Fesyen Lelaki Kini Lebih Terbuka
January 7, 2016

Gambar: TPG Images
Kelompok lelaki tempatan semakin cenderung untuk lebih berketerampilan dari aspek gaya, tubuh badan dan ramai yang sanggup berbelanja ekstra demi menuruti kehendak cita rasa fesyen peribadi. Isu ini amat subjektif serta disifatkan sebagai perkembangan positif.
Saya kerap diajukan soalan-soalan berkaitan dengan fesyen. Mungkin sebab saya bertugas dalam bidang penerbitan majalah fesyen, ramai kawan-kawan merujuk dan bertanya pelbagai soalan serta isu fesyen semasa. Berikut antara soalan-soalan paling popular berserta persepsi saya terhadap topik yang diutarakan. “Apakah pendapat anda tentang fesyen lelaki Malaysia?” Jujurnya, saya bosan dengan jenis soalan seperti ini dan rasakan seperti tak ada topik lain ke selain fesyen yang boleh dibincangkan? Haha. Akan tetapi saya menghormati sifat ingin tahu mereka terhadap pandangan saya mengenai senario fesyen tempatan hari ini.
Minat lelaki tempatan kian berubah yakni terarah fesyen. Harus diakui, golongan lelaki di Malaysia semakin menerima, memahami dan bersikap lebih terbuka terhadap fesyen. Ramai bisa berbicara secara terbuka tentang topik fesyen. Dan paling jelas, mereka tak lagi berani melemparkan persepsi negatif atau menghakimi individu yang mengikuti perkembangan dunia fesyen atau ‘cuba-cuba’ untuk bergaya. Lihat sahaja gaya lelaki di pejabat atau institusi kewangan, ramai sudah memakai kemeja dan seluar slack berpotongan ikut badan dan menjadikan tali leher, pocket square, kasut kulit mewah sebagai pelengkap gaya.
Dahulu, lelaki yang cuba menunjukkan minat dalam fesyen atau berani bergaya lebih, tentunya menerima stigma serta dilabel homoseksual. Maka sebab itulah, lelaki nak beli majalah fesyen pun malu. Saya yakin ramai jejaka urban metro seksual di Malaysia yang lama bersembunyi kini mula keluar daripada kepompong mereka sealiran dengan perkembangan trend kontemporari. Pertambahan golongan profesional muda juga mempercepatkan lagi pengaruh trend ataupun fenomena baru ini. Tak kira lapangan kerja atau latar belakang, masing-masing tak lagi hanya berbual tentang bola sepak di kedai kopi, malah bersatu berkongsi minat dan nak tahu di mana mereka boleh mendapatkan pakaian cantik.
Paling ketara, semakin ramai lelaki sanggup berbelanja lebih demi mendapatkan pakaian atau fesyen diingini. Tak lagi kedekut atau lokek untuk berbelanja pakaian berjenama tinggi serta berkualiti. Baru-baru ini, H&M berkolaborasi bersama Alexander Wang dan saya sendiri menyaksikan lebih daripada separuh pembeli himpunan tersebut adalah golongan lelaki. Dan lebih mengejutkan, koleksi pakaian lelaki ‘Alexander Wang for H&M’ habis terjual lebih awal berbanding rekaan wanita. Ini membuktikan bahawa lelaki benar-benar mengikuti dan menuruti perkembangan fesyen semasa serta berlumba-lumba untuk menggayakan rekaan terkini. Bagi saya ini bagus.
Sewaktu Krismas 2014, saya terpukau melihat respons pengunjung di beberapa pusat beli-belah. Semua kedai pakaian mengadakan jualan murah secara besar-besaran. Dan yang saya saksikan adalah majoriti golongan lelaki (tak kira usia) membanjiri setiap kedai pakaian. Sampaikan saya pun rasa tak selesa nak ‘cuba-cuba’ lihat helaian apa ditawarkan dek terlalu sesak. Keluar sahaja dari butik pakaian tersebut, saya lihat ramai lelaki yang menjinjing beg plastik berjenama mewah. GAP, Zara, Armani Exchange, Sacoor Brothers dan Tommy Hilfiger, you name it! Wah… bukan calang-calang jenama nampaknya.
Kalau lima tahun lalu, pengunjung lelaki nak masuk butik Zara pun ‘menggigil’. Namun, ternyata persepsi lelaki sudah berubah. Kemewahan itu berhak dinikmati semua yang punya cita rasa.
Percambahan Bisnes Street Wear
Perasan atau tak, semakin ramai golongan anak muda melancarkan bisnes pakaian asas di ajnas laman sosial. Pelbagai rekaan ditawarkan dan saya lihat harga pun tak lah murah mana. Mahal juga! Mungkin disebabkan sikap keterbukaan lelaki hari ini terhadap fesyen semakin meluas, maka konsumer lelaki tak kisah memilih jenama tempatan sekali gus mencambahkan perniagaan street wear tempatan.
Asalkan nampak sesuai dengan stail mereka dan nampak bergaya itu sudah memadai agaknya. Inilah perkara bagus tentang keterbukaan lelaki lokal yang sudah menerima dan faham konsep ‘fesyen’. Walaupun ada segelintir rekaan jenama tempatan mirip rekaan jenama dari Paris dan New York – mereka tidak kisah. Kata mereka, “It’s inspiration, so it’s ok. Orang kita pun ada idea!
Permintaan Semakin Meningkat
Budaya ini bukannya baru, namun jenama fesyen melihat ini sebagai satu servis yang tidak boleh dipandang enteng. Dari sinilah datangnya keuntungan yang banyak. Sebab itulah, seleksi jenama mewah dedikasi lelaki seperti Blackbarrett, Dolce & Gabbana, Ermenegildo Zegna dan Hugo Boss ‘berani’ meluaskan empayar mereka di Malaysia.
Banyak jenama mewah mula menyenaraikan perkhidmatan khas buat pelanggan mereka daripada Bottega Veneta hingga ke Gucci. Perkhidmatan seperti ‘made-to-measure’ dan ‘bespoke’ tak lagi dianggap satu servis eksklusif, perkhidmatan ini sudah menjadi mainstream. Setiap jenama berpusu menawarkan servis sebegini, ia cukup accesible for men in Malaysia. Tambahan pula, proses ini membenarkan jenama berorientasikan pelanggan membuka peluang lebih lagi. Tanpa disangkal, konsumer lelaki tempatan tahu apa yang mereka mahukan.
Laman web ‘online shopping’ seperti Zalora, Fashionvalet, Uniqlo dan Mr.Porter yang beroperasi 24 jam menjadi gelanggang beli-belah buat lelaki yang lebih gemar mendapatkan helaian terhangat dari pentas peragaan ke gerobok fesyen peribadi. Ini adalah kemajuan disebabkan lelaki kita sudah arif dan bersikap terbuka terhadap dunia fesyen.
Cuma Jangan Jadi Hamba Fesyen…
Dunia fesyen memang seronok. Tiada sebab untuk tak rasa gembira atau teruja tentang fesyen. Fesyen menyatukan ramai pihak. Ia bisa menjadi topik perbualan untuk memecah rasa sunyi (especially when you are not surrounded with your clique). Paling penting, dunia fesyen mampu menjana pendapatan dan membina kerjaya seseorang.
Teruskanlah bersikap terbuka serta bebas terhadap fesyen agar tidak wujud lagi golongan kuat menilai individu lain. Bagi mereka yang kurang senang dengan sesetengah trend atau gaya, janganlah mengecam sewenang-wenangnya di mana-mana medium khususnya media sosial. Kalau rasa tak sesuai, lebih baik berterus terang kepada individu tersebut dan sekiranya mereka tak bersetuju, biarkan mereka dengan cara mereka. Kelak mereka akan faham. Atau sebaliknya anda akan faham pula sebabnya. Remember, fashion is all about fun and positivity!
*Artikel ini disiarkan dalam GL edisi Mac 2015
Tags
Artikel Yang Berkaitan
HEADPHONE SEBAGAI ITEM FESYEN BERGAYA TERKINI
Headphone sebagai item fesyen bergaya terkini pilihan ramai. Ia akan menambah elemen yang lebih menyerlah dalam persalinan harian. Penggunaan fon kepala, atau headphone sangat penting untuk kehidupan seharian, lebih-lebih lagi dalam kalangan anak muda. Kini, headphone bukan sekadar alat untuk mendengar lagu tetapi juga satu item fesyen yang menjadi pelengkap gaya. Terdapat pelbagai jenama headphone…
8 GAYA FASHION WEEK GLENN YONG PILIHAN GLAM LELAKI
Wajah Glenn Yong seringkali dilihat ketika musim minggu fesyen dan gaya fashion week Glenn Yong menjadi pelengkap wajah kacaknya.
6 PEMPENGARUH FESYEN LELAKI ANDA PATUT IKUTI
Pempengaruh fesyen di Malaysia sudah semakin meningkat, walaupun dalam kalangan lelaki. Mereka menjadi satu inspirasi besar buat penggemar fesyen.
MET GALA 2025 SOROTAN FESYEN TETAMU LELAKI
Acara fesyen tahunan terbesar, Met Gala 2025 sudah bermula untuk tahun penuh fesyen ini, penuh sorotan istimewa.
MET GALA: GAYA IKONIK SELEBRITI LELAKI SEPANJANG ZAMAN
Met Gala dipenuhi dengan gaya-gaya ikonik setiap tahun, yang tidak pernah mengecewakan peminat fesyen seluruh dunia.
“HUBUNGAN SAYA DENGAN MUZIK SANGAT UNIK & INTIMATE.” – NINA HASNUL
Nama Nina Hasnul cukup dikenali lebih-lebih lagi dalam kalangan peminat muzik dan fesyen tidak kira lelaki atau wanita.