Skip to content

OBSESI MELAMPAU PEMINAT TENTUKAN KUALITI DRAMA?

Kongsikan artikel ini

Saat artikel ini ditulis, tiga buah drama rantaian di layar kaca menjadi topik perbualan hangat di kalangan pengemar-pengemar drama melayu sama ada mulut ke mulut mahupun di laman-laman sosial. Sudah pasti drama bersiri lakonan Fattah Amin dan Fazura, Hero Seorang Cinderella; Ku Kirim Cinta oleh Ayda Jebat dan Redza Rosli; serta Andainya Takdir gandingan Shukri Yahaya dan Nina Iskandar antara yang menggungguli. Manakan tidak, ketiga-tiga buah drama ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat dan popular, malah memiliki fanbase yang ramai, menjadikan drama-drama ini antara yang dinantikan setiap malam.

Sekadar gambar hiasan (Photo credit: 2.bp.blogspot.com)

Namun, tidak keterlaluan jika penulis katakan, algoritma drama melayu masa kini sudah jauh berubah. Ini dek perubahan ketara teknologi masa kini ditambah pula obsesi melampau peminat terhadap pelakon membantu menaikkan rating dan populariti sesebuah drama. Namun, adakah naskah yang dipersembahkan berkualiti?

KUASA ‘TRENDING’

Jika dahulu kita dapat saksikan populariti drama hanya dapat dilihat pada rating di televisyen semata, tetapi kini ia juga boleh dilihat pada sejauh mana drama tersebut menduduki carta trending di laman-laman sosial melalui penghasilan hashtag (#) tanpa henti oleh peminat-peminat artis itu sendiri.

Ya, sungguh jauh berbeza jika dibandingkan dengan 10 tahun yang lalu, membuatkan penulis mengimbau drama- drama yang suatu ketika dahulu pernah ‘menjajah’ kaki-kaki drama (ternasuk penulis sendiri), tidak lain dan tidak bukan seperti drama Nur Kasih lakonan Remy Ishak dan Tiz Zaqyah.  Hebat bukan? Lakonan bersahaja, skrip yang bertauliah menjadikan drama tersebut berjaya. Jika dulu, seratus peratus populariti sesebuah drama dinilai pada produksi, skrip dan lakonan yang hebat, namun kini ia seakan ditentukan oleh sejauh mana drama itu trending atau tidak? Adakah kita sudah terlepas pandang akan kualiti sesuatu naskah?

Drama Nur Kasih lakonan Remy Ishak dan Tiz Zaqyah yang suatu ketika dahulu pernah mencipta fenomena.

KEGILAAN ‘HASHTAG’ DAN FANATIK PEMINAT

Ya, penulis tidak menafikan hashtag yang direka membantu menaikkan lagi populariti dan penerimaan drama tersebut, namun apa yang dimaksudkan penulis bukanlah hashtag dengan judul drama tersebut, namun penghasilan hashtag yang mengabungkan nama-nama artis tertentu. Alah, pasti anda tahu hashtag apa yang dimaksudkan?

Penulis dapat saksikan ‘kegilaan’ ini bukan lagi satu pendekatan menaikkan mutu drama semata, namun ia lebih kepada ‘harapan’ menyatukan pelakon-pelakon tersebut mengecap kebahagiaan sama seperti yang ditayangkan di pengakhiran drama. Peminat-peminat fanatik ini seakan menuntut idola-idola mereka untuk benar-benar bercinta dan mengakhiri percintaan tersebut di atas jinjang pelamin. Bukan saja hashtag, malah puluhan akaun Instagram dengan kepsyen romantis direka seakan ingin menjodohkan mereka. Sampai satu tahap, penulis merasakan pelakon-pelakon ini terpaksa ‘berlakon’ acah-acah sweet di luar set drama kerana tidak mahu kehilangan sokongan peminat dan apatah lagi untuk mengecewakan mereka. Benarkah?

Photo credit: Instagram @nizamzakaria

Penulis sempat berhubung dan bertanyakan kepada Nizam Zakaria, salah seorang pengarah berpengalaman yang baru-baru ini mengarahkan drama di slot Akasia berjudul Shhh..I Love You dan bertanyakan tentang isu ini, dan ini respon beliau.

“Pada pendapat saya, peminat tak perlulah terlalu fanatik. Perlu diingatkan bahawa pelakon hanya melakonkan watak-watak yang mereka pegang dalam sesebuah drama. Tak lebih dari itu. Mereka mengikut skrip dan jika kehendak skrip meminta mereka bercinta, itulah yang mereka lakukan. Dan sebagai pengarah, ada kalanya saya dapat melihat pelakon sebenarnya tidak mempunyai hubungan baik di set, tapi di dalam drama mereka mempunyai chemistry yang hebat. Kenapa? Kerana mereka adalah pelakon yang baik dan hebat”.

PELAKON ACAH ‘BERCINTA’, WAJAR ATAU TIDAK?

Pelakon yang ‘berpura-pura’ bercinta di luar set juga bukanlah satu perkata yang baru. Ini ditambah pula dengan kuasa media yang seakan turut sama mahukan mereka bercinta, dengan motif agar ada sesuatu yang ingin ditulis. Jelas Nizam lagi, “Sebenarnya apa yang pelakon lakukan, di dalam dan di luar set adalah hak mereka asalkan mereka melakukan pekerjaan mereka dengan ikhlas dan jujur. Tapi setahu saya, perkara ini bukan satu perkara yang baru. Artis konon-kononnya akan menjadi sepasang kekasih untuk tujuan pemasaran. Cinta lokasi memang selalu berlaku. Bukannya apa, hanya artis dan mereka yang bekerja dalam bidang produksi sahaja yang faham tentang pekerjaan kami. Jadi, mereka senang jatuh hati apabila bekerjasama. Dan selepas selesai saja pengambaraan, mereka akan berpisah..”

Sekadar gambar hiasan.

Photo credit: Instagram @shukriyahaya

Jadi, adakah ‘perpisahan’ itu sesuatu yang wajar ditakuti oleh pelakon dan produksi, risaukan jika naskah seterusnya tidak akan berjaya di kemudian hari? Penulis menghubungi pelakon yang kini popular dengan drama rantaian Andainya Takdir dan bertanyakan sendiri pendapat peribadi beliau. “Sokongan yang ditunjukkan oleh peminat seperti hashtag dan sebagainya baik untuk mempromosikan drama dan barisan pelakon tersebut, tetapi agak kurang bersetuju dalam soal menjodohkan pelakon-pelakon kerana cinta itu subjektif dan tidak perlu ditetapkan oleh peminat-peminat tegar drama tersebut. Tak pasal-pasal akan menghampakan peminat-peminat jika hubungan itu tidak berjaya atau separuh jalan. Senang saja, jodoh itu kan rahsia Allah.

Photo credit: Instagram @azrelismail

Ini turut disokong oleh seorang lagi pelakon yang semakin meningkat naik, iaitu Azrel Ismail. Azrel menjelaskan kepada penulis, “ It should be ok, ini kerana semua produksi dan stesen tv inginkan sesebuah drama itu trending dan diterima, asalkan kualiti dan penghasilan drama itu terjaga”.

Ya, dalam soal penghasilan drama penulis bukanlah orang produksi mahupun mereka di sebalik tabir. Penulis sama seperti mereka yang lain, menikmati satu-satu naskah dengan harapan naskah tersebut menghiburkan dan punya masej yang ingin disampaikan. Cuma bezanya, penulis bukanlah peminat fanatik yang mengharapkan sesuatu ‘keajaiban’ berlaku dalam perhubungan pelakon-pelakon tersebut. Nasihat penulis, usah letakkan harapan menggunung dalam perhubungan mereka, takutkan berakhir dengan kekecewaan seperti apa yang sudah berlaku sebelum ini. Tonton saja drama yang ditayangkan, pantau dan lihat prestasi pelakon kegemaran anda dan terbuka untuk menyokong industri tidak kira apa jua yang berlaku. Berat sangatkah permintaan penulis ini?…

#Ini adalah pandangan penulis GL dan tidak semestinya mewakili pandangan Glam Lelaki.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 16 Jun 2017

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

new show February 2024

15 RANCANGAN ‘MUST WATCH’ SEPANJANG FEBRUARI 2024

Bacaan Lanjut

MALAM ALPHAMEN 2023 DIRAIKAN PENUH MERIAH

Bacaan Lanjut
siri prime

SIRI PRIME PERTAMA MALAYSIA THAT COVER GIRL DIBINTANGI SITI SALEHA, HISYAM HAMID, ALICIA AMIN & AIMAN HAKIM

Bacaan Lanjut

‘PARTY OF THE YEAR’ BIZ OF RE MERAIKAN ULANG TAHUN KE-3

Bacaan Lanjut
Fattah Amin

THE OTHER SIDE OF FATTAH AMIN – GLAM LELAKI SEPTEMBER 2023

Bacaan Lanjut

7 SEBAB LELAKI RENDAH LEBIH BAGUS UNTUK WANITA

Bacaan Lanjut