RIZALMAN IBRAHIM, FASHION ROYALTY

 

DIA MENGGELARI DIRINYA ‘ROYALTY OF THE FASHION INDUSTRY’.  RIZALMAN IBRAHIM MEMENTASKAN PERTUNJUKAN HAUTECOUTUREBYRIZALMAN DALAM SKALA YANG TIDAK PERNAH DILAKSANAKAN OLEH MANA-MANA PEREKA FESYEN TEMPATAN. GL MENGHABISKAN MASA BEBERAPA HARI BERSAMANYA…

GLJune2015

Saya berkongsi tarikh lahir yang sama dengan Rizalman Ibrahim. Tanggal 28 Oktober. Tahun kelahiran kami menurut kalendar Cina juga sama. Saya sering mendengar cerita teman dari majalah lain BluInc yang rapat dengan Rizalman akan perangai dan sikapnya kala bekerja dan sepanjang dia mengenali pereka hebat ini. Kebanyakannya sama dengan sikap saya sendiri. Rizalman terlalu-lalu mementingkan kerjanya. Dia sangat serius kala bekerja. Kalau boleh dia mahu menghampiri tahap sempurna walaupun kini dia akur kadang-kadang ketidaksempurnaan itu yang sering menjadikan hasilnya sempurna. Rizalman juga orang yang sangat berterus-terang. Dia tidak menyimpan apa-apa dalam hati. Apa yang difikirkan dalam minda, itulah yang terlahir di mulut melalui kata-kata. Ada yang akan sanggup menerima. Banyak pula yang menganggap dia bongkak atau suka merendah-rendahkan orang lain. Pun begitu saya tahu niatnya baik. Hanya memberitahu yang benar-benar sahaja. Bercerita dengan jurusolek Fendi Sani yang mengenali Rizalman dari waktu dia bermula sebagai pereka katanya, “Rizalman tak banyak cakap. Dulu di butiknya di BB Plaza, dia akan duduk tekun membuat lakaran bajunya. Tiba-tiba datang dua pereka fesyen tempatan lain ke butiknya itu. Rizalman pun bersuara, ‘Ah tengok-tengoklah. Yang ini satu rak semua aku baru siap jahit. Tirulah kalau nak tiru…’. Dan dia kemudian akan tekun menyambung buat lakarannya kembali.”

Cantik dikatakan cantik. Buruk dikatakan buruk. Cela dikatakan cela. Dia banyak mengundang musuh dan hanya ada beberapa teman rapat yang sering mengelilinginya selain pelanggan dan peminat yang melihat dia sebagai idola. Kenyataannya dia berbintang Scorpio. Dia tidak peduli apa orang fikir atau kata tentang dia. Rizalman Ibrahim hanya mahu berkarya dan masih terus berkarya. Menghargai semua yang cantik-cantik sahaja. Melihat yang indah-indah sahaja. Memakaikan pelanggannya helaian-helaian yang membuat mereka rasa sempurna. Dan paling cantik di majlis-majlis atau keraian yang dihadiri. Selagi dia bebas melakukan ini, dia puas hati. Sehinggalah dia sendiri tanpa sedar sudah meraikan ulang tahun ke 20 tahun ini sebagai pereka fesyen tempatan daripada kumpulan pertama (the original) Malaysia yang masih terus-terusan berkarya, berniaga malah mengembangkan pula kreativiti dan bakatnya bukan hanya dalam seni reka fesyen sahaja tetapi juga ke dalam lapangan hiasan dalaman dan seni bina majlis dan upacara.

1 HB APRIL 2015
SEMINGGU SEBELUM HAUTECOUTUREBYRIZALMAN

Saya di butik Rizalman seminggu sebelum berlangsungnya pertunjukan fesyen Haute Couture by Rizalman. Dia bersama staf-staf dan wakil PR yang menguruskan jemputan sedang sibuk memuktamadkan guestlist dan atur letak tempat duduk. Di ruang pejabatnya yang sungguh memberi ilham, Rizalman duduk di meja besarnya bersebelahan tingkap Perancis. Masing-masing sibuk memberitahu dia nama Toh Puan, Puan Seri, Datin dan socialite mana yang bakal membuat kemunculan. Buyers ditempatkan di barisan pertama. Media di barisan kedua dan ketiga. Pelajar-pelajar fesyen, instagrammer, peminat-peminatnya, pembeli-pembeli buku Backstage (diterbitkan sempena ulang tahun ke 20nya ini) dan aktivis media sosial di baris keempat dan kelima.

Terkadang-kadang dia terjerit menanyakan sesuatu dengan staf-stafnya. Seketika kemudian dia menyalakan rokoknya dan berhenti sambil memikir sebentar. Selebihnya dia senang membuat jenaka-jenaka sinisnya dan pantas membuat orang di sekelilingnya ketawa. Saya hanya duduk memerhati. Memerhatikan gelagatnya. Melihat seluruh ruang pejabatnya yang dihias cantik lagi elegan. Dinding-dinding di belakang mejanya digantung penuh gambar-gambar hitam putih daripada buku Little Black Jacket Chanel. Ruang di sebelah kiri meja adalah tempat beristirahat diletakkan sofa kulit hitam besar dan beberapa armchair. Masuk lagi ke dalam, Rizalman mengkhususkan satu bilik sebagai kamar tidur. Kata stafnya, Rizalman kadang-kadang pabila penat akan berehat atau tidur di situ. Ia juga lengkap kamar mandi untuk menyegarkan diri setelah dia penat bekerja mungkin.

Sedang saya duduk di ‘ruang tamu’ di pejabatnya, Rizalman lalu di tepi dan bertanya, “Eh, dah tengok buku aku?” Memang saya sudah menelek buku tersebut sebaik sampai. “Sudah… cantik konsep dan atur letaknya. Quotes nya juga banyak yang bagus-bagus.” Dia tersenyum sahaja sambil berlalu pergi. Buku coffee table ini diterbitkannya sendiri bagi meraikan ulang tahun ke 20 nya dalam industri. Backstage memaparkan gambar-gambar yang dirakam sepanjang setahun setengah aktivitinya mengembara, menceritakan tentang cetusan idea koleksi dan pertunjukan Haute Couture by Rizalman berserta pandangan, falsafah dan visinya tentang dunia fesyennya. Ia juga bakal dilancarkan sewaktu pertunjukan fesyennya nanti.

6 HB APRIL 2015
HAUTECOUTUREBYRIZALMAN…

Dua hari sebelum pertunjukan, Rizalman sudah mula meletakkan pos-pos di Instagram tentang persediaannya. Pada hari pertunjukan, di luar pintu masuk stadium Chin Woo, kain baldu merah membaluti dinding dari atas hingga ke lantai. Tentulah suasana mewah dan mahal menggantikan atmosfera stadium tua tersebut. Dari ruang masuk hinggalah ke ruang pertunjukan, kain baldu merah digunakan membaluti seluruh ruang. Seluruh ruang stadium Chin Woo seperti berlumur darah.

Seawal jam tiga tetamu sudah mula membanjiri stadium. Pastinya masing-masing seperti tidak sabar lagi menyaksikan sendiri keagungan koleksi Rizalman kali ini. Dua tahun lalu, Rizalman mempersembahkan koleksi Haute Couture eksklusif untuk pelanggan-pelanggannya sahaja di butiknya. Ia mencetus dan menerima respons baik di kalangan pelanggan setianya. Tentulah kali ini dengan skala lebih besar, pelanggan Rizalman lebih tidak sabar menantikan. Sebaik Dayang Nurfaizah, pelanggan juga muse Rizalman mengambil tempat, pertunjukan dimulakan. Latar muzik memainkan irama selaras dengan permainan cahaya menandakan pertunjukan bermula. Satu persatu model keluar memakai rekaan-rekaan hebat Rizalman yang diusahakannya selama hampir setahun setengah. Keseluruhan pertunjukan umpama puisi indah yang menyentuh naluri setiap tetamunya. Dan di akhir pertunjukan, Rizalman keluar dan mengarahkan model-modelnya keluar serentak mengelek buku Backstage ibarat batalion fesyen yang membawa falsafah dan visinya. Tetamu-tetamu keluar dari stadium Chin Woo kelu tidak mampu menggambarkan pengalaman masing-masing dengan kata-kata.

9 HB APRIL 2015
TIGA HARI SELEPAS HAUTECOUTUREBYRIZALMAN…

Rizalman bersetuju dipotret untuk gambar-gambar muka depan tiga hari selepas pertunjukan meganya. Pada hari yang sama, dia dijadualkan membuat penggambaran Pelamin Fantasia untuk Astro. Seharian dia menjalani penggambaran. Jadi kami bertemu dia selepas jam enam petang. Dia meminta diri menyegarkan diri di kamarnya bersebelahan pejabatnya dahulu. Kami berbual sewaktu dia disiapkan oleh Khir Khalid. Juruvideo bersedia di hadapan Rizalman merekod keseluruhan temu bual. Dia memang senang memanggil videographer untuk merekod apa-apa aktivitinya lewat kebelakangan ini. Mungkin ada lagi projek berkenaan dirinya yang dirancang untuk masa depan.

“Selalunya selepas satu-satu pertunjukan, efeknya akan bertahan tiga hari. Terngiang-ngiang di telinga. Post mortem bersama teman-teman rapat. Berangan pula untuk pertunjukan atau projek seterusnya. Dunia fesyen ini cepat kitarannya. NEXT!!!” Begitu Rizalman menjawab tentang perasaannya selepas tiga hari pertunjukan berlangsung. Mei, dia melancarkan pula koleksi Rayanya bersama Zalora. Yang membawa konsep berbeza kerana ia berkisar Istanbul. Penggambaran kempen cetak dan video dilakukan di sana. “Muziknya juga berbeza. Saya suka buat orang dibuai-buai dengan lagu dan muzik pertunjukan saya.” Rizalman masih menganggap pertunjukan hebatnya tempoh hari bukanlah 100 peratus seperti yang dimahukannya. Dari segi teknikal, mungkin hanya mencapai 95 peratus sahaja. “Saya lebih perfectionist sebelum-sebelum ini tapi sekarang saya sudah belajar menerima bahawa ketidaksempurnaan itulah yang membuatkan satu-satu benda itu sempurna.”

Lewat beberapa tahun kebelakangan ini, jadual koleksi Rizalman akan dimulakan dengan koleksi Couture diikuti koleksi Raya bersama Zalora. Katanya dia tidak perlu mengikut musim seperti kalendar fesyen antarabangsa. Couture kemudian Rizalman for Zalora. Banyak pengikut saya yang mahu memiliki koleksi saya tapi tak mampu membeli couture, maka kerana itu untuk memiliki juga saya persembahkan melalui koleksi Rizalman for Zalora. Untuk berterima kasih kepada mereka. Saya tidak ikut kalendar fesyen global. Tapi pengikut saya yang mengikut jadual koleksi saya. “It’s kinda nice. I feel a bit royal in the fashion industry. Compare to the commoner designer. People accommodate you rather than you accommodate people.” Dikatakan ada pelanggan-pelanggan baru couture Rizalman sampai datang membawa hadiah dan offerings untuk mendapat slot dengannya. “Which is nice. I feel a bit more berangan. Royalty. The highest ranking.” Saya mengambil kata-kata Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam foreward nya untuk buku Backstage yang menyebut, “I greatly applaud and celebrate Rizalman for his legendary reputation.”

Rizalman mengambil masa setahun setengah mengumpul dana untuk melangsungkan pertunjukan haute couture ini. Masalahnya ialah dia suka menandingi dirinya sendiri. Melawan pertunjukannya sebelum ini. Bermaksud kos yang lebih besar. “Ia memerlukan kerja keras daripada semua pihak. Ada 180 krew semuanya. Ia seperti mementaskan konsert. My royal concert. Tapi ini hanya untuk 10 minit. Saya kira ia lebih mahal berbanding konsert-konsert besar lainnya. Saya meletakkan diri saya di platform berbeza. Supaya sama dengan royal designers outside.” “Outside?” Tanya saya. “Ya di pentas fesyen antarabangsa.”

Pertunjukan haute couture Rizalman ini adalah yang terbesar dalam sejarah mana-mana pereka tempatan. “Apakah niat utama you membuat pertunjukan ini selain meraikan 20 tahun you dalam industri tentunya?” Rizalman menjawab sejujurnya. Terlalu jujur mungkin hingga saya sendiri takut menulisnya. “Biar saya beritahu. Ada dua sebenarnya. Pertama is to kill everyone. This is a cut throat industry. If you don’t kill you’re gonna be in trouble. Pabila you nampak musuh, you mesti ‘bunuh’ mereka dulu. Tak guna untuk silent chat or whatever. Just kill them first. Kena gunakan senjata yang betul. Silent killing. Pabila mereka tengok, mereka akan rasa macam ‘Ouch… ouch… ouch… Apa yang aku dah buat? Sampai kiamat pun tak boleh tanding.’ Jenama you naik terus. Biar mereka tertinggal jauh. Selepas you dah rasa selamat, baru you beritahu publik ini adalah untuk menjadi case study. Untuk next generation. Untuk mendidik mereka begini caranya untuk menerbitkan satu-satu koleksi.”

Dengan itu, menurut Rizalman seluruh cerita pertunjukannya itu nampak tergubah dengan cantiknya. Memberi perasaan indah buat semua orang. “Saya harus mengaku yang saya bijak dalam memonopoli semua benda. Macam saya cakap dalam buku, fashion manipulate society but I manipulate fashion. Lebih tinggi ranking nya. Kira macam saya Tok Dalang wayang kulit sebenarnya. Mereka akan faham cerita saya dan niat baik saya.” Untuk memperjelaskan lagi kata-kata Rizalman, saya bertanya lebih lanjut, “Maknanya show you itu adalah pistol dengan silencer you?” “Correct. It has to be a serial killer mood as well because you have to keep on killing them. One kill you’re gonna be in trouble. Keep killing them. Keep killing them. If they don’t die, make sure they die. Saya rasa saya dah ‘bunuh’ banyak orang semalam. Saya undang mereka supaya saya boleh ‘bunuh’ mereka.”

“I have always loved good looks, from the moment I saw red curtain in my primary school assembly hall.” Backstage. Ini menerangkan sebab dia membalut hampir seluruh stadium Chinwoo dengan baldu merah. “Merah melambangkan kemenangan, bahaya, kuat dan berkuasa. Ia juga memberi mesej sesuatu bakal dipersembahkan. Pementasan. Kita semua aktor di atas pentas sendiri. Saya tahu you berlakon kadang-kadang. Saya berlakon 24 jam. Di belakang tabir merah, you tak tau saya menjerit, saya marah dan kelam-kabut. Tapi pabila saya keluar di akhir pertunjukan, saya tersenyum. I am loveable. Yang tak elok dan yang indah-indah. Ia menggambarkan senario sebenar dunia fesyen.”

Susunan undangan ke pertunjukan haute couture ini juga saya kira amat menarik. Pelanggan diletakkan di baris pertama. Media di baris kedua dan ketiga. Pembeli-pembeli buku Backstage, instagrammer dan blogger di baris keempat dan kelima. Helaian terjual. Media dapat menyaksikan dan instagrammer juga blogger yang menjadi pemuja Rizalman memberi publisiti percuma kepadanya. Bijak. Rizalman mencakupi semua aspek menjadikan pertunjukannya ‘the most talked about’ – mungkin juga pulang modal. Katanya, “Ya, saya mahu semua lapisan masyarakat datang menonton. Untuk orang fesyen yang dah lama bergelumang, yang dah pakai Birkin macam makan nasi dan bawa Chanel macam bawa beg plastik – biar mereka tengok orang-orang yang kurang mampu. Biar orang yang tak mampu ini terilham menjadi orang fesyen. Saya Raja, Perdana Menteri, nak kata dewa tak boleh berdosa. Saya macam pemimpin United Nations. Kau sombong ya, kau tengok orang tu tak mampu. Oh kau nak pakai Chanel ya, kerja keraslah macam orang tu supaya kau mampu beli. Kesemua perasaan dan sikap manusia ada di pertunjukan ini. Ini adalah pementasannya. Baldu merah itu menceritakan kisahnya. Wow, that was so deep….” katanya berseloroh.

Di akhir pertunjukan, Rizalman mengarahkan batalion fesyennya membawa bukunya. Dia ada mengujarkan sesuatu. Yang saya dengar ialah, “Fashion move!!!” Rupa-rupanya dia menyebut, “I present to you the book.” Tapi kata Rizalman, “Eh ok juga… you tulis fashion move pun bagus juga.” “You rasa you menggerakkan dunia fesyen?” Tanya saya. “Fesyen perlu bergerak. Kalau tak ia akan menjadi stagnant. Akan tiadalah yang klasik, yang tradisional, tiadalah sejarah. Fesyen perlu ikut peredaran masa. Takkan you nak makan nasi ayam saja. Tiga kali sehari. You nak makan yang lain juga kan. Begitulah dengan fesyen. Masyarakat mahukan yang baru di badan mereka setiap masa. Manusia juga punya selera yang macam-macam. Saya perlu beri pilihan kepada manusia-manusia yang lapar ini. Takkan selamanya orang nak pakai ropol, skirt bertingkat net dan kebaya dan kurung sahaja. Jadi jangan salahkan pabila orang kita beli jenama luar. Kalau pereka tempatan kita tak boleh sediakan pilihan yang mereka nak.”

Kerana itu buat pereka-pereka tempatan, Rizalman berpesan supaya sentiasa bersatu hati. Masing-masing perlu ada signature dan keistimewaan sendiri. Bekerjalah sesungguh-sungguhnya. “Daripada merasa hati, kecewa, kecil hati, meniru, gaduh nak bagi artis pakai baju, nak glamor. Ini semua membuang masa. Nilai ringgit itu yang paling penting. Kalau duit tak masuk, macam mana nak ke depan. Saya sendiri perlu bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Selepas 20 tahun. Saya nak tunjukkan yang kalau you kerja keras dan percaya diri, you pun boleh berjaya. Penting untuk saya mainkan peranan dengan cara betul. Supaya orang lain juga boleh mainkan peranan dengan sebetulnya.” Kata Rizalman lagi banyak pereka muda hari ini tidak betul niat untuk menjadi pereka. “You sepatutnya pastikan rekaan you terbentuk cantik di atas badan pemakai dan bercita rasa. Setakat itu sahaja. Lebih daripada itu bukan lagi territory you. Pastikan artisan you juga dibayar setimpalnya. Kerana mereka insan yang bertanggungjawab ke atas rekaan you. Bukan buat baju untuk artis kemudian artis pulang balik. Tak tahu nak buat apa dengan baju itu, buat garage sale. It makes this world looks so cheap darling.

Ditanya apakah dia sedih dengan situasi ini, jawabnya, “Tentu sekali saya sedih. Pabila saya sedih saya marah. Saya perlu marah orang. Saya tak mahu jadi macam Dr Mahathir atau Valentino. Pabila dah bersara baru nak bersuara. Saya akan merengsa walhal saya dah tak ada autoriti untuk menegur lagi. Harapan saya mahu Malaysia menjadi kota fesyen kalaupun tak di mata dunia sekurang-kurangnya di Asia. Saya tak mahu KL jadi macam Zara. Hanya meniru sahaja. Maka musnahlah harapan saya. Menangislah saya. Sebab itu saya cakap pereka Melayu mudah lupa. Rokok please….” jerit Rizalman pada butlernya. Tak sampai lima saat butler nya tak muncul, “Let me call,” sambil tangannya menggoncangkan loceng besar di atas meja. Kling… kling…

Rizalman terkenal bermula dengan menjahit baju kurung dan menjualnya ke pejabat-pejabat kerajaan sekitar Kuala Lumpur. Saya mendengar cerita, dia sanggup naik bas membawa baju-baju kurungnya untuk dihantar. Berbeza sekali permulaannya Rizalman berbanding banyak pereka hari ini. “Bukan berbeza, tapi itu sahaja cara untuk bermula bagi saya. Bukan kata masa itu saya tidak kenal Chanel dan tidak ada cita rasa. Sebab kalau saya nak produce couture gown, cara apa saya nak beli fabrik mewah? Saya baru lepas graduate. Tak ada artisan, embroidery, cutter. Saya tak boleh panggil diri saya couturier. Bukan macam hari ini saya ada 50 artisan di workshop saya.” Bukan juga bermakna Rizalman tidak menyetujui cara banyak pereka hari ini yang bertuah dapat membuat koleksi sendiri daripada dana ibu bapa atau teman-teman. “Boleh berjaya tapi saya masih percaya doa, berkat, usaha dan pengalaman akan buat jadi insan lebih baik. Pengalaman itu adalah syllabus you. Batu yang bergolek tak akan melekat ke lumut. Can you please be hurry?” Kata Rizalman pada butler nya yang sedang kelam-kabut cuba menghulurkan rokok kepadanya.

“You tak percaya itu cara untuk menjadi pereka yang bagus?” “Kalaupun saya lahir kaya, saya takkan melalui cara itu. Saya mahukan barang-barang yang cantik. Bagaimana memilikinya? Simpan duit. Tapi kalau dah ada duit untuk beli, nilai barang cantik itu akan jatuh. Pabila dah jatuh, ia akan jatuh sekali dengan semangat you untuk bekerja, untuk disiplin diri, jati diri. ‘Tak payahlah. Bapak aku kaya.’ Tapi kalau jiwa, semangat, azam dan harga diri you tinggi, you akan kata, ‘I don’t want your money pa… I wanna start fresh.’

“Jadi show dan koleksi mereka tak bermakna?” tanya saya lagi. “Boleh juga. Mungkin orang akan suka tapi apakah you akan merasa itu semua terhasil daripada kerja keras, peluh dan air mata? Sekali lagi ia berkenaan harga diri.”

GLJun2015_2

Bercakap soal rekaan, Rizalman berpendapat untuk kekal relevan seorang pereka harus sentiasa rejuvenate diri mereka. Seperti Karl Lagerfeld yang sudah berpuluh-puluh tahun dalam industri, kata Rizalman dia masih mendengar muzik-muzik terkini yang berbeza-beza. Sama juga dengan dia. Dalam iPod nya berisi segala bentuk muzik. “Pendengaran adalah yang paling hampir dengan otak. Ia memberi inspirasi. Ia boleh terus mencetuskan dan menyentuh semua saraf-saraf dalam otak. Mengembara. Itu juga boleh memberi inspirasi. Berbual dengan orang berbeza-beza. Dengar cerita yang pelbagai. Membuat anda memijak semula ke tanah. Kemudian anda bersujud. Minta pertolongan daripada-Nya. Pernah sekali ustaz saya memberitahu, mukjizat dikurniakan kepada Nabi, keramat kepada walinya, ilham diberi kepada manusia biasa. Ia seperti mukjizat minor. Kalau saya tak diberi kelapangan dan kesenangan, macam mana nak jadi? Dia yang gubah seluruh cerita saya. Kena mintak pada Dia untuk penutup yang baik-baik sahaja.”

“Apakah juga kerana koleksi Rizalman sering ada cerita dan mesej kerana itu you selalu kekal relevan?” “Kebanyakan pereka senior di luar negara sudah terbuka menerima dan menyuntik idea-idea daripada pereka-pereka baru yang membantu menjadi suara mereka. Saya meletak harapan saya pada Faizul (pembantu pereka Rizalman). Kerana itu saya mendengar idea-ideanya. Mereka ini memberi pandangan yang berbeza arah. Mirror is very deceiving. You hanya nampak satu dimensi sahaja. It’s not just about you. Sebab itu instagram itu bagus. You boleh tengok apa yang berlaku di luar sana. Komen orang ke atas kerja-kerja saya. Begitu cara saya menilai kembali diri. Untuk menghasilkan koleksi yang lebih baik. Tak syok sendiri.” Paling penting dalam rekaan design line. “Sebagai pereka, hasil seni saya adalah di atas tubuh manusia. Mereka harus boleh berjalan, duduk dan berlari dalam helaian tersebut. Kena sesuai dengan pemakai dan selesa pula. Figura pabila memakai helaian itu penting. Tak ada benda yang cantik kalau bentuknya tak cantik.”

Koleksi Rizalman for Zalora tahun lepas mencipta impak yang sungguh besar di kalangan peminat-peminatnya. Kata Rizalman ini kerana rekaannya yang ringkas dan boleh digayakan oleh mana-mana wanita tanpa mengira saiz. Kesemuanya ada pilihan yang boleh didapatkan. Bukan itu sahaja kerana di terinspirasi oleh Museum of Modern Arts di New York daripada kunjungannya ke sana tahun lalu, persembahan koleksi tersebut dilakukan dalam bentuk seni intalasi. “Pabila you pakejkan keseluruhan koleksi dengan persembahan yang bagus, muzik dan konsep selain daripada video dan kempen cetak yang baik – secara semula jadinya koleksi itu akan terjual. Couture is to provoke dreams, but the one that sells are the cosmetics and accessories. Itu resipi jenama antarabangsa. Rizalman for Zalora adalah aksesori untuk Rizalman Couture.”

“Tahun ini you menjangkakan efek yang sama?” “Tentunya.” Dan keranaRizalman orangnya yang suka outdo himself, tahun ini dengan tema Istanbul, persembahan koleksinya ditemani cereka pendek raya yang menggabungkan mesej keibuan, DNA Zalora dalam masa sama menyentuh hati peminat. Fauziah Nawi, Scha Al-Yahya dan adiknya sebagai bintang utama selain soundtrack dendangan suara emas Dayang Nurfaizah menyanyikan lagu Syurga di Bawah Telapak Kaki Ibu. “Mengapa tema emak?” Tanya saya pantas. “Kerana saya rindukan emak saya. Saya rindu peluang memberikan kepadanya apa yang tidak mampu diberikan oleh bapa saya dahulu. Mereka berdua kerja kuat membesarkan kami tujuh beradik. Emak tak merasa bercantik-cantik dengan baju raya kerana dia lebih senang mendahulukan kami.” Sewaktu tamat penggambaran babak Scha menangis bersama emaknya, kata Rizalman semua krew terdiam sejenak dan terpaku. “Semua daripada mempunyai emak. Semua daripada kita mempunyai cerita sendiri dengan emak. Ia tema yang dekat dengan semua orang. Saya rasa terhormat diberi peluang dan kepercayaan oleh Zalora untuk mengarah cereka pendek ini. Bajet saya diluluskan. Mereka tidak kisah. Kata mereka tolong jangan tinggalkan kami. Teruskan sahaja membuat koleksi Raya ini setiap tahun.”

Mungkin ini juga rahsia Rizalman kekal bertahan sampai hari ini. Dia sentiasa mencuba perkara-perkara baru. Hiasan dalaman, penerbitan majlis perkahwinan, pengarahan dan entah apa lagi selepas ini? Bagaimana Rizalman mahu dikenang? What do you wanna die as? Dalam bukunya tertulis, “Be a legend or be forgotten.” Tapi jawab Rizalman, “Tak penting lagi. Saya dah mati pun. Tentunya saya ada pelan rahsia saya – antara saya dan Allah. Tapi tentunya tidak bagus untuk saya menceritakan kerana ia hanya akan menjadi debu-debu berterbangan tak bermakna lagi sekiranya saya memberitahu. Itu perjanjian saya dengan Tuhan. Cuma saya harap dengan saya membesarkan dua anak angkat saya – Umar dan Aali saya mengumpul bonus untuk akhirat kelak. Saya hanya mahu mati sebagai Muslim yang soleh. Reputasi saya sebagai ayah kekal baik. Tak adalah berita-berita saya mati di rumah urut akibat serangan jantung misalnya. Simpang malaikat 44. Saya tak mahu penutup cerita saya sebegitu. Kalau boleh saya mahu mati sewaktu rukuk dalam masjid atau dalam cara yang baik sewaktu dengar tazkirah ke. Allah mengangkat darjat saya walaupun saya mereka helaian seksi dan marah orang tapi saya percaya orang yang baik insya-Allah akan diambil nyawa dalam cara baik juga.”

Satu perkara yang paling Rizalman cintai ialah bekerja. “I hate Sundays. It’s the day I don’t create.” Backstage. Pun begitu dia akan tetap mencari kerja. Membeli barang keperluan rumah atau kalau tak ada kerja sangat punggah balik baju dalam almari dan lipat semula. “Kerja membuat saya bangun setiap hari. Kalaupun saya sudah bersara nanti mungkin saya akan buka hotel butik, restoran, mereka koleksi edisi terhad atau mungkin sahaja benar-benar tone down dan buka gerai jual nasi lemak sahaja. Saya sudah mula bekerja sejak saya graduate, saya tak sempat membuat perkara-perkara normal dan menjalani kehidupan serba ringkas. Sebagai royalty saya sudah sampai ke tahap tertinggi jadi lepas itu apa lagi? Before everything turns bad. Saya mula ambil pil, buang tabiat memandu Ferrari – baik saya elakkan semua ini dengan hidup ringkas. Kerana syaitan takkan pernah berhenti memujuk dan menggoda.”

Menulis perenggan terakhir baru saya menyedari, Rizalman bukan sahaja menggubah ceritanya melalui pertunjukan fesyennya tapi dalam tak sedar keseluruhan ceritanya pada saya juga. Setinggi mana dia terbang dengan angannya, di akhir cerita dia kembali ke tanah tunduk pada Pencipta. Hidup adalah mengenai keseimbangan untuk Rizalman. Ceritanya harus ada unsur jahat, bongkak dan marah tetapi dibalas kembali dengan kemanusiaan dan akur pada kuasa yang mencipta juga penulis semua cerita manusia di dunia. Saya bertuah mengenali dan dapat berbual dengan insan bernama Rizalman. Mungkin saya tidak membawa hadiah-hadiah mahal seperti pelanggannya yang mahukan slot untuk bertemu dengannya. Yang ada hanyalah potret-potret yang menggambarkan Rizalman sebenar. Di dalam elemennya. Waktu marah, waktu suka dan waktu berangannya. Memetik lagi kata-kata dia dalam Backstage, “We artists are mutant; we have so much in the right side of our brain. Some of us resort to drugs (to cope), I adopted two children to balance my inner evil.” Keseimbangan yang saya harap akan menjadikan Rizalman legenda besar negara.

TEKS & PENATA GAYA: AZREEZAL HAFIDZ
GAMBAR: CHUAN LOOI/ YIPIEYAYA STUDIO
PAKAIAN: BLACKBARRETT
GROOMING: KHIR KHALID MENGGUNAKAN NARS

Tags: , , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.