Skip to content

SHEILA MAJID & DISKORIA BERKONGSI PENTAS KONSERT

SHEILA MAJID & DISKORIA BERKONGSI PENTAS KONSERT

Kongsikan artikel ini

Duo komposer dari Indonesia, Diskoria mencipta sejarah apabila bakal membuat persembahan bersama Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid.

Konsert A Time Travel Diskoria With A Special Guest Sheila Majid bertemakan ‘Disko 80-an’ itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Jun ini. Diskoria yang dianggotai oleh komposer Merdi Simanjuntak dan Fadli Aat meluahkan rasa teruja kerana dapat beraksi di pentas yang sama dengan penyanyi legenda tanah air.

“Selama ini kami hanya memasang impian (bekerjasama dengan Sheila) tetapi apabila peluang itu hadir, kami bersyukur. Sebab lagu Sinaran yang dinyanyikan Datuk Sheila Majid sangat digemari di Indonesia.

“Jadi semasa kali pertama diberitahu bahawa kami akan berkolaborasi, ia seperti mimpi menjadi kenyataan. Walaupun Datuk banyak lagu jazz tetapi lagu pop pun ada, jadi tidak susah untuk kami bekerjasama,” jelas mereka.

A Time Travel - Diskoria with a special guest Sheila Majid -

Konsert Diskoria Mengujakan Peminat Tanah Air

Sejak ditubuhkan pada 2015, Diskoria mendapat sambutan baik daripada peminat di Malaysia. Disebabkan itu mereka tidak jemu mengadakan konsert di sini.

“Ini adalah konsert ketiga kami di Malaysia tetapi kali pertama membabitkan kerjasama dengan artis tempatan. Sejujurnya, kami teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur.

“Dari lagu sulung (Balada Insan Muda), banyak komen dari peminat Malaysia yang meminta kami datang ke sini. Jadi kami ingin selalu ke mari kerana ramai yang menyokong,” tambah Diskoria.

Konsert ini bakal menyaksikan pelopor muzik disko Indonesia era baharu itu mempersembahkan lagu-lagu popular mereka. Ini termasuk Badai Pasti Berlalu, Balada Insan Muda, Pelangi Cinta dan Serenata Jiwa Lara. Sheila pula akan mendendangkan lagu hit Diskoria serta lagu-lagunya sendiri dalam gaya muzik gabungan disko, funk dan pop retro.

Selain Sheila, konsert anjuran Mydeteksi bersama Sembang Kari Entertainment dan Tourism Malaysia ini akan turut menampilkan kumpulan Jemput Dengar sebagai artis pembukaan. Tiket dijual pada harga RM165 (Serenata Jiwa Lara), RM165 (Sinaran), RM220 (C.H.R.I.S.Y.E) dan RM320 (Badai Pasti Berlalu) di laman web MyTicket.Asia.

 

Foto: Norrm/Facebook

Pautan berkaitan: ‘SPIDER KELUAR SARANG’ BAKAL GEGARKAN PENTAS KONSERT