Walaupun meraih peluang keemasan, wujud beberapa pihak yang mempertikaikan pemilihannya untuk membuat persembahan pembukaan di konsert Coldplay. Sesetengah peminat meluahkan rasa tidak puas hati di ruangan komen di Instagram pihak penganjur, Live Nation Malaysia. Dengan rasa terkilan Bunga Isme menegaskan ia tidak sepatutnya dipertikai hanya kerana dia seorang artis baru dan kurang berpengalaman.
“Saya tahu ramai yang mempertikaikan kenapa saya menjadi opening act bagi kumpulan Coldplay. Tapi saya akan cuba buat sehabis baik untuk persembahan pembukaan itu nanti.”
Walaupun sesetengah pihak mengecam, masih ramai lagi yang memberi sokongan kepadanya. “Bunga, jika anda membaca ini, saya sangat bangga dengan anda kerana berjaya menjadi opening act untuk konsert Coldplay di Kuala Lumpur nanti. Dari 16 Baris ke pentas antarabangsa, aku bangga!” tulis seorang peminat. Seluruh rakyat Malaysia juga turut berbangga kerana selain berpeluang sepentas dengan kumpulan muzik terkemuka, Bunga Isme juga akan mengekalkan identitinya ketika membuat persembahan dengan menggayakan baju kurung.