Skip to content

5 SELEBRITI TERKENAL YANG TERKENA SUMPAHAN OSCAR

5 SELEBRITI TERKENAL YANG TERKENA SUMPAHAN OSCAR

Kongsikan artikel ini

Siapa sangka Oscar yang dicanang sebagai pengiktirafan berprestij juga dianggap sebagai pembawa nasib malang!

Menurut majalah Organization Science, ‘Oscar Curse’ atau sumpahan Oscar adalah kepercayaan bahawa nasib tidak baik akan menimpa pemenang Anugerah Akademi.

Walaupun majalah tersebut tidak menemui sebarang bukti mengenai sumpahan tersebut, nasib lima selebriti yang juga pemenang anugerah ini kelihatan seperti menyokong kenyataan itu.

Ini bintang Hollywood yang tidak lagi menerima anugerah sejak membawa pulang trofi Oscar

 

1. Halle Berry

sumpahan oscar, oscar curse

Foto: Shutterstock

Aktres ini merupakan satu-satunya wanita kulit hitam yang memenangi Oscar untuk kategori Aktres Terbaik pada 2002 menerusi filem Monster’s Ball.

Beberapa tahun kemudian dia menerima tawaran untuk berlakon dalam francais X-Men, namun peranannya dalam Catwoman mendapat kritikan hebat daripada penonton. Malah dia memenangi anugerah Razzie sebagai Aktres Tercorot pada 2004 menerusi filem itu.

Jelas Berry pada 2017, kemenangan Oscarnya tidak membawa apa-apa makna dalam konteks kepelbagaian memandangkan wanita berkulit hitam atau Asia tidak pernah memenangi anugerah tersebut sejak saat itu. Dia turut menegaskan perkara sama baru-baru ini.

Sama seperti pada 2021, walaupun Viola Davis dan Andra Day tercalon, kedua-duanya gagal membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik.

 

2. Kim Basinger

sumpahan oscar, oscar curse

Foto: Getty Images

Satu-satunya pencalonan dan kemenangan Oscar Kim adalah pada 20 tahun lalu menerusi filem L.A. Confidential. Ia juga merupakan kali terakhir dia dicalonkan untuk mana-mana anugerah berprestij.

Kim juga terlibat dalam beberapa filem yang mendapat penilaian teruk oleh Rotten Tomatoes antaranya Bless The Child (3%) dan Fifty Shades Darker (11%).

 

3. Marcia Gay Harden

sumpahan oscar, oscar curse

Foto: Getty Images

Perjalanan kerjaya Harden agak lancar selepas memenangi Oscar pada 2001 menerusi filem Pollock. Dia dicalonkan sekali lagi tiga tahun kemudian untuk filem Mystic River sebagai Aktres Pembantu Terbaik namun gagal membawa pulang trofi. Marcia sendiri mengesahkan sumpahan yang terkena ke atasnya.

“Oscar adalah malapetaka pada tahap profesional. Dengan tiba-tiba tawaran watak yang diberi kepada saya semakin kecil, begitu juga bayaran. Ini tidak logik,” katanya kepada Premiere Magazine.

 

4. Mo’Nique

Foto: Getty Images

Pelakon ini memainkan watak di luar jangkaan sebagai sebagai ibu kaki dera dalam filem Precious di mana dia dinobatkan sebagai Aktres Pembantu Terbaik. Ramai menyangka Mo’Nique akan memberi fokus kepada filem dramatik selepas kemenangan tersebut, namun dia kembali membintangi karya komedi.

Mo’Nique hanya terlibat dalam empat filem selepas kemenangan Oscar dan tiada satu pun yang mencapai tahap kejayaan seperti Precious.

 

5. Adrien Brody

Foto: Getty Images

Bintang berusia 52 tahun ini menjadi penerima Oscar termuda apabila dinobat sebagai Aktor Terbaik pada 2003 menerusi filem The Pianist. Dia berusia 29 tahun ketika itu. Malangnya sejak kemenangan tersebut, dia tidak lagi mampu menggapai tahap kejayaan serupa.

Adrien terlibat dalam komedi muzikal The Singing Detective pada tahun sama namun hanya meraih penilaian 39% di Rotten Tomatoes. Dia kemudian muncul dalam beberapa lagi filem tetapi tidak mendapat pengiktirafan sama seperti yang diterimanya.

Bagaimanapun sumpahan ke atas Adrien dilihat berakhir pada tahun ini. Dia berjaya membawa pulang enam trofi pada beberapa anugerah berprestij menerusi filem The Brutalist.

Adakah dia akan berjaya membawa pulang trofi Aktor Terbaik pada Academy Awards 2025? Sama-sama kita nantikan!

 

Foto: Getty Images

Pautan berkaitan: SENARAI PENUH PENCALONAN OSCAR 2025