Skip to content

DULU PENAKUT, KINI SEORANG ANGGOTA BOMBA. MUHAMMAD RIZZUWAN KONGSI KISAH TAKLUK KETAKUTAN DEMI SATU IMPIAN

Kongsikan artikel ini

Keberanian tidak datang dengan sendiri. Ia disusuli dengan matlamat untuk mengatasi rasa takut dengan apa cara sekalipun. Walaupun ia memakan masa, enggan tunduk begitu saja dan disusuli matlamat untuk berjaya, Che Ku Muhammad Rizzuwan Che Ku Mohsin akhirnya takluki perasaan gayat dan fobianya pada ketinggian, dan lihatlah siapa dirinya kini. Lebih mesra dipanggil Rizzuwan, hari ini dia adalah salah seorang anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Melaka. Benarlah apa yang dikata, setiap pengalaman itu sebenarnya mematangkan.

Heboh diperkatakan sejak penularan videonya melakukan aktiviti abseiling sekitar 5 tahun lepas dan baru kini muncul di laman-laman sosial, video tersebut lantas viral dan ramai yang tidak menyangka, dirinya kini adalah orang yang sama di dalam video tersebut yang dilihat meracau menjerit ketakutan sehingga jelas kelihatan kedua pehanya yang menggigil minta dikecualikan. Atas sebab itu, GLAM Lelaki terpanggil untuk menghubungi Rizzuwan sendiri dan bertanyakan kepada dirinya bagaimana beliau mampu untuk mencari kekuatan dan akhirnya berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat. Teruskan membaca, dan semoga bermanfaat…

GLAM Lelaki: Boleh anda ceritakan serba sedikit tentang diri anda?

MUHAMMAD RIZZUWAN: Terima kasih kepada pihak GLAM Lelaki kerana sudi menghubungi saya. Baiklah, nama saya Che Ku Muhammad Rizzuwan bin Che Ku Mohsin dan saya berumur 22 tahun. Saya merupakan anak kedua dari tiga adik beradik. Hobi saya pula adalah bercuti, hiking, bermain bowling dan membuat abseiling di balai untuk mahirkan diri. Saya seorang yang mudah didekati, suka berlawak dan berkawan.

GLAM Lelaki: Anda mulai terkenal dek video awak yang ketakutan saat melakukan abseiling enam tahun lalu dan baru-baru saja kini ia tular dan menjadikan awak popular dan tular sekelip mata. Apa perasaan anda bila ramai yang mengatui kisah  ‘ketakutan’ awak itu?

MUHAMMAD RIZZUWAN: Sebenarnya video itu dimuatnaik di laman sosial Facebook oleh Ketua Platun PLKNnya, Aliuddin Abu Bakar bersempena hari lahir saya pada tanggal 18 Mei. Memang tidak sangka ia begitu cepat tular dan mendapat perhatian rakyat Malaysia. Video itu dirakam sewaktu saya mengikuti aktiviti abseiling dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem PLKN Pagoh pada 2012. Memang banyak maklum balas yang saya terima dari penularan video tersebut. Ada yang positif, dan ada juga yang negatif. Namun, saya gembira apabila ramai yang bangga dengan saya apabila mendapat tahu enam tahun selepas itu, kini merupakan seorang anggota bomba.

GLAM Lelaki: Kongsikan sedikit dengan kami apa yang awak rasakan ketika melakukan aktiviti tersebut? Adakah awak memang seorang yang takutkan ketinggian, penakut atau gayat? Ceritakan sikit pengalaman awak pada masa itu?

MUHAMMAD RIZZUWAN: Ketika saya membuat aktiviti abseiling itu, memang saya rasa tersangat takut dan gayat, apatah lagi saya tidak yakin jika tali tersebut yang dilihat cukup kecil mampu untuk menampung badan saya. Dan pada waktu itu juga, saya berikan banyak alasan kepada jurulatih, contohnya “rosak-rosak” dan “putus-putus”. Namun jurulatih tersebut tidak mengendahkan saya dan terus memberikan dorongan untuk saya teruskan bagi menguasai ketakutan saya itu. Jadi, saya amat berterima kasih kepada jurulatih dan cikgu-cikgu saya sewaktu kejadian tersebut.

GLAM Lelaki: Dan kini anda sudah menjadi seorang ahli bomba. Jadi pernah tidak anda terfikir akan menjadi seorang ahli bomba suatu hari nanti? Kenapa anda memilih profesion ini?

MUHAMMAD RIZZUWAN: Ya, sekarang saya merupakan seorang anggota bomba profesional. Sejujurnya memang tidak pernah terfikir untuk menceburi profesion ini. Namun, apabila saya menjadi seorang ahli bomba baru lah saya mengerti betapa pentingnya untuk menjadi seorang penyelamat kepada menyelamat. Tanggungjawab yang digalas oleh seorang ahli bomba amat besar dan perlu untuk menjadi seorang individu yang kekal cekal dan terus berani tentangi apa saja keadaan.

GLAM Lelaki: Apa agaknya cabaran utama bergelar sebagai seorang ahli bomba yang tidak semua tahu.

MUHAMMAD RIZZUWAN: Ya, semenjak bergelar seorang ahli bomba barulah saya tahu tugasnya bukan mudah. Awam ingat tugas bomba hanya menghunuskan hos dan memadam kebakaran. Tidak sama sekali! Banyak tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang ahli bomba sebenarnya. Pelbagai jenis kes perlu ditangani seperti menangkap ular berbisa, kucing yang terperangkap, kemalangan jiwa, orang yang nak bunuh diri semua itu memerlukan kepakaran dan khidmat ahli anggota bomba. Pernah sekali saya cuba untuk memadamkan kebakaran api yang sangat marah di sebuah rumah dengan memakai alat pernafasan yang kurang selesa. Dengan haba dan suhu waktu itu, anda boleh bayangkan. Ia sangatlah tidak selesa namun kami dilatih untuk menghadapi keadaan sebegitu ketika recrut dahulu.

GLAM Lelaki: Terakhir, mungkin anda boleh berikan sedikit nasihat atau panduan bagaimana caranya untuk menguasai ketakutan. Ini kerana mungkin ramai di luar sana ramai yang ingin menjadi ahli bomba seperti anda tetapi takut dan tiada keberanian.

MUHAMMAD RIZZUWAN:  Yang pertama kita mestilah tanamkan matlamat untuk berjaya. Jika kita lemah dalam sesuatu perkara, kita harus bangkit dari kelemahan tersebut dan gunakan untuk mencari cara untuk mengatasinya. Tambahan pula ilmu itu luas. Seperti saya, saya akui pada umur saya 17 tahun, saya sangat takutkan ketinggian dan siapa menyangka 5 tahun kemudian, saya kini seorang ahli bomba profesional. Ia mungkin mengambil masa tetapi tidak mengapa. Kita tidak pernah terlewat untuk berjaya. Yang penting diri mesti punya keberanian untuk menghadapi segala rintangan, dan teruskan usaha hinggalah berjaya, insya allah..

https://www.facebook.com/MrKetuaKelas/videos/1846272049027728/

 

Oleh Wan Mohd Firdaus, 19 Jun 2017

 

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

7 SEBAB LELAKI RENDAH LEBIH BAGUS UNTUK WANITA

Bacaan Lanjut
ONITSUKA TIGER MUSIM LURUH 2023 DI MILAN, ALVIN CHONG, GLENN YONG & GULF KANAWUT ANTARA TETAMU UTAMA

ONITSUKA TIGER MUSIM LURUH 2023 DI MILAN, ALVIN CHONG, GLENN YONG & GULF KANAWUT ANTARA TETAMU UTAMA

Bacaan Lanjut
KOLEKSI DISNEY X TOMMY, APA YANG MENARIK?

KOLEKSI DISNEY X TOMMY, APA YANG MENARIK?

Bacaan Lanjut
GLAM LELAKI Mierul Aiman

HOT BOY SUMMER! MIERUL AIMAN IS GLAM LELAKI MAY/JUNE’S COVER BOY

Bacaan Lanjut
MESTI TAHU! TIGA KOLEKSI BARU MUSIM PANAS 2023 PILIHAN GLAM LELAKI

MESTI TAHU! TIGA KOLEKSI BARU MUSIM PANAS 2023 PILIHAN GLAM LELAKI

Bacaan Lanjut
ADRIEN KENT, CITA RASA FESYEN YANG TERSENDIRI. “SAYA PERCAYA PADA FESYEN ‘DEGENDERING’.”

ADRIEN KENT, CITA RASA FESYEN YANG TERSENDIRI. “SAYA PERCAYA PADA FESYEN ‘DEGENDERING’.”

Bacaan Lanjut