5 FAKTA MENARIK TENTANG KIMI ANTONELLI, JUARA DUNIA F1 TERMUDA DALAM SEJARAH
Andrea Kimi Antonelli mendapat perhatian besar untuk musim kali ini dengan kejayaannya, lebih-lebih lagi selepas bergelar juara dunia F1.
Nama Andrea Kimi Antonelli kini terpahat dalam sejarah Formula 1 (F1) selepas pelumba Mercedes-AMG PETRONAS itu dinobatkan sebagai Juara Dunia F1 2026. Pada usia 20 tahun, pelumba dari Itali ini bukan sahaja berjaya menamatkan penantian negaranya selama 73 tahun. Malah, dia turut memecahkan rekod Sebastian Vettel sebagai juara dunia termuda dalam sejarah sukan permotoran tersebut.
Kejayaan luar biasa itu hadir dalam musim keduanya sahaja bersama Mercedes. Di sebalik pencapaian besar ini, terdapat beberapa fakta menarik tentang perjalanan karier Antonelli yang mungkin belum diketahui ramai. Ini merupakan 5 fakta menarik tentang pelumba muda ini.
#1 Juara Dunia F1 Termuda Dalam Sejarah
Kimi Antonelli mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara dunia F1 pada usia 20 tahun dan 68 hari. Dia sekali gus memecahkan rekod Sebastian Vettel yang memenangi gelaran pertamanya pada usia 23 tahun dan 134 hari pada 2010. Lebih menarik, Antonelli merupakan pelumba pertama yang lahir pada tahun 2000-an (2006) untuk meraih gelaran berprestij tersebut. Bakatnya mula dikesan oleh Mercedes sejak kecil sebelum dia menyertai program pembangunan pelumba muda pasukan itu pada April 2019, ketika baru berusia 12 tahun.
#2 Pelumba Itali Pertama Bergelar Juara Dunia Selepas 73 Tahun
Kejayaan Antonelli turut mengakhiri penantian panjang Itali dalam kejuaraan dunia F1. Dia menjadi pelumba Itali ketiga yang memenangi gelaran tersebut dan yang pertama sejak Alberto Ascari melakukannya pada 1953. Lebih mengagumkan, Antonelli berjaya merangkul kejuaraan dunia 2026 hanya dalam musim keduanya bersama Mercedes. Sepanjang kempen tersebut, dia merekodkan sembilan kemenangan Grand Prix. Ini sekali gus membuktikan kemampuannya bersaing dengan pelumba-pelumba berpengalaman.
#3 Memiliki Lesen Super F1 Sebelum Lesen Memandu Biasa
Ini antara fakta paling menarik tentang perjalanan karier Antonelli. Dia telah memperoleh FIA Super Licence, iaitu lesen khas yang membolehkannya berlumba dalam kejuaraan Formula 1, sebelum mendapatkan lesen memandu kenderaan biasa untuk jalan raya. Antonelli hanya lulus ujian memandu jalan raya pada Januari 2025, kira-kira enam minggu sebelum membuat penampilan sulung rasmi dalam Grand Prix Australia pada Mac tahun yang sama. Bayangkan, dia sudah layak memandu jentera F1 sebelum mendapat lesen untuk memandu kereta di jalan raya awam!
#4 Menggantikan Lewis Hamilton Di Mercedes
Ketika Lewis Hamilton mengumumkan perpindahannya ke Ferrari, Mercedes membuat keputusan berani dengan memilih Antonelli sebagai pengganti juara dunia tujuh kali itu untuk musim 2025. Pada usia 18 tahun ketika diumumkan sebagai pelumba utama Mercedes, Antonelli terus diberikan tanggungjawab besar untuk bergandingan dengan George Russell. Menariknya, dia memilih nombor 12 sebagai nombor rasmi jentera F1 miliknya.
Nombor tersebut mempunyai beberapa makna istimewa. Selain pernah digunakan ketika menjuarai Formula Regional European Championship (FRECA) pada 2023, nombor 12 turut mengingatkannya kepada idola perlumbaan, Ayrton Senna. Malah, dia juga berusia 12 tahun ketika menyertai program pembangunan pelumba muda Mercedes.
#5 Mengimbangi Kehidupan Sebagai Pelajar Dan Pelumba Profesional
Sebelum bergelar bintang F1, Antonelli turut melalui pengalaman yang agak berbeza berbanding pelumba profesional lain. Ketika mula meningkat naik dalam dunia perlumbaan kereta, dia masih perlu mengimbangi komitmen persekolahan di Itali dengan jadual perlumbaan antarabangsa yang padat. Selain menguasai bahasa Itali, perjalanan kariernya sejak usia muda turut membantunya fasih berbahasa Inggeris. Antonelli juga mempelajari bahasa Jerman selepas menghabiskan banyak masa bersama pasukan Mercedes.
Pautan berkaitan: 8 BINTANG K-POP SPOTTED DI F1 GRAND PRIX SINGAPURA 2026
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
8 BINTANG K-POP SPOTTED DI F1 GRAND PRIX SINGAPURA 2026
F1 Grand Prix Singapura 2026 bertukar menjadi F1 GP K-Pop dengan kehadiran bintang K-Pop yang memeriahkan lagi acara itu.
5 KERETA F1 YANG PALING MAHAL PERNAH DIJUAL DI AUCTION
Lihatkan lima kereta lumba F1 yang termahal pernah dijual di auction sementara menanti jualan 1996 McLaren F1 GTR yang bakal mengukir sejarah di Monterey Sabtu ini.
SEPANG BAKAL KEMBALI MENGGEGARKAN F1? MALAYSIA BERPELUANG JADI TUAN RUMAH GRAND PRIX 2026
Malaysia dikatakan berpeluang menjadi tuan rumah sempena Grand Prix 2026 berikutan konflik yang dilaporkan di kawasan Timur Tengah.
CORTIS, ZARA LARSSON, JAMES ARTHUR DAN RAMAI LAGI LINE-UP SINGAPORE GP 2026
Tahun ini, Singapore GP 2026 tampilkan barisan artis antarabangsa yang bakal membuat persembahan, serta menjadi penantian ramai.
5 RUTIN CARLOS SAINZ SEMPURNA BUAT LELAKI GENERASI KINI
Lihat bagaimana Carlos Sainz mengekalkan prestasi melalui latihan intensif, diet seimbang dan rutin grooming yang konsisten.
BRAD PITT PANDU SENDIRI DI DALAM F1 THE MOVIE!
Bersedia untuk pengalaman perlumbaan yang bukan biasa-biasa? F1 The Movie akhirnya memecut masuk ke pawagam dan membawa penonton terus ke jantung dunia Formula 1 dengan kelajuan yang gila, aksi yang menggetarkan dan gaya yang penuh kelas. Bukan sahaja Brad Pitt memegang watak utama sebagai pelumba veteran, tetapi apa yang membuatkan filem ini lebih ‘cool’ adalah…











