam pembikinan empat lagu iaitu “GO!”, “What You Want”, “FaSHioN” dan “JoyRide”. Sama seperti Martin dan James, Juhoon turut membantu dalam koreografi lagu “GO!”. Dikenali dengan tabiat bertanya kepada ahli lain tentang makanan setiap hari, Juhoon juga disebut oleh Martin sebagai ahli yang paling kuat makan.
Seonghyeon
Seonghyeon, atau nama sebenarnya Eom Sung-hyun, dilahirkan pada 13 Januari 2009 di Seo-gu, Daejeon, Korea Selatan. Menyertai BIGHIT Music pada tahun 2021, Seonghyeon telah menjalani latihan selama kira-kira lima tahun. Dalam EP COLOR OUTSIDE THE LINES, dia terlibat dalam semua lima lagu dan turut mengambil bahagian dalam koreografi lagu “GO!”. Seonghyeon gemar menonton filem, bermain bola keranjang, menunggang skateboard dan berbasikal. Dia juga mempunyai hampir seratus lagu yang dihasilkan semasa menjadi trainee. Dahulu, dia tidak meminati hip-hop atau R&B, namun kini turut menikmati genre pop, hip-hop dan jazz.
Keonho
Ahli termuda CORTIS ini dilahirkan pada 14 Februari 2009 di Suwon, Korea Selatan. Keonho menyertai BIGHIT Music pada tahun 2021 dan pernah menjadi perenang yang meraih kedudukan teratas semasa di sekolah rendah. Dikenali dengan personaliti ceria dan jujur, dia menganggap ahli yang lebih tua pelik tetapi dengan cara yang menyeronokkan. Dalam EP COLOR OUTSIDE THE LINES, Keonho terlibat dalam empat lagu. “GO!”, “What You Want”, “FaSHioN” dan “JoyRide”. Dia turut membantu dalam koreografi lagu “GO!”.
Pautan berkaitan:
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.