PERKEMBANGAN TERKINI ROGER FEDERER SELEPAS BERSARA DARI ARENA TENIS
Lebih dua dekad mendambakan diri dalam sukan tenis, Roger Federer mengumumkan persaraannya pada September 2022.
Keputusan tersebut dibuat selepas pemenang 20 gelaran Grand Slams itu mengalami masalah lutut yang mengehadkan pergerakannya untuk beraksi dengan baik.
“Saya telah bermain lebih daripada 1,500 perlawanan dalam tempoh 24 tahun. Tenis telah memberikan lebih banyak daripada apa yang pernah saya impikan, dan saya sedar saya perlu menamatkan kerjaya kompetitif ini apabila tiba masanya,” kongsinya di Instagram.
Walaupun tidak lagi aktif, kehidupan salah seorang pemain tenis terhebat sepanjang zaman ini tetap menjadi perhatian ramai. Peminat tertanya-tanya adakah Roger kini mencuba haluan kerjaya baru atau memanfaatkan persaraannya dengan berehat panjang.
Ini aktiviti dan pencapaian Roger Federer sejak berundur dari dunia sukan
Hampir Meraih Status Bilionair
Selepas bersara, nilai bersih atlet kelahiran Switzerland itu terus meningkat. Dalam tempoh setahun iaitu dari 1 Mei 2022 hingga 1 Mei 2023, Roger dilaporkan meraih pendapatan sebanyak RM440 juta. Nilai kekayaannya kini melebihi USD550 juta (RM2.5 bilion).
Menurut Forbes, lebih RM600 juta daripadanya adalah wang kemenangan yang diperolehi sepanjang kerjayanya. Sejumlah besar datangnya daripada penampilan khas dan endorsan daripada jenama seperti Rolex, Lindt, Wilson dan On.
Usaha murninya menyaksikan yayasan miliknya, Roger Federer Foundation berjaya mengumpul lebih RM231 juta dan memberi pendidikan kepada lebih 1.5 juta kanak-kanak di Afrika sehingga kini.
Endorsan & Koleksi Fesyen Buat Uniqlo
Menurut Forbes, kontrak endorsan terbesar Roger buat masa ini adalah dengan jenama pakaian Jepun, Uniqlo. Pada 2018, beliau menandatangani perjanjian selama 10 tahun bernilai RM1.4 bilion dan kerjasama itu berterusan sehingga kini.
Pada Ogos 2023, Roger memperkenalkan koleksi fesyen pertamanya yang direka bersama pengarah kreatif Loewe Jonathan Anderson. Melangkaui koleksi topi dan kemeja-T dengan logo RF sebelum ini, koleksi terbaru itu turut menawarkan jaket bulu dan jogger nilon.
Menikmati Kehidupan Di Luar Gelanggang Tenis
Selama hampir suku abad, kehidupan Roger hanyalah berkisar tentang latihan dan kejohanan tenis. Dua tahun selepas bersara, bekas atlet itu dilihat menjalani kehidupan lebih bermakna di samping keluarga.
Pada 2023, Roger memberitahu The Wall Street Journal bahawa dia kini lebih banyak melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga termasuk menghantar empat anaknya ke sekolah.
Peminat juga dapat melihat sisinya yang lebih santai. Pada Julai tahun lalu, beliau naik ke atas pentas konsert Coldplay di Zurich dan bermain shaker. Roger kini juga banyak menghabiskan masa mengembara ke luar negara bersama anak isteri dan ibu bapanya.
Dokumentari Terbaru
Menurut Variety, Amazon Prime Video akan menghasilkan dokumentari yang memperincikan 12 hari terakhir dalam kerjaya Roger. Ia akan turut menampilkan beberapa pesaing profesional utama juara tenis itu termasuk Rafael Nadal, Novak Djokovic dan Andy Murray.
Dokumentari itu akan diarahkan oleh Asif Kapadia yang memenangi Oscar untuk dokumentarinya mengenai Amy Winehouse berjudul Amy.
Foto: Clement Pascal
Pautan berkaitan: KERJAYA TENIS ROGER FEDERER BERAKHIR SELEPAS 24 TAHUN
Tags
Artikel Yang Berkaitan
15 SELEBRITI LELAKI PALING BERGAYA DI WIMBLEDON 2023
Game. Set. Match! David Beckham, Orlando Bloom, Tom Hiddleston dan Roger Federer antara selebriti lelaki yang mencuri perhatian dengan gaya off-court klasik penuh gentleman di Wimbledon 2023.
5 REKOD YANG DIPECAHKAN NOVAK DJOKOVIC SELEPAS KEJUARAAN DI ROLAND GARROS 2023
Novak Djokovic mencipta sejarah tenis selepas menjuarai Roland Garros 2023 buat kali ketiga, gelaran Grand Slam ke-23 keseluruhan memintas Rafael Nadal.
RAFAEL NADAL KINI BERGELAR BAPA BUAT PERTAMA KALI
Juara tenis dunia, Rafael Nadal bersama isterinya, Maria Francisca Perello telah mengumumkan kelahiran anak pertama mereka di Palma de Mallorca, Sepanyol.
KERJAYA TENIS ROGER FEDERER BERAKHIR SELEPAS 24 TAHUN
Lebih dua dekad mendambakan diri dalam arena tenis, Roger Federer mengikut jejak langkah Serena Williams dengan mengumumkan persaraan.
ATLET SUKAN YANG PALING KAYA PADA 2022
Pemain bola sepak Argentina, Lionel Messi mengungguli senarai atlet paling kaya dengan pendapatan melebihi RM 570 juta menewaskan LeBron James dan Cristiano Ronaldo sepanjang 12 bulan yang lalu.
7 PERKARA YANG ANDA MUNGKIN TIDAK TAHU MENGENAI RAFAEL NADAL
Selain dilahirkan right-handed dan menggemari minuman Coca-Cola, legenda tenis Rafael Nadal terkenal dengan mengamalkan beberapa kepercayaan ‘pelik’ ketika berada di atas gelanggang tenis.