Skip to content

PERJALANAN ZARIF GHAZZI MENJADI ANAK SENI

Kongsikan artikel ini

Zarif Ghazzi adalah seorang pelakon muda yang bersemangat dan berjiwa besar. Dengan perjalanan penuh liku dari Johor ke Kuala Lumpur untuk mengejar impian. Dalam setiap projek, Zarif membawa keunikan tersendiri, menjadikan dirinya sebagai salah satu bintang yang patut diberi perhatian dalam dunia seni dan fesyen tempatan.

Zarif Ghazzi

Bolehkah Zarif Ghazzi berkongsi sedikit tentang perjalanan ke dalam industri hiburan dan komersial? Apa yang memberi inspirasi kepada Zarif untuk bermula?
Sebagai anak Johor yang mengimpikan untuk menjadi anak seni, perjalanan saya tidak mudah. Saya perlu berulang-alik dari Johor ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sesi casting, pembacaan skrip, dan pelbagai proses lain dalam dunia seni. Walaupun tidak semua peluang berpihak kepada saya, saya tetap berusaha tanpa putus asa. Minat sejak kecil menjadi inspirasi utama saya. Saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat, dan usaha pasti akan membuahkan hasil.

Bagaimanakah anda menerangkan gaya peribadi anda? Adakah ia berkembang dari masa ke semasa?
Gaya peribadi saya sering dipengaruhi oleh persekitaran saya. Ia telah berkembang mengikut masa, dan saya lebih gemar mendekatkan diri dengan individu yang matang kerana ia banyak membantu saya dalam membentuk pemikiran dan personaliti.

Bagaimanakah Zarif Ghazzi sentiasa mengikuti trend dan stail fesyen terkini?
Secara jujurnya, saya tidak terlalu mengikuti gaya semasa. Saya lebih suka gaya yang ringan dan sederhana seperti T-shirt hitam dan seluar jeans. Nasihat ibu saya juga menjadi pegangan, iaitu sentiasa berpakaian sopan dan menutup aurat. Jika saya berpakaian bertema, ia biasanya untuk keperluan kerja.

Bolehkah Zarif kongsi tentang kerja yang tidak dapat dilupakan?
Setakat ini, semua pengalaman di set kekal sebagai memori indah buat saya. Sebagai pelakon baru, setiap pengalaman, seperti bertemu dengan pelakon dan kru produksi serta bekerja dari awal pagi hingga larut malam, menjadi kenangan manis.

Projek terkini?

  • Antara 2 Syurga – TV3
  • Persis Boneka – Viu
  • Berbagi Suami – Astro Ria
  • 1000 Tahun – Astro Ria
  • Warrior & Redbull – Iklan Raya

Apakah nasihat anda kepada bakal pelakon yang ingin mengembangkan kehadiran mereka?
Walaupun saya masih baru, nasihat saya ialah: pergi casting bukan sekadar untuk diterima, tetapi supaya pengarah dan produksi tahu kewujudan anda. Sentiasa buat kajian tentang watak yang diminta dan hadir dengan penampilan sesuai.

Jangan terlalu memandang sesuatu projek berdasarkan bayaran sahaja, tetapi lihat juga kualiti dan pengalaman yang bakal diperoleh. Hormati semua orang di set, ikut umur, bukan pangkat. Paling penting, jaga percakapan dan elakkan berkongsi hal peribadi dengan sembarangan.

Siapakah stail ikon pilihan Zharif Ghazzi?
Bagi saya, Alif Satar adalah ikon yang sangat disegani. Selain berbakat dalam lakonan, keperibadian beliau yang matang tanpa kontroversi menjadi inspirasi saya.

Bagaimanakah Zarif mentafsirkan wanita idaman?
Wanita idaman bagi saya ialah figura yang lengkap, sama ada dalam kerjaya mahupun peribadi. Ciri-ciri yang membuatkan wanita itu istimewa adalah apabila dia menjaga maruah diri, bersikap sederhana, feminin, dan memahami.

Siapakah wanita yang menjadi inspirasi anda?
Sudah tentu, ibu saya. Cara beliau membesarkan kami adik-beradik menunjukkan betapa kuatnya seorang wanita.

Apakah pendapat anda tentang peranan wanita dalam membentuk dunia fesyen dan hiburan?
Fesyen dan hiburan adalah subjektif. Saya percaya elemen dan bakat individu itu lebih penting daripada jantina.

Apa pendapat anda tentang wanita yang berani mencipta trend?
Mereka sangat berani! Tindakan ini menunjukkan keyakinan diri yang tinggi, dan ia memberi inspirasi kepada wanita lain untuk lebih yakin.

Bagaimanakah wanita yang berkeyakinan memberi impak kepada anda?
Saya sangat menghormati wanita yang berkeyakinan tinggi. Keyakinan ini membantu saya semasa bekerja, kerana pendapat mereka sering menjadi panduan penting dalam kerjaya saya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: ASIF AZIZ: BILIONAIRE UBAH BANGUNAN IKONIK LONDON JADI MASJID