5 PENDEDAHAN MENGEJUTKAN DALAM DOKUMENTARI TERBARU NETFLIX, BECKHAM
Dokumentari yang telah lama dinantikan peminat, Beckham akhirnya disiarkan di Netflix pada 4 Oktober lalu.
Siri empat bahagian itu menyusuri perjalanan hidup David Beckham dari awal kemunculannya sebagai pemain bola sepak amatur di London sehingga bergelar salah seorang atlet paling berpengaruh dalam generasinya.
Ia turut mendalami pahit manis perkahwinannya selama 24 tahun dengan bekas anggota Spice Girls, Victoria Beckham. Ini termasuk skandal kecurangan yang meletakkan namanya sebagai tajuk utama akhbar di United Kingdom dua dekad lalu.
Berikut adalah lima pendedahan penting dalam siri dokumentari Beckham
Victoria Beckham Berkongsi Berita Kehamilan Anak Sulung Pada Malam Sebelum Berlangsungnya Piala Dunia 1998
Dalam dokumentari Beckham, Victoria berkata dia memberitahu David tentang kehamilannya pada malam sebelum perlawanan ‘pahit’ di padang Piala Dunia 1998.
Dalam perlawanan England menentang Argentina, bintang bola sepak itu dilayangkan kad merah kerana menendang pemain pasukan lawan, Diego Simeone.
England tewas menerusi sepakan penalti dan tersingkir daripada kejohanan Piala Dunia. Ini menimbulkan kemarahan penyokong selama berbulan-bulan dan mungkin antara detik paling gelap dalam kerjaya bola sepak David.
Bagaimanapun malam sebelum perlawanan, David menerima khabar gembira yang mengubah hidupnya. Victoria menghubungi suaminya dan mendedahkan bahawa dia sedang berbadan dua.
“Saya memberitahu David pada malam sebelum perlawanan. Dia sangat-sangat gembira. Tidak pernah ada keraguan sama ada saya perlu memaklumkan kepadanya malam itu atau tidak. Maksud saya, memang itu yang kami tunggu-tunggu dan dia sememangnya amat teruja,” kata Victoria.
Apabila ditanya adakah ini perkara yang betul untuk dilakukan pada malam sebelum perlawanan terbesar David, dia berkata, “Entahlah. Saya tidak memikirkannya langsung, saya hanya ingin menyampaikan berita gembira itu.”
David Beckham Alami Depresi Selepas Tewas Piala Dunia 1998
Selepas insiden kad merah, pihak media dan orang ramai mengecam bintang bola sepak itu. Victoria berkata David yang baru berusia 23 tahun berdepan tekanan dek kebencian yang diterimanya susulan kekalahan Piala Dunia.
“Maksud saya kebencian mutlak dan dibuli orang ramai pada tahap melampau. Dia tertekan, benar-benar tertekan secara klinikal. Saya masih menyimpan dendam pada mereka,” katanya.
David menambah, “Apa yang saya alami sangat ekstrem. Seluruh negara membenci saya. Ia mengubah hidup saya. Saya berasa terancam dan keseorangan.
“Ke mana saja saya pergi, saya dihina setiap hari. Orang melihat saya dengan pandangan tertentu, meludah kepada saya, melontarkan kata-kata hina di muka saya. Ia amat sukar.”
Pasangan Itu Diugut Dengan Penculikan Selepas Kelahiran Brooklyn
Anak sulung mereka, Brooklyn dilahirkan pada Mac 1999 di Hospital Portland London. Ketika itu kecaman dan penghinaan orang ramai terhadap David dek insiden kad merah masih belum reda.
“Saat Brooklyn dilahirkan, saya tiba-tiba terfikir, ‘Bagaimana saya hendak melindunginya?’. Malam itu Brooklyn tidur di sebelah ibunya. Victoria turut mengajak saya tidur bersamanya namun saya menolak, ‘Oh tidak. Saya mahu tidur dengan kepala menghadap pintu’. Saya takut penculik akan datang dan melarikan Brooklyn,” kata David.
Victoria menambah, “Kami menerima beberapa ancaman culik sejak Brooklyn lahir. Sukar untuk menjelaskan perasaan itu, kerana kami tidak dapat menyembunyikannya.”
Victoria Beckham Luah Isi Hati Tentang Kecurangan David
Mereka turut bercakap tentang dakwaan hubungan sulit David dengan bekas pembantu peribadinya di Real Madrid, Rebecca Loos pada 2003.
Empat bulan selepas dipecat daripada jawatannya, Rebecca mendedahkan dalam satu temu bual bahawa dia menjalin hubungan ranjang selama empat bulan dengan pemain bola sepak itu.
Dalam dokumentari itu, Victoria berkongsi emosi perit yang ditanggung dan mengakui ia adalah detik terburuk dalam hidupnya. Dia kemudian berpindah ke Sepanyol untuk berada di samping suaminya.
“Ia saat paling sukar buat kami, terasa seperti seluruh dunia menentang kami. Sejujurnya, kami menentang satu sama lain. Sebelum berpindah ke Madrid, terasa seperti kami menentang dunia tetapi kami tetap bersama, berhubung dan mempunyai satu sama lain.
“Bagaimanapun sebaik saja di Sepanyol, kami bagaikan tidak mendapat sokongan satu sama lain. Ia amat menyedihkan. Saya tidak dapat jelaskan betapa sukarnya saat itu dan bagaimana ia memberi kesan terhadap saya,” jelas Victoria.
David pula berkata, ini kali pertama perkahwinan mereka menerima ujian sebegitu hebat.
“Kami bukan sahaja kehilangan satu sama lain tetapi tenggelam dalam ujian yang menimpa. Victoria segala-galanya buat saya, jadi apabila melihat dirinya terluka, ia amat sukar untuk saya. Namun kami sama-sama memilih untuk berjuang demi perkahwinan dan keluarga kami.”
Victoria Beckham ‘Mengamuk’ Kerana Perlu Bersalin Sendirian
Dalam dokumentari itu, Victoria mendedahkan dia benar-benar marah apabila David gagal berada di sisinya sewaktu kelahiran anak ketiga mereka, Cruz pada 2005. Katanya bagi David, sesi fotografi bersama bersama Jennifer Lopez dan Beyonce adalah jauh lebih penting.
“Saya naik angin dan berkata, ‘Saya sedang terbaring atas katil, hampir bersalin. Awak pula sibuk bergambar dengan si cantik Jennifer Lopez, bukan seperti bapa yang hampir menimang anak.
“Jadi saya pun menjalani pembedahan dan selepas itu berehat di atas katil dalam keadaan kusut-masai. Langsung tak rasa diri cantik.
“Dan saya masih ingat seseorang tunjuk kepada saya muka depan akhbar yang tertera foto David bersama Jennifer Lopez dan Beyonce. Tajuknya adalah ‘What Would Posh Say?’. Jadi biar saya beritahu apa yang Posh katakan. ‘Posh naik angin!’” katanya.
Foto: Getty Images
Pautan berkaitan: DAVID BECKHAM DEDAH PENYAKIT DIALAMI DALAM DOKUMENTARI NETFLIX
Tags
Artikel Yang Berkaitan
6 SELEBRITI & KERABAT DIRAJA BRITAIN YANG MERUPAKAN RAKAN BAIK
Kerabat Diraja Britain mempunyai ramai kenalan dari kalangan selebriti, malah ada juga yang boleh dianggap sebagai rakan karib.
KOLEKSI MUSIM BUNGA/PANAS 2025 BOSS DI MILAN FASHION WEEK
BOSS kini tampil lebih berani untuk koleksi Musim Bunga/Panas 2025. Bertempat di Palazzo del Senato, Milan, tema "Out of Office".
10 RANCANGAN ‘MUST WATCH’ SEPANJANG MEI 2024
Dari siri hangat, “Bridgerton” yang kembali dengan musim ketiga kepada rancangan realiti “Super Rich in Korea” yang menampilkan BamBam, laman penstriman utama membariskan 10 rancangan yang ‘must watch’ sepanjang Mei 2024.
DAVID BECKHAM FAIL TUNTUTAN SAMAN RM50 JUTA TERHADAP MARK WAHLBERG
Nampaknya persahabatan David Beckham dan Mark Wahlberg yang terjalin sejak 15 tahun lalu telah menemui titik noktah.
15 GAYA SELEBRITI LELAKI TERBAIK DI PARIS FASHION WEEK FALL 2024
Siapakah selebriti lelaki yang mencuri perhatian dengan gaya menswear terbaik ketika Paris Fashion Week Fall 2024 di kota fesyen Perancis kali ini?
15 DETIK PENTING KERJAYA DAVID BECKHAM DALAM SEJARAH BOLA SEPAK
Imbas kembali kerjaya gemilang David Beckham selama dua dekad menerusi himpunan foto.