Skip to content

SEGALANYA ANDA PERLU TAHU TENTANG MET GALA 2025

SEGALANYA ANDA PERLU TAHU TENTANG MET GALA 2025

Kongsikan artikel ini

Tinggal tiga bulan lagi sebelum berlangsungnya Met Gala 2025, acara fesyen selebriti paling mengujakan dan ditunggu-tunggu setiap tahun. 

Mendapat jolokan ‘Oscars of Fashion’, ia merupakan acara mengumpul dana buat Costume Institute atau secara rasminya dikenali sebagai The Anna Wintour Costume Center — sempena nama Ketua Pengarang Vogue yang menjadi ahli pengerusi gala sejak 1995.

Setiap tahun acara itu menghimpunkan nama-nama terbesar dalam industri muzik, filem, TV dan fesyen. Tahun ini ia dijangka lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

GL kongsikan segalanya mengenai Met Gala 2025

 

Barisan Pengacara

Acara tahun ini akan dihoskan oleh barisan bintang hebat iaitu Colman Domingo, Lewis Hamilton, A$AP Rocky, Pharrell Williams dan Anna Wintour. LeBron James pula bertindak sebagai pengerusi kehormat.

Menghidupkan kembali tradisi dari tahun-tahun lalu, Met Gala 2025 juga akan mempunyai jawatankuasa hos termasuk André 3000, Chimamanda Ngozi Adichie, Jordan Casteel, Dapper Dan, Doechii, Ayo Edebiri, Edward Enninful, Jeremy O. Harris, Branden Jacobs-Jenkins dan Rashid Johnson.

Tidak lupa juga Audra McDonald, Janelle Monáe, Jeremy Pope, Angel Reese, Sha’Carri Richardson, Tyla, Usher, Kara Walker, serta Spike Lee dan isterinya Tonya Lewis Lee.

 

Tarikh Dan Tema

Setiap tahun Met Gala diadakan pada hari Isnin pertama bulan Mei. Tahun ini ia jatuh pada tarikh 5 Mei 2025 dan akan berlangsung di The Metropolitan Museum of Art di New York City. Tema tahun ini adalah ‘Superfine: Tailoring Black Style’, yang dikatakan sebagai ekspresi ‘Black dandyism’.

Foto: Reddit

 

Koleksi Yang Akan Dipamerkan

Diinspirasikan daripada buku Monica L. Miller pada 2009 berjudul Slaves to Fashion: Black Dandyism and the Styling of Black Diasporic Identity, pameran akan dibahagikan kepada 12 bahagian. Setiap satunya mewakili ciri yang mentakrif gaya menarik. Ini termasuk Pemilikan, Kehadiran, Kecemerlangan, Penyamaran, Kebebasan, Kejuaraan, Kehormatan, Hiburan, Warisan, Kecantikan, Ketenangan dan Kosmopolitanisme.

Pameran ‘Superfine’ akan menampilkan koleksi pakaian, lukisan, foto dan pelbagai lagi daripada artis seperti Torkwase Dyson, Tanda Francis, André Grenard Matswa dan Tyler Mitchell yang menerokai gaya Black Dandy dari abad ke-18 hingga ke hari ini.

 

Kod Pakaian Met Gala

Menurut Vogue, kod pakaian tahun ini adalah ‘Tailored for You’. Ia memberi penghormatan kepada fokus pameran iaitu pakaian lelaki dan sut yang pasti akan menyerlahkan kreativiti tetamu pada tahun ini.

 

Foto: Hello! Magazine

Pautan berkaitan: HIMPUNAN GAYA SEGAK & GLAMOR DI MET GALA 2024