Skip to content

HYPE MOTORSPORTS HOTEL KHAS UNTUK KAKI MOTOR

Kongsikan artikel ini

Hotel Hype Motorsports Nilai, Negeri Sembilan merupakan hotel butik pertama di Asia berkonsepkan dunia permotoran sepenuhnya menerusi penampilan imej, gaya dan reka bentuk ruang dalaman dan luarannya. Terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar Nilai yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan asas, hotel ini hanya sejauh 15 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta kira-kira 40 minit perjalanan ke ibu kota Kuala Lumpur.

Ketika ini, Hype Motorsports Hotel Nilai menawarkan 75 bilik yang direka unik berkonsepkan permotoran menerusi susun atur kerusi, katil dan paparan grafik serta gambar berlatarbelakangkan aksi perlumbaan malah memiliki beberapa bilik bertemakan lagenda permotoran dunia seperti pelumba pasukan Ferrari Formula Satu (F1) terkenal, Michael Schumacher selain pelumba motosikal terkemuka, Valentino Rossi, pelumba motocross Tony Cairoli, pemandu rali, Sebastian Loeb dan sebagainya. Bilik legenda dan bilik “premier” dilengkapi dengan kerusi urut “massage chair” untuk keselesaan pelanggan hotel.

Sebanyak tiga jenis bilik ditawarkan iaitu Standard, Superior dan Family yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pendingin hawa kawalan individu, kunci pintu dengan kad sentuh, pengesan asap, akses internet Wi-Fi percuma serta televisyen yang lengkap dengan saluran siaran tempatan, saluran permotoran dan jadual harian penerbangan.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Forte Hospitality Management Sdn Bhd, Johari Mohd Yusof, “Belum ada lagi mana-mana hotel di Malaysia malah di negara Asia yang menampilkan konsep dunia permotoran dan ini peluang terbaik kepada kami untuk memperkenalkan konsep ini julung-julung kalinya kepada rakyat Malaysia dan Asia. Kami juga merancang membuka beberapa lagi hotel berkonsepkan ini di beberapa lokasi strategik seluruh negara sekiranya menerima sambutan baik daripada orang ramai,” katanya.

Majlis pelancaran Hype Motorsports Hotel Nilai ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Promosi), Datuk Sri Abdul Khani Daud. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Datuk Hj. Azizan Noordin yang juga Pengerusi Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA).

Katanya, Malaysia akan menjadi tuan rumah terakhir pada tahun ini menganjurkan Perlumbaan Formula Satu (F1) pada 29 September hingga 1 Oktober 2017 dan pihak hotel juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menawarkan pakej lengkap kepada mereka yang berminat menyaksikan Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix 2017.

Beliau berkata, sebaik sahaja pengunjung melangkah masuk ke ruang lobi hotel ini, mereka tentu sekali akan terpegun apabila melihat konsep permotoran diketengahkan daripada susun atur kaunter lobi, rekaan kerusi dan meja serta yang paling menarik turut menyediakan butik jualan produk berjenama terkenal dalam dunia permotoran.

Melangkah kepada ruang kafe di Paddock Club pula, ia menawarkan pelbagai pilihan hidangan makanan halal, menu popular dalam dan luar negara yang disediakan oleh Chef yang berpengalaman meliputi hidangan sarapan pagi hingga makan malam.

Ruang kafe itu juga boleh diubah suai sebagai ruang untuk apa jua jenis majlis seperti pelancaran produk baru, persembahan, aktiviti berkumpulan membabitkan syarikat korporat mahupun acara untuk seisi keluarga. Malah ruang lobi yang luas itu turut mampu meletakkan apa jua jenis kenderaan atau motosikal untuk tujuan pameran.

Kemudahan lain disediakan termasuk kolam renang di atas bumbung, perkhidmatan menyewa motosikal atau kereta, perkhidmatan mencuci kenderaan atau motosikal kepada penghuni hotel (bergantung kepada terma dan syarat). Kemudahan ‘Pit Stop’ yang terletak dibahagian lobi pula menawarkan pelbagai pilihan barangan cenderahati seperti kemeja-T, topi, rantai kunci, mug dan aksesori asas untuk menunggang atau memandu.

Maklumat lanjut mengenai Hype Motorsports Hotel Nilai, sila layari laman web www.hypenilai.com. Untuk tempahan boleh menghubungi talian 0123796056 atau emel: reservation@hypenilai.com.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 10 Julai 2017

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH

Bacaan Lanjut

RENAISSANCE HOTEL & CONVENTION CENTRE KUALA LUMPUR DIBUKA SEMULA

Bacaan Lanjut
PELAKON KOREA SELATAN, JUNGJAE LEE UNTUK GUCCI VALIGERIA

PELAKON KOREA SELATAN, JUNGJAE LEE UNTUK GUCCI VALIGERIA

Bacaan Lanjut
marina bay sands Singapore

TEROKAI PERCUTIAN MEWAH ERA BAHARU DI MARINA BAY SANDS, SINGAPURA

Bacaan Lanjut

5 SEBAB ANDA PERLU RAI AKHIR TAHUN DI THE CHOW KIT HOTEL

Bacaan Lanjut

ALAMI 2 FESTIVAL PALING UNIK DI THAILAND NOVEMBER INI

Bacaan Lanjut