Skip to content

BAGAIMANA STRES, DIET DAN TIDUR MEMPENGARUHI NAFSU SEKSUAL LELAKI

Kongsikan artikel ini

Ada masa, walaupun badan sihat, hubungan tetap rasa hambar. Nafsu seks menurun dan kita tak tahu kenapa. Bukan sebab tidak lagi cinta. Bukan sebab tidak tertarik. Tapi entah, rasa itu hilang perlahan-lahan. Sebenarnya, ini bukan masalah luar biasa. Ia berlaku pada ramai lelaki, namun tak ramai yang berani untuk membincangkannya.

Dalam hidup yang serba pantas dan padat hari ini, banyak perkara boleh mempengaruhi dorongan seksual lelaki. Ia bukan sekadar soal hormon. Tetapi berkait rapat dengan tekanan hidup, cara kita menjaga badan, dan sejujurnya, bagaimana kita rehat. Bila stres tidak terkawal, makan tidak tentu arah, dan tidur pun tunggang-langgang, jangan terkejut kalau keinginan seksual mula menurun tanpa disedari.

Soalnya, bagaimana semua ini saling berkait? Dan apa sebenarnya yang berlaku dalam tubuh apabila nafsu seks semakin berkurangan?

Punca Nafsu Seks Lelaki Berkurang

nafsu seks berkurang

Kredit foto: Getty Images

1. Tekanan harian boleh matikan rasa ingin

Setiap orang melalui rasa stres termasuklah para lelaki. Tetapi apabila tekanan itu menjadi rutin, hormon kortisol dalam badan turut akan naik dan ini sekaligus mengganggu penghasilan testosteron. Hasil kajian dari Journal of Sexual Medicine, lelaki yang hidup dalam tekanan kronik lebih cenderung alami masalah keinginan seksual rendah, dan dalam banyak kes, turut hadapi gangguan ereksi.

Lelaki mungkin tidak sedar, tetapi apabila fikiran terlalu sibuk dengan hal kerja, kewangan atau masalah peribadi, otak kita secara automatik akan meletakkan seks di tempat paling bawah dalam senarai keperluan.

2. Cara makan juga meninggalkan kesan

Makanan yang kita ambil setiap hari memberi kesan langsung pada tenaga, mood dan nafsu seks. Kajian dari Harvard dapati diet gaya Mediterranean (sayur, ikan, kekacang, minyak zaitun) membantu meningkatkan aliran darah dan kesihatan jantung, dua perkara yang penting untuk prestasi seksual.

Sebaliknya, makanan proses, tinggi gula dan berlemak tepu? Boleh menyebabkan letih, lesu dan mengganggu keseimbangan hormon. Lama-kelamaan, dorongan seksual juga akan ikut merosot.

3. Tidur: Perkara paling ringkas, tetapi sering diabaikan

Ramai lelaki fikir yang mana kurang tidur tidak mengapa, asalkan kerja siap, hidup akan terus berjalan. Walhal hakikatnya, tidur cukup adalah kunci utama untuk badan menghasilkan testosteron. Kajian dari University of Chicago membuktikan, lelaki yang tidur kurang 6 jam semalam alami penurunan hormon seks sehingga 15%.

Apabila tidur tidak cukup, mood jadi tidak stabil, tenaga menurun, dan keinginan untuk bersama juga perlahan-lahan hilang.

Apa Yang Lelaki Boleh Lakukan Untuk Pulih Nafsu Seks?

Kredit foto: Getty Images

Langkah pertama? Belajar untuk dengar tubuh sendiri. Bila letih, rehat. Bila stres, cari ruang untuk bertenang. Mulakan dengan perubahan kecil seperti kurangkan kopi malam, tambah sayur-sayuran dalam hidangan, cuba lelap sebelum tengah malam. Tidak perlu ubah semua sekaligus, cukup konsisten sudah dapat menunjukkan hasilnya.

Ingat, nafsu seks bukan sekadar tentang hubungan fizikal. Ia cerminan keseimbangan hidup. Bila tubuh dan minda tenang, keinginan itu akan kembali dengan sendirinya, perlahan, tetapi pasti.

Kita jarang bincang soal nafsu seks secara terbuka. Namun realitinya, ia bukan perkara memalukan. Ia tentang kesihatan secara keseluruhan. Jika anda rasa ada perubahan dalam diri, jangan simpan. Ambil masa untuk faham, rawat dan pulihkan. Kerana lelaki yang tahu jaga dirinya, adalah lelaki yang benar-benar kuat bukan sahaja di luar, tetapi juga dalam diamnya.

Artikel berkaitan: BERAPA KALI SEKS ITU ‘NORMAL’? KAJIAN DEDAH REALITI LELAKI MALAYSIA

By Farhana Fuad
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 DIET YANG BOLEH MEROSAKKAN KEHIDUPAN SEKSUAL ANDA

5 DIET YANG BOLEH MEROSAKKAN KEHIDUPAN SEKSUAL ANDA

Bacaan Lanjut
makanan Lelaki

5 MAKANAN YANG LELAKI PERLU ELAK UNTUK ZAKAR LEBIH KUAT

Bacaan Lanjut
BERDEPAN KEKECEWAAN SEKSUAL MUNGKIN ANDA JUGA MANGSA!

BERDEPAN KEKECEWAAN SEKSUAL? MUNGKIN ANDA JUGA MANGSA!

Bacaan Lanjut

5 TIP MUDAH PENJAGAAN ZAKAR UNTUK KEKAL SIHAT DAN KUAT!

Bacaan Lanjut

BANDARAYA YANG PALING ‘HORNY’ DI DUNIA

Bacaan Lanjut

MAKAN INI UNTUK MENINGKATKAN STAMINA SEKS DAN ORGASME LELAKI

Bacaan Lanjut