Skip to content

SHERIFF: NARKO INTEGRITI LAKAR KEJAYAAN LUAR BIASA

SHERIFF: NARKO INTEGRITI LAKAR KEJAYAAN LUAR BIASA

Kongsikan artikel ini

Belum dua minggu ditayangkan di layar perak, filem Sheriff: Narko Integriti arahan Syafiq Yusof sudah pun meraih kutipan RM35.3 juta.

Kini berada di tangga pertama untuk tahun 2024, ia melakar pencapaian membanggakan dengan mengetepikan barisan filem hebat antarabangsa. Ternyata impian Syafiq untuk mencipta sejarah menerusi naskah terbitan Skop Productions dan Astro Shaw ini menjadi kenyataan.

Pengarah berusia 32 tahun ini meluahkan rasa terharu dengan sambutan hebat dan sokongan padu daripada pelbagai pihak.

“Alhamdullilah, Sheriff masih mendapat sambutan menggalakkan di pawagam meskipun sudah memasuki hari ke-11. Saya ingin ambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton yang menerima Sheriff.

“Tidak lupa pihak media dan pempamer yang banyak memberi sokongan pada Sheriff sejak mula lagi sehingga filem ini berjaya menjadi filem nombor satu kutipan tertinggi tahun ini,” katanya, menurut Harian Metro.

Sheriff: Narko Integriti Bikin Penonton Tak Senang Duduk!

Tidak disangkal Sheriff: Narko Integriti memberi pengalaman berbeza berbanding barisan filem tempatan lain. Ramai penonton mengakui terkesima dengan plot twist tidak dijangka pada penghujung cerita.

Filem ini berkisar tentang Sheriff, anggota polis dari Jabatan Integriti yang ditugaskan menyelesaikan kes ‘Meth Killer’. Dia berpasangan dengan Nazri, seorang anggota polis muda dari Jabatan Narkotik. Misi mereka adalah untuk menumpaskan sindiket dadah yang diketuai oleh Tony Ifrit. Sindiket terbabit sering terlepas daripada cengkaman undang-undang, setiap kali menerusi proses penghakiman.

Diterajui oleh Zul Ariffin yang menggalas watak sebagai DSP Sheriffudin Hussein, ia turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan.

 

Pautan berkaitan: 15 FILEM BARU HEBAT BAKAL MENEMUI ANDA SEPANJANG 2024