“SAAT PALING MENDEBARKAN ADALAH BERSENTUHAN KALI PERTAMA DENGAN AJNABI” – MOHAMAD JAZLAN JAN KONGSI FASA PENYATUAN BERSAMA ISTERI
Air mata kesyukuran berderai hiba, saat menyentuh yang halal buat dirinya. Detik disatukan buat pertama kali, menjadi momen manis buat pasangan ini, tular diperkatakan netizen hingga ke hari ini. Walau setahun berlalu pergi, namun kisah cinta agung mereka tetap jadi inspirasi. Dek perhubungan yang terjalin dengan keikhlasan, mengabadikan sebuah ikatan.
Tiada siapa menyangka, rakaman video majlis pernikahan Mohamad Jazlan Mohamad Jan dan isteri, Nurul Hidayah Zaini menjadi tular, menyentuh jiwa dan nurani yang menontoni. Ramai mendoakan kebahagiaan mereka, tidak kurang jua yang mendoakan diri agar turut sama menerima pasangan persis mereka berdua. Ya, kami juga turut terkesan dengan keindahan perhubungan mereka yang jelas berlandaskan kepercayaan dalam melayari bahtera perkahwinan. Lantas, penulis GL, Wan Mohd Firdaus menghubungi Mohamad Jazlan Jan, yang kini berada di Madinah, memintanya berkongsi detik perkenalan serta keindahan fasa ‘bercinta selepas kahwin’ yang dilalui mereka berdua. Semoga bermanfaat buat anda semua.
GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan serba sedikit tentang diri anda. Nama penuh, umur, pekerjaan, asal, adik beradik, hobi atau apa saja yang ingin anda kongsikan.
JAZLAN JAN: Assalamualaikum semua. Bersyukur kepada Allah S.W.T atas kesempatan yang diberikan ini dan jutaan terima kasih kepada pihak GLAM Lelaki kerana sudi menyiarkan kisah hidup saya dan isteri. Baiklah, nama penuh saya Mohamad Jazlan Mohamad Jan. Saya berumur 29 tahun, dan saya merupakan penuntut akhir Universiti Islam Madinah dalam Jurusan Syariah. Saya berasal dari Hulu Langat, Selangor dan hobi saya bermain bola sepak.
GLAM Lelaki: Baiklah, video sewaktu pernikahan anda bersama pasangan setahun lalu yang tular kembali menjadi perhatian selepas Fasha Sandha merepos video tersebut ke dalam akaun Instagramnya, mengharapkan untuk bertemu jodoh sebaik anda. Pernah tidak anda menyangka video itu kembali popular?
JAZLAN JAN: Walaupun setahun sudah berlalu tetapi saya tidak menyangka video itu masih menjadi topik perbualan dan popular khususnya di media sosial. Asalnya video itu diedit sendiri oleh isteri untuk kenangan kami, tetapi tak sangka pula mendapat respon positif. Alhamdulillah ramai yang mengambil ibrah (iktibar /I’tibar), walaupun tak mengenali kami tetapi ramai yang mendoakan. Sesungguhnya hanya Allah yang mampu membalas doa kalian. Terima kasih buat anda yang menularkan video pernikahan kami itu. Semoga ianya menjadi asbab buat kita untuk menjadi hamba yang lebih dekat dengan Rabb.
GLAM Lelaki: Sejak penularan video tersebut, sejauh mana ia mengubah mahupun memberi kesan dalam kehidupan anda, suami dan isteri?
JAZLAN JAN: Sejak penularan video itu banyak perubahan dalam hidup kami, mungkin biasa pada isteri tetapi tidak saya. Maklumlah, isteri saya memang seorang yang aktif dalam media sosial malah mempunyai blog sendiri. Berbeza latar belakang pula dengan saya, saya dari kecil bersekolah tahfiz, jadi sedikit janggal bila berinteraksi dengan wanita terutama di hadapan ramai orang. Namun alhamdulillah dari situ saya belajar menyesuaikan diri dengan orang ramai terutama pengikut-pengikut kami. Kami juga turut pernah diundang untuk sesi-sesi motivasi. Walau usia perkahwinan kami masih baru, tapi ramai yang meminta nasihat dan pandangan dalam perkahwinan. Kami hanya memberi pandangan dan nasihat bersesuai dengan keadaan.
GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan serba sedikit apa sebenarnya yang berlaku di sebalik video tersebut.
JAZLAN JAN: Saya yakin majlis nikah adalah debaran hebat bagi setiap pengantin baru, selain akad nikah, paling mendebarkan adalah pengalaman bersentuhan kali pertama dengan ajnabi (orang asing). Waktu itu, ramai saudara mara yang mengusik kami, isteri pun turut menyakat saya. Cemas dengan tangan berpeluh dan menggigil. Apabila kali pertama saya menyentuh jarinya, saya terbayangkan nasihat Sheikh masa saya belajar tahfiz dahulu, iaitu “Saat nikah, sentuhan pertama itu sentuhan yang sangat bermakna bagi orang yang menjaga dirinya dari disentuh, dan sangat biasa bagi orang yang biasa dirinya disentuh”. Seperti yang anda semua dapat saksikan dalam video tersebut, ya saya menangis kesyukuran kerana itulah pertama kalinya saya menyentuh wanita yang bukan mahram dalam hidup saya.
https://www.instagram.com/p/BZrAc6VhYAb/?taken-by=fashasandha
GLAM Lelaki: Seperti diketahui, penyatuan anda berdua disatukan oleh keluarga, dan kemudiannya terus melangsungkan perkahwinan. Jadi boleh anda kongsikan serba sedikit bibit perkenalan anda dan isteri, Nurul Hidayah.
JAZLAN JAN: Sebenarnya kami sama sama tinggal di Madinah. Isteri bekerja dan saya pelajar. Kisah pertemuan kami pada musim Haji tahun lepas sewaktu kami menyambut kedatangan jemaah Malaysia di Madinah. Dari situ kami berjumpa mak ayah angkat isteri datang menziarahi Madinah. Yang menariknya tak sangka kami sekampung. Sebelum berhubung dengan dia, saya meminta izin dari mak ayah kandungnya dulu dan alhamdulillah mereka merestui. Dan dengan izin Allah urusan pernikahan kami dipermudahkan sewaktu kami sama-sama bercuti semester.
GLAM Lelaki: Kenapa dirinya menjadi pilihan anda? Keistimewaan isteri di mata anda.
JAZLAN JAN: Dia sangat istimewa. Setiap hari saya lihat dia sentiasa memperbaiki diri menjadi lebih baik. Seorang yang ceria dan berdikari, sentiasa menghormati setiap keputusan dan menyokong saya. Dia bijak dalam memberi pandangan, walaupun lasak dia masih kekalkan kelembutan sebagai seorang muslimah sejati dalam bertutur terutama menghormati orang tua.
GLAM Lelaki: Ramai yang tidak meyakini konsep bercinta selepas kahwin, terutama sekali pada zaman sekarang. Mungkin anda boleh kongsikan panduan melayari bahtera perkahwinan yang anda berdua amalkan. Mungkin tiga (3) tip yang boleh anda kongsikan.
JAZLAN JAN: Pertama sekali, terapkan pendidikan agama dalam keluarga, amalkan kehidupan rumah tangga seperti yang diamalkan Rasullullah s.a.w dan isteri, seperti solat jemaah bersama. Kedua, perlu saling mempercayai. Berkongsi masalah dan rahsia untuk mengelakkan fitnah atau buruk sangka. Jangan pendam. Dan yang ketiga, perlu saling menghormati pandangan dan sama-sama menyelesaikan apa jua masalah yang melanda.
GLAM Lelaki: Pada zaman sekarang, pergaulan bebas remaja membawa kepada perbuatan sumbang mahram dan gejala sosial. Bagaimanakah untuk mengelakkan perkara ini dari berleluasa dari sudut pandangan anda sebagai seorang yang berjaya mengekalkan keimanan dalam pergaulan dan adab sesama muhrim.
JAZLAN JAN: Didikan pertama bermula dari rumah, guru pertama anak anak adalah ibu bapa. Seperti sabda Nabi SAW, “Anak-anak bila dilahirkan seperti kain putih, ibu dan ayah yang mencoraknya”. Terapkan didikan agama dalam diri anak-anak, bila seorang remaja itu mengenali TuhanNya, rasa malu untuk berbuat dosa akan hadir dengan sendirinya. Itu tanda iman masih ada. Yang penting jangan tinggal solat, sedangkan solat itu yang boleh memelihara kita dari maksiat.
GLAM Lelaki: Kata kata terakhir buat pengikut-pengikut kalian.
JAZLAN JAN: Bagi mereka yang sentiasa menyokong kami, saya dan isteri mengucapkan terima kasih, malah kami terharu kalian sentiasa mendoakan kebahagiaan kami. Ketahuilah bila mana seseorang itu mendoakan kebaikan untuk saudaranya yang lain, maka malaikat akan membalas dengan mendoakan kebaikan kepadanya. Semoga Allah perkenankan doa kita semua. Dan buat mereka yang belum berkahwin, saya doakan semoga kalian mendapat jodoh yang baik dan soleh/solehah sesuai dengan jiwa kalian. Insya allah. Amin.
Oleh Wan Mohd Firdaus (Instagram: @wanmohdfirdaus), 6 Oktober 2017
(Sumber foto: Koleksi Peribadi Muhamad Jazlan Jan dan Instagram @jaz_z88 & @nurulhidayahzaini)
Tags
Artikel Yang Berkaitan
10 FAKTA TENTANG MOVEMBER BOLEH SELAMATKAN NYAWA ANDA
Kempen Movember menonjol sebagai gerakan penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan lelaki.
5 RESTORAN DI KUALA LUMPUR UNTUK MAKAN MALAM ROMANTIK
Jika anda ingin membuat kejutan untuk pasangan dengan makan malam yang romantik, restoran-restoran ini akan menyediakan makanan dan atmosfera yang akan membuat sesiapa pun terpukau.
LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH
Semasa matahari terbenam di ufuk pada hari terakhir tahun 2023, Lexis Hibiscus Port Dickson berubah menjadi syurga kaleidoskopik bagi lebih daripada 2,000 para tetamu yang meraikan perayaan Malam Tahun Baru yang paling dinantikan tahun ini.
STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID
Bagi peminat chef selebriti terkenal Gordon Ramsay, anda kini boleh menikmati makanan lazat di restoran terbarunya Street Pizza di Sunway Pyramid.
SISTEM MUZIK REVOLUSIONER SIRI 100 RUARK MENGHUBUNGKAN ANDA DENGAN MUZIK
Ruark menampilkan Siri 100 sistem muzik yang menawarkan lonjakan dalam kualiti audio evolusi dan gabungan kesenian dan inovasi yang lancar.
10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA
Daripada menunggu lamaran cinta hati, barisan selebriti ini memilih untuk mengabaikan gelaran 'perigi cari timba' dan melamar lelaki idaman.