Skip to content

JAC T9 PHEV: PIKAP HIBRID PLUG-IN PETROL PERTAMA DIPASANG SECARA TEMPATAN

JAC T9 PHEV: PIKAP HIBRID PLUG-IN PETROL PERTAMA DIPASANG SECARA TEMPATAN

Kongsikan artikel ini

JAC T9 Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) Petrol diperkenalkan oleh Evolvelectric Motors Sdn Bhd tahun ini. 

Model ini mencipta sejarah sebagai trak pikap hibrid plug-in petrol pertama di Malaysia. Ia dipasang secara tempatan, sekali gus menggabungkan keupayaan sebuah kenderaan 4×4 dengan teknologi elektrifikasi.

Ditawarkan pada harga bermula RM154,888, JAC T9 PHEV Petrol turut hadir dalam varian eksklusif ADVENTURE pada harga RM162,888. Varian tersebut tampil lebih menyerlah menerusi penggunaan tayar all-terrain yang dipertingkatkan serta rim aloi hitam yang memberikan penampilan lebih lasak.  Menariknya, JAC T9 PHEV Petrol merupakan satu-satunya trak pikap PHEV yang tersedia di pasaran Malaysia ketika ini. Ia dikuasakan enjin petrol turbo 2.0 liter yang dipadankan dengan sistem pacuan empat roda elektrik (4WD) dwi-motor serta transmisi hibrid 4DHT. Gabungan rangkaian kuasa ini menghasilkan output keseluruhan sebanyak 360kW dan tork maksimum 1,000Nm.

JAC T9 PHEV

Sistem Motor Dan Keselamatan Lengkap

Sistem motor elektriknya terdiri daripada motor hadapan yang menjana kuasa 130kW dengan tork 300Nm. Manakala motor belakang menghasilkan 150kW dan tork 340Nm. Kombinasi tersebut menawarkan tindak balas pemanduan yang responsif selain meningkatkan cengkaman ketika meredah pelbagai keadaan permukaan jalan.  Dari segi keupayaan elektrifikasi, trak pikap ini dilengkapi bateri Lithium Iron Phosphate (LFP). Ia berkapasiti 31.2kWh daripada Gotion High-Tech dengan voltan terkadar 359.1V. Ia menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 100 kilometer berdasarkan piawaian New European Driving Cycle (NEDC). Selain itu, ia turut mencatatkan penggunaan bahan api yang didakwa serendah 1.6 liter bagi setiap 100 kilometer.

Bagi memastikan pengalaman pemanduan lebih selamat, JAC T9 PHEV Petrol turut dilengkapi sistem bantuan pemandu ADAS 2.0. Antara ciri yang disediakan termasuk Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist dan Automatic Emergency Braking. Selain itu, Blind Spot Detection, Speed Limit Assistant dan Door Opening Warning. Tidak ketinggalan, model ini turut dilengkapi Driver Monitoring System, kamera pandangan sekeliling 360 darjah serta Transparent Chassis View yang membantu pemandu memantau keadaan di sekitar kenderaan. Dari aspek keselamatan, JAC T9 PHEV Petrol juga telah memperoleh penarafan lima bintang daripada Australasian New Car Assessment Program (ANCAP).

Ciri Praktikal JAC T9 PHEV

Dibina berasaskan platform antarabangsa generasi ketiga JAC, model ini turut mengekalkan ciri praktikaliti yang menjadi kelebihan utama sebuah trak pikap. Ia menawarkan kapasiti menunda sehingga 3,500 kilogram dengan brek serta keupayaan meredah air sedalam 550 milimeter. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Evolvelectric Motors, Lau Yit Mun, JAC T9 PHEV Petrol menawarkan gabungan prestasi, fleksibiliti dan nilai yang menarik, sekali gus menjadi pilihan buat mereka yang memerlukan kenderaan untuk kegunaan perniagaan mahupun keluarga.

Dia turut menjelaskan bahawa fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan kapasiti nyahcas sehingga 15kW membolehkan trak pikap ini berfungsi sebagai stesen kuasa mudah alih. Kemudahan tersebut membolehkan pemilik menggunakan peralatan elektrik dan perkakasan kerja ketika berada di luar. Sama ada untuk urusan pekerjaan mahupun aktiviti rekreasi.

Dari segi pemanduan, JAC T9 PHEV Petrol menyediakan tiga mod iaitu Eco, Standard dan Sport, selain lima mod permukaan berbeza merangkumi Snow, Sand, Mud, Rock dan Off-road Cruise. Pilihan ini membolehkan pemandu menyesuaikan prestasi kenderaan mengikut keadaan jalan serta keperluan perjalanan.

Untuk pengecasan, model ini menyokong sistem DC fast charging dan pengecasan AC. Pengecasan DC mengambil masa kira-kira 30 minit untuk meningkatkan kapasiti bateri daripada 15 peratus kepada 80 peratus, manakala pengecasan AC memerlukan sekitar 3.5 hingga 5.5 jam bagi julat yang sama, bergantung pada peralatan serta keadaan pengecasan.

Barisan Warna Menarik Tampil

Melengkapkan penampilannya, JAC T9 PHEV Petrol ditawarkan dalam lima pilihan warna luaran iaitu biru, putih, perak, kelabu gelap dan hitam. Ruang kabinnya pula menampilkan tempat duduk kulit hitam dengan kemasan jahitan corak berlian yang memberikan sentuhan lebih premium.

Dari aspek jaminan, bateri EV dilindungi selama lapan tahun atau 150,000 kilometer, manakala jaminan kenderaan diberikan selama tujuh tahun atau 150,000 kilometer, mengikut mana-mana yang terdahulu.

Dengan gabungan teknologi hibrid plug-in, keupayaan pacuan empat roda dan ciri praktikaliti sebuah trak pikap, JAC T9 PHEV Petrol hadir sebagai pilihan baharu buat pengguna yang mahukan sebuah kenderaan serba boleh tanpa mengetepikan prestasi dan keselesaan.

Pautan berkaitan: TESLA ROADSTER, KERETA TERBANG BUKAN LAGI FIKSYEN

Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

OUR NEW JAMES BOND! ROBERT PATTINSON DIUMUMKAN SEBAGAI PELAKON 007 BAHARU

OUR NEW JAMES BOND! ROBERT PATTINSON DIUMUMKAN SEBAGAI PELAKON 007 BAHARU

Bacaan Lanjut

YANG CHAO-YUE & DONG SI-CHENG BINTANGI DRAMA ROMANTIK BAHARU, SUNSHINE THROUGH THE RAIN

Bacaan Lanjut
GOTEWELL FESTIVAL BAKAL MENGHIDUPKAN SEMANGAT FITNESS DI SENTUL DEPOT

GOTEWELL FESTIVAL BAKAL MENGHIDUPKAN SEMANGAT FITNESS DI SENTUL DEPOT!

Bacaan Lanjut
MELON MUSIC AWARDS 2026: MALAM GEMILANG BUAT BINTANG K-POP

MELON MUSIC AWARDS 2026: MALAM GEMILANG BUAT BINTANG K-POP

Bacaan Lanjut
RESEPI RAHSIA HAEL HUSAINI: DISEBALIK KEJAYAAN DUA DASAWARSA DALAM INDUSTRI MUZIK

DUA DEKAD HAEL HUSAINI: ANTARA AMBISI, EVOLUSI DAN LEGASI

Bacaan Lanjut
LONGINES MEMPERLUAS KOLEKSI SPIRIT DENGAN EMPAT MODEL BARU

LONGINES MEMPERLUAS KOLEKSI SPIRIT DENGAN EMPAT MODEL BARU

Bacaan Lanjut