5 LANGKAH MUDAH PENJAGAAN KERETA SEPANJANG PKP
Sejak PKP dilaksanakan, kita mungkin secara tidak langsung mengabaikan kereta yang dimiliki kerana kita tidak dibenarkan untuk memandunya ke tempat yang melebihi 10km dari rumah. Oleh kerana pusat servis dan bengkel turut tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh ini, terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk memastikan kereta anda kekal berada dalam keadaan baik sepanjang PKP. Apa yang paling penting adalah lakukan pemeriksaan 5-mata pada kereta anda.
Jangan risau kerana anda tidak perlu mahir dalam bidang teknikal untuk melakukan pemeriksaan ini. Anda hanya perlukan buku panduan pemilik dan mungkin lampu suluh. Sekiranya buku panduan tidak ada bersama anda, anda boleh merujuk kepada maklumat yang ada di dalam talian.
- Cecair/Bendalir
Cecair di dalam kereta anda memainkan peranan penting bagi hampir kesemua aspek termasuklah kecekapan, prestasi dan penjimatan bahan api. Dengan memastikan cecair pada kereta anda berada pada paras optimum, ia akan membantu melancarkan pemanduan anda. Terdapat lima jenis cecair yang perlu anda ambil kira iaitu minyak pelincir, cecair penyejuk, minyak brek, cecair stereng berkuasa serta cecair pencuci cermin hadapan.
Bahagian yang paling penting ialah minyak pelincir. Komponen yang berada di dalam enjin akan berputar beribu-ribu kali dalam masa satu minit, dan minyak pelincir inilah yang akan membantu melancarkan putaran tersebut. Bagi memastikan minyak pelincir mencukupi, hampir kesemua kereta akan dilengkapi batang celup atau dipstik di bahagian enjin yang biasanya berwarna kuning dan pemegangnya kelihatan seperti cincin. Matikan enjin terlebih dahulu, tarik batang celup, lap sisa minyak dengan kain bersih, dan ulangi sekali lagi untuk mendapat bacaan yang tepat.
Seterusnya, fungsi cecair penyejuk adalah untuk menghalang enjin daripada terlalu panas dengan memindahkan haba dari enjin ke radiator. Kebiasaannya bekas cecair penyejuk adalah berwarna putih dan jenis telus, terletak di bahagian depan ruang enjin untuk memudahkan memeriksa secara visual paras cecair penyejuk di dalamnya.
Selain itu, cecair penting lain ialah cecair brek yang bertanggungjawab menggerakkan pelbagai komponen sistem brek kereta anda. Paras cecair brek mudah untuk diperiksa. Cari penutup berwarna putih di bahagian belakang yang berdekatan dengan kabin kereta. Sekiranya penutup tersebut adalah jenis telus, ia akan lebih mudah untuk diperiksa, dan jika sebaliknya, anda hanya perlu membuka penutup untuk melihat paras cecair di dalam bekas tersebut. Pastikan enjin kereta dimatikan dan keadaan kereta tidak panas sebelum membuka penutup.
Sistem stereng kuasa juga memainkan peranan penting. Kebanyakkan kereta masa kini dilengkapi dengan sistem stereng kuasa hidraulik yang membantu menjadikan pemanduan jauh lebih mudah walau dalam apa jua kelajuan. Untuk memeriksa cecair stereng, cari reservoir di ruang enjin. Selalunya ia mudah dilihat kerana penutupnya akan dilabelkan sebagai “Power Steering”. Jika tiada sebarang label, cari ikon stereng. Sesetengah kereta mempunyai reservoir separa telus yang akan memudahkan anda memeriksa paras cecairnya sementara sesetengah kereta yang lain pula mempunyai batang celup yang terlekat di penutup.
Akhir sekali, cecair pencuci cermin hadapan juga jangan dilupakan. Pastikan ia diisi agar cermin hadapan kereta anda dapat dibersihkan untuk memberi anda pandangan yang lebih jelas.
Sekiranya cecair berkurangan, isi semula cecair tersebut tetapi jika anda tidak tahu bagaimana untuk melakukannya, kunjungilah ke mana-mana pusat servis setelah tempoh PKP berakhir.
- Bateri
Bateri kereta memainkan peranan penting untuk menghidupkan komponen elektrik di dalam kereta. Selain menghidupkan enjin kereta secara berkala untuk memastikan alternator mengecas bateri, kita juga perlu memastikan pengapit bateri dipasang ketat, bersih dan tidak berkarat.
Pemeriksaan bateri secara fizikal juga penting untuk mengetahui sekiranya terdapat sebarang keretakan. Pertama, anda perlu memeriksa sama ada terdapat bonjolan pada permukaan bateri. Selepas itu, periksa pengapit bateri untuk melihat kesan-kesan hakisan.
Catat tarikh anda menukar bateri pada buku panduan pemilik. Sebagai alternatif, jika anda mempunyai voltmeter di rumah, anda boleh memeriksa voltan bateri. Bacaan di bawah 14v semasa enjin dihidupkan bermakna bateri anda lemah. Seeloknya, periksa alternator anda jika bacaan lebih rendah daripada itu.
- Lampu
Perkara seterusnya yang perlu anda periksa adalah lampu. Pastikan lampu depan, lampu belakang, lampu brek dan lampu isyarat berfungsi sebelum anda memulakan pemanduan. Satu cara mudah untuk memeriksa lampu belakang adalah dengan meletakkan kereta berdekatan dengan dinding dan gunakan cermin pandang belakang untuk melihat sama ada lampu berfungsi dengan baik. Sekiranya terdapat mana-mana lampu yang tidak terang, ganti mentol di pusat servis terdekat selepas tempoh PKP berakhir.
- Tayar
Tayar kereta adalah sama seperti sepasang kasut dan sekiranya dijaga dengan rapi, ia akan memastikan keselamatan anda dan kenderaan lain di jalan raya. Perkara pertama yang perlu diperhatikan adalah jika terdapat sebarang rekahan, koyakan atau lekukan. Pada masa yang sama, perhatikan sekiranya terdapat bahagian tayar yang kekurangan angin. Sekiranya ada, anda perlu mengepam tayar tersebut. Tetapi, lakukan hanya jika anda benar-benar perlu keluar untuk mendapatkan barang keperluan.
Seterusnya adalah tekanan tayar anda. Sebaiknya, periksa tekanan tayar menggunakan tolok tekanan tayar. Tekanan tayar yang betul boleh didapati di dalam buku panduan atau di tepi pintu pemandu. Tekanan tayar yang disyorkan adalah berbeza untuk setiap kereta. Bahaya sekiranya anda menggunakan tayar dengan tekanan yang terlalu rendah atau terlalu tinggi kerana ia akan menjadi punca kehausan tayar yang tidak rata dan anda perlu menukar tayar dengan lebih cepat.
Perkara lain yang perlu dititikberat adalah bebenang tayar. Setiap tayar dilengkapi dengan indikator bunga-haus yang terletak di antara blok bunga. Berfungsi membantu anda memantau kehausan tayar tersebut, penunjuk ini dijarakkan secara rata dan diletakkan selari dengan alur. Sekiranya ia dilihat separas dengan penunjuk, maka sudah tiba masa untuk anda mengganti tayar baharu.
- Bilah pengelap
Pengelap cermin hadapan yang berfungsi dengan baik akan dapat memastikan keselamatan anda di jalan raya. Semakin kerap kita menggunakannya, ia akan secara beransur-ansur menjadi keras dan merekah, menyebabkan terdapat garis-garis yang akan mengaburi penglihatan ketika memandu. Untuk mengetahui sama ada bilah pengelap anda berfungsi dengan baik, anda boleh hidupkan fungsi pengelap, sebaik sahaja anda menyedari pengelap tidak memberikan sapuan yang jelas malahan meninggalkan garisan atau mengeluarkan bunyi, ini bermaksud anda perlu menukarnya sebaik sahaja tempoh PKP tamat.
Selain mengangkat bilah pengelap tersebut sekiranya kereta anda diparkir di bawah terik matahari, anda juga boleh membersihkan bilah tersebut dengan tuala lembap untuk menghilangkan kotoran atau minyak untuk memastikan ia boleh digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama.
Itu sahaja yang dapat dikongsikan. Panduan ini dapat memastikan setiap komponen penting pada kereta anda dapat berfungsi dengan baik dan dalam pada masa yang sama untuk memastikan keselamatan anda, keluarga, serta pengguna jalan raya yang lain, tanpa mengira tempoh PKP atau pada bila-bila masa.
Untuk mendapatkan lebih banyak panduan berguna serta maklumat mengenai produk dan servis PROTON, sila layari laman web di https://www.proton.com/en/corporate/staysafe-staystrong-malaysia.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
10 FAKTA TENTANG MOVEMBER BOLEH SELAMATKAN NYAWA ANDA
Kempen Movember menonjol sebagai gerakan penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan lelaki.
LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH
Semasa matahari terbenam di ufuk pada hari terakhir tahun 2023, Lexis Hibiscus Port Dickson berubah menjadi syurga kaleidoskopik bagi lebih daripada 2,000 para tetamu yang meraikan perayaan Malam Tahun Baru yang paling dinantikan tahun ini.
STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID
Bagi peminat chef selebriti terkenal Gordon Ramsay, anda kini boleh menikmati makanan lazat di restoran terbarunya Street Pizza di Sunway Pyramid.
SISTEM MUZIK REVOLUSIONER SIRI 100 RUARK MENGHUBUNGKAN ANDA DENGAN MUZIK
Ruark menampilkan Siri 100 sistem muzik yang menawarkan lonjakan dalam kualiti audio evolusi dan gabungan kesenian dan inovasi yang lancar.
10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA
Daripada menunggu lamaran cinta hati, barisan selebriti ini memilih untuk mengabaikan gelaran 'perigi cari timba' dan melamar lelaki idaman.
BACHA COFFEE MEMBUKA DESTINASI SUMBANGANNYA DI SURIA KLCC
Jenama kopi legenda Bacha Coffee diasaskan di Marrakech pada tahun 1910, telah meneruskan jelajah dunianya ke tengah-tengah Kuala Lumpur Suria KLCC.