NOW SHOWING: 9 FILEM DALAM TAYANGAN ANDA PATUT TONTON SEBELUM JUN 2026 BERAKHIR!
Sebelum terlepas, pastikan anda tonton 9 filem pelbagai genre yang kini dalam tayangan di pawagam sebelum bulan Jun 2026 berakhir.
Tayangan di pawagam semakin hari semakin menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagu dalam jangka masa ini. Dari kisah seram hingga ke filem romantik komedi yang membuat kemunculan semula di Malaysia tersenarai. Bukan sekadar filem antarabangsa, malah filem tempatan turut mendominasi bulan ini. GLAM Lelaki akan bantu, supaya anda tidak terlepas dari menonton filem-filem menarik yang berada di dalam tayangan di pawagam sepanjang Jun 2026 ini.
Berikut adalah sembilan filem dalam tayangan di pawagam dan wajib dimasukkan dalam senarai tontonan anda sebelum Jun 2026 berakhir.
1. Khadam
Filem seram psikologi ini mengisahkan Melor yang terpaksa mewarisi Khadam keluarganya selepas kematian ibu. Namun, makhluk ghaib tersebut bukan sekadar menghantui hidupnya, malah menjelma sebagai versi dirinya yang lebih sempurna. Ketika Khadam mula mengambil alih peranannya sebagai isteri dan ibu, Melor perlu berjuang untuk mendapatkan semula kehidupannya sebelum kehilangan identiti sendiri.
Pelakon: Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl’ El dan Jun Lojong.

2. Colony
Gabungan elemen sains fiksyen dan thriller menjadikan Colony antara filem yang dinanti-nantikan tahun ini. Profesor Se Jeong menghadiri sebuah persidangan bioteknologi sebelum keadaan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila virus mutasi pantas dilepaskan secara tidak sengaja. Ketika jangkitan merebak dan mangsa mula berubah, pihak berkuasa mengunci seluruh fasiliti, memaksa mereka berjuang untuk terus hidup.
Pelakon: Gianna Jun (Jun Ji-hyun), Koo Kyo-hwan, Ji Chang-wook, Shin Hyun-been, Kim Shin-rock dan Go Soo.

3. Kata Hati
Drama romantik tempatan ini mengikuti perjalanan hidup Ayra Natasha, seorang pelakon yang sedang meningkat naik namun berdepan krisis selepas terpalit dengan insiden tular. Dalam tempoh sukar itu, dia bertemu Imran, seorang pemandu e-hailing yang melayannya seperti insan biasa dan bukannya selebriti. Hubungan mereka yang semakin rapat memaksa Ayra membuat pilihan antara cinta yang tulus atau kehidupan glamor bersama aktor terkenal, Zayn.
Pelakon: Nia Atasha, Yusof Hashim, Fazziq Muqris, Scha Alyahaya dan Taqim Zaki.

4. The Furious: Pertaruhan Maruah
Konflik keluarga, maruah dan dendam menjadi tunjang utama filem aksi ini. Apabila seorang YouTuber menghina nama bapa mereka yang telah meninggal dunia, dua beradik, Firdaus dan Hakim, kembali bersatu. Namun, seorang mencari penebusan manakala seorang lagi dahagakan pembalasan. Pertembungan mereka bakal menentukan masa depan legasi The Furious.
Pelakon: Zul Ariffin, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Zamarul Hisham dan Sandra Lim.

5. Polong
Mengangkat kisah mistik Melayu yang sarat dengan unsur seram, Polong mengisahkan Maria Hadi yang sepanjang hidupnya mengamalkan ilmu hitam. Ketika berada di penghujung usia dan cuba mencari keampunan Tuhan, dia terpaksa memindahkan polong miliknya kepada individu yang salah. Selepas kematiannya, polong tersebut bangkit menuntut balas sambil membawa sumpahan kepada pewaris baharunya.
Pelakon: Mimi Lana, Fad Anuar, Nadiya Nisaa, June Lojong dan Namron.

6. Suamiku Lukaku
Filem drama emosi ini menyentuh isu keganasan rumah tangga menerusi kisah Amina yang berusaha melindungi anaknya yang sedang sakit tenat. Di sebalik imej suami yang baik di mata masyarakat, tersembunyi sisi kejam yang memerangkap dirinya dalam penderitaan. Harapan muncul apabila dia bertemu seorang peguam yang sedia membantu, namun jalan menuju kebebasan bukanlah mudah.
Pelakon: Acha Septriasa, Baim Wong dan Raline Shah.

7. Power Ballad
Menggabungkan unsur komedi dan muzik, Power Ballad mengisahkan Rick, seorang penyanyi majlis perkahwinan yang semakin dilupakan, dan Danny, bekas bintang kumpulan lelaki yang kariernya semakin malap. Persahabatan mereka berubah apabila lagu ciptaan Rick menjadi hit selepas digunakan oleh Danny, mencetuskan konflik tentang pengiktirafan dan kejayaan.
Pelakon: Paul Rudd, Nick Jonas dan Peter McDonald.

8. 5 Bomoh
Filem komedi keluarga ini mengetengahkan pertembungan antara kepercayaan tradisional dan pemikiran moden. Rashdan terlalu bergantung kepada amalan tahyul keluarganya sehingga sering bertelagah dengan isterinya, Sakinah. Apabila anak mereka gagal memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM, Rashdan nekad membawa keluarganya mengembara ke seluruh negara mencari bomoh terbaik demi mengubah nasib anaknya.
Pelakon: Aaron Aziz, Scha Al-Yahya, Amy Search, Afdlin Shauki, Johan, Aedy Ashraf dan Syed Fariz.

9. Backroom
Diadaptasi daripada siri video found-footage tular karya Kane Parsons, Backroom membawa penonton meneroka ruang pejabat misteri yang tersembunyi di sebalik dinding sebuah premis runcit. Dengan lorong-lorong kuning yang tidak berpenghuni dan suasana yang semakin mengganggu, sekumpulan individu cuba merungkai rahsia di sebalik tempat tersebut yang mungkin menyimpan sesuatu yang bukan dari dunia ini.
Pelakon: Chiwetel Ejiofor, Renate Reinsve, Mark Duplass dan Finn Bennett.

Sama ada anda peminat filem seram, aksi, drama romantik atau komedi, sembilan judul ini menawarkan pengalaman tontonan yang berbeza dan menghiburkan. Jadi, filem manakah yang paling menarik perhatian anda untuk ditonton di pawagam minggu ini?
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
AKHIRNYA FILEM ROM-COM MALAYSIA! KATA HATI BAWA SEMULA GENRE ROMANTIK KOMEDI
Filem Kata Hati bawakan semula genre romantik komedi yang dirindui ramai, ke pawagam pada 4 Jun 2026 akan datang!






