Perjalanan seni seorang seniman punya berbeza motivasi. Ada yang memburu kerjaya seni kerana sememangnya lahir dalam keluarga seni. Ada yang menekuni ilmu seni kerana minat yang wujud dengan sendirinya, dan ada pula yang tergerak untuk mendalami cabang seni kerana dianugerahkan bakat semula jadi. Tak kurang juga mereka yang berlakon atau menyanyi kerana dahagakan populariti.

Bagi Alvin Chong, 28, penglibatan awalnya dalam bidang seni adalah semata-mata untuk mencari rezeki untuk membantu keluarga. Dilahirkan dan membesar di Pulau Pinang, Alvin sudah dipupuk dengan etika kerja yang serius sejak kanak-kanak lagi. “Semasa kecil, situasi orang tua saya kurang bernasib baik – my parents went bankrupt when I was a child,” Alvin membuka perbualan. Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, sudah tentu tanggungjawab untuk membantu ibu bapanya jatuh di bahu Alvin. “Jadi sejak usia tujuh tahun lagi, saya sudah mula bekerja, dengan membantu bapa saudara saya di kedai runcitnya. Susun produk, letak tanda harga, jaga kaunter…sehinggalah umur 15 tahun bila saya mula membuat kerja part-time di luar.”

McDonald’s, Starbucks, Nu Skin, membantu ejen insurans mencari contact, itu adalah antara kerja-kerja yang Alvin lakukan sebagai sumbangan untuk sara hidup keluarga. Namun, pabila usianya mencecah 16 tahun, Alvin terserempak dengan satu cabang kerja yang bakal merubah hala tuju hidupnya secara signifikan. “Saya berkunjung ke kafe-kafe dan terlihat orang menyanyi di situ. Jadi saya pun mula bertanyakan gaji mereka.”Alvin dapati gaji untuk menyanyi di kafe sebegitu jauh lebih tinggi daripada pendapatannya di restoran fast food. “Jika dikira, di McDonald’s saya dibayar RM3.50 sejam. Bermaksud, setelah lapan jam bekerja, pendapatan saya hanya RM24, paling tinggi pun mungkin RM30,” jelas Alvin. “Tapi menyanyi di kafe itu bayarannya RM60 untuk hanya tiga jam bekerja.”

Bila difikirkan, bekerja untuk masa yang lebih terhad pada bayaran yang lebih tinggi merupakan satu keputusan yang logik. “Kala itu, saya mahu mencuba pun bukan sebab saya nak jadi penyanyi. Tapi sebab nak cari duit,” luah Alvin lagi. “Jadi saya pun pergi temu duga, dan ditawarkan harga paling rendah, yakni RM45 untuk tiga jam. Saya pun terima je.”

Dari situ, Alvin menggunakan menyanyi sebagai punca rezekinya dan mula mendapat job menyanyi di majlis-majlis perkahwinan selain memasuki beberapa pertandingan nyanyian berskala kecil. “Biarpun hadiahnya hanya RM1,000 tunai, bagi seorang pelajar seperti saya ketika itu, jumlah itu amat besar,” Alvin mengimbas kembali zaman belasan tahunnya.

TEKS ASAL: ABDUL AZIZ DRAIM

Untuk bacaan seterusnya, dapatkan edisi GLAM Lelaki Februari 2020 yang kini sudah berada di pasaran.