Watak Sebenar Faizal Hussein
October 12, 2015
Teks: Ardi Idewani Zaini
Penyelaras & Penata gaya: Azreezal Hafidz
Gambar: Chuan Looi/Yipieyaya Studio
BERMULA SEBAGAI BUDAK LELAKI YANG ‘GILA’ MENONTON WAYANG KEPADA SEORANG YANG NAMANYA BEGITU SIGNIFIKAN DENGAN DUNIA LAKONAN. MENGENDONG PENGALAMAN YANG CUKUP BANYAK, DIA SUDAH PUAS MELIHAT DUNIA SEBENAR INDUSTRI SENI TANAH AIR. SOAL KARISMA? USAH DITANYA, DIA SUDAH MEMILIKI. ITULAH WATAK FAIZAL HUSSEIN YANG SEBENARNYA.
Saya bergegas ke Subang Parade. Mencari buku tulisan Faizal Hussein sendiri berjudul ‘Limelight’. Puas menelefon MPH di sana untuk memastikan stok buku masih ada. Saya mendapat tahu Faizal menulis bukunya sendiri sebaik sahaja dia memberitahu ketika dia hadir ke penggambaran ini. “Judul buku ‘Limelight’. Kamu bacalah sendiri. Saya mengirai kisah sejarah hidup saya dan tentang dunia sebenar industri seni tanah air!” Jelasnya yang beria-ia menerangkan isi kendungan buku ‘Limelight’ itu. “Maaflah abang, baru sahaja tahu! Nasib abang bagi tau saya,” kata saya kepada Faizal. Walaupun dia sudah berusia, namun Faizal masih lagi memiliki ‘presence’. Bagaimana saya kenal Faizal di kaca TV dan menerusi filem-filem lakonannya (terutamanya Gila-Gila Remaja), begitu jugalah rupanya ‘hidup-hidup’. Kurus, tinggi dan urat-urat wajahnya melambangkan sifat kelelakian yang tidak sama dengan pelakon lelaki lain (yes, I am talking about the typical looking ones). Sejak mengenali Faizal ketika saya di bangku sekolah lagi, barulah kini dapat bersua muka dengan ‘Roy’ yang asyik disebut-sebut orang juga yang menjadi ‘bahan’ orang.
Dia murah senyuman. Kacak? Sudah tentu! Masih lagi kacak seperti dulu. Dia ketawa kecil sahaja melihat keletah kami semasa penggambaran (fiil biasa kami, asyik membuat lawak dan menari). Pabila membuat lawak tentang leg warmers dan Sheena Easton, Faizal memahami lawak kami itu. Iyalah, leg warmers dan Sheena Easton adalah watak waktu ‘zamannya’! Selain itu, memetik kata editor saya, “He is a good boy. Faizal is easy to work with.” Benar, dalam diam-diamnya, Faizal nampak seperti individu yang mendengar kata dan tidak banyak ‘renyah’. Karakternya sangat berbeza. Walaupun agak gerun dengan Faizal pada mulanya, namun lama kelamaan hilang rasa gerun itu. Dia pula sering memengang watak budak nakal dan antagonis. Tambahan lagi, dia seorang yang berterus-terang, tidak ada dolak-dalik (perangainya itu saya boleh agak dengan jelas menerusi bukunya).
Mungkin agak klise, namun setiap kali saya memandang wajah Faizal, identiti Roy masih tidak hilang. Penangan dari filem Gila-Gila Remaja yang dilakonkannya tahun 80-an dulu (saya hanya menonton ketika ulang tayang pada tahun 90-an, ketika saya bersekolah). Kehadiran Faizal hari itu menggamit kembali memori. Malah, saya pasti sesiapa sahaja terutamanya yang membesar dengan filem-filem Faizal itu atau yang melihat Faizal sebagai ‘ The 80s Heartthrob’ dahulu, pasti sukarlah untuk menepis tanggapan itu… Well, maybe. Seperti terbayang-bayang lagi imej Azroy bermotosikal scrambler walaupun sudah 29 tahun berlalu. Padahal, dia datang berkereta hari itu. Tetapi itulah terkesannya watak Roy dalam diri Faizal. “I am sure you agree with me, right?” Saya bertanya kepada Faizal, langsung dia tersenyum. “Iya. Memang sukar untuk orang tidak kaitkan ‘Roy dan Faizal Hussein’, ‘Roy dan Faizal Hussein’. Itu belum lagi bila dengar lagu Kazar… haaa,” balas Faizal. Sambungnya lagi, “Tetapi jika itu imej orang tentang saya, maknanya baguslah. Ia meninggalkan impak sehingga kini.”
Ketika ditemui juga, Faizal baru selesai menjalani penggambaran filem Kapsul. Sebuah filem fiksyen dan Faizal memegang watak sebagai Zuhri. “Filem tentang apa?” Tanya saya lagi. “Inti patinya tentang Melayu yang mudah lupa. Selebihnya, kamu harus tonton sendiri nanti,” jawab Faizal. Filem fiksyen sains Malaysia, bermakna bermain dengan CGI. Berbeza dengan zaman Faizal dahulu di mana CGI belum lagi wujud. “Untung industri filem sekarang. Kerana CGI sahaja, ia memudahkan lagi kerja-kerja orang bikin filem. Tahun 90-an dahulu semuanya ‘special effect’, tahun 80-an lagilah. Saya bersyukur, kerana dalam usia yang semakin meningkat ini, berpeluang lagi merasa berlakon menggunakan CGI. Nampak atau tidak yang industri filem semakin menjadi-jadi?” Jelas Faizal.
‘LIMELIGHT’
Tentang Limelight, Faizal cukup terbuka menceritakan kehidupannya juga industri seni tempatan. Dia bersikap jujur. And for me, it’s a good thing. Be honest. Bagaimana dia membawa kita ke dalam ‘alam’ sebenar dunia seni menerusi mata Faizal, ditambah lagi dengan gaya penulisan yang ringkas. Straightfoward. Mudah difahami dan tidak berbunga-bunga.
Sebelum saya membeli buku Limelight itu, saya bertanya Faizal, “Kiranya buku ini mendedahkan perkara sebenar tentang diri abang juga industri kita?”
Jawabnya, “Kamu bacalah sendiri. Isinya banyak berkaitan dengan pengalaman, pendapat, dan luahan hati saya. You’ll know.” Dia mahu berkongsi pengalaman yang ditimbanya selama bergelar pelakon tanah air. Terutamanya buat anak-anak muda yang cuba menceburkan diri dalam bidang ini. Baca dan nilai sendiri sebelum membuat keputusan. “Saya bayangkan seorang pembancuh air atau si tukang masak yang menyimapan hasrat untuk menjadi pelakon. Pakej yang lengkap dengan bakat. Tetapi tidak memiliki idea tentang selok-belok industri ini. Maka, saya memunculkan buku tulisan saya sendiri untuk memberikan mereka ‘pilihan’. Biar mereka tahu apa yang sebilangan pelakon, seperti saya, alami dan tempuhi selama ini,” Faizal menerangkan tentang bukunya itu.
Dia ada menceritakan betapa sikitnya bayaran seorang pelakon dahulu, tidak seperti sekarang. Begitu juga dengan Faizal yang bermula daripada pelakon ekstra di mana bayarannya sangat sikit sehinggalah penangan Gila-Gila Remaja (yang menaikkan ‘harga’nya) dan kini, sebagai pelakon yang sudah meraih anugerah… bagaimana bayarannya sekarang? Tidak hairanlah dia layak tersenarai sebagai pelakon ‘mahal’ sekarang ini. Bagi saya, Faizal antara pelakon yang memiliki ‘kelas’ yang berbeza. Bukan calang-calang. Dan dia nampak seperti seorang yang serius dengan pekerjaannya. Berhenti berlakon? Jauh sekali tidak. Mungkin tidak akan mendengar kalimah ‘selamat tinggal industri seni’ dari mulut Faizal. Kerana saya ada bertanya dengannya, jika tidak beraksi di hadapan kamera, adakah dia akan bergiat aktif di belakang tabir. Sama seperti arwah ayahnya, Hussein Abu Hassan?
“Saya pernah mengarah. 23 tahun yang lalu. Namun, saya berhenti kerana fikir-fikir lebih baik berlakon,” jawab Faizal. Tambahnya lagi, sudah ada yang bekerja di belakang tabir; seperti mengarah atau yang terlibat secara langsung dalam produksi. Tetapi Faizal? Dia masih tetap pilih berlakon kerana peranannya adalah sebagai ‘penyampai’. Atau individu yang ‘deliver’ kepada audiens di luar sana. Katanya lagi, “Ada orang yang suka mencipta mesej untuk disampaikan kepada masyarakat dan ada orang yang lebih menjurus kepada menyampaikan mesej itu. Jadi sayalah individu yang ‘menyampaikan mesej’ itu.”
“Is that your biggest fear? Not acting anymore?” Faizal menjawab lagi, “Takut mungkin tidak. Tetapi saya tidak boleh bayangkan jika saya tidak berlakon kelak. Melainkan jika kita sudah tiada di dunia… itu lainlah. Selagi ada kudrat dan tenaga untuk berlakon, apa salahnya gunakan ia sebaik-baiknya? Kerana berlakon itu sama juga seperti bekerja. Satu ibadah dan ia satu tanggungjawab.” Juga, daripada berlakonlah punca rezekinya untuk diri dan keluarga.
Berbalik kepada kisah buku Limelight, saya suka dengan kisah sebenarnya itu. Faizal menceritakan dia mula-mula aktif berlakon sejak di bangku sekolah lagi dan bagaimana rakan-rakan sekolah juga cikgu-cikgunya memandang Faizal ‘lain’. Pasti sukar. Tambahan lagi, dia anak pelakon; arwah Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail. Mentaliti dan penerimaan orang ketika itu sedikit berbeza. But, somehow, Faizal enjoyed being an actor. Bukan sebab populariti atau seumpamanya, tetapi kecil-kecil lagi dia sudah meraih duit hasil kerjanya sendiri juga dia didedahkan dengan dunia sebenar industri seni. Dia tidak ada menyertai mana-mana kelas lakonan. Semuanya berpunca setelah dia menjadi movie maniac ketika kecil dahulu. Movie maniac? Jelas Faizal, “Sebabnya untuk ke panggung tidak perlu bersusah payah naik bas atau tunggu bapak ajak. Hanya jalan kaki dari rumah.” Dia dibesarkan di Kuala Lumpur, tinggal pun di Kuala Lumpur. Aksesnya ke panggung-panggung tertentu ketika itu sangat mudah. Malah, tiket wayang juga sangat murah, RM 2.50 ke bawah! Jadi begitulah Faizal menjadi seorang movie maniac dan daripada situ jugalah dia mengutip ilmu-ilmu lakonan daripada filem yang ditontonnya.
Lama-kelamaan, Faizal mengasah bakat lakonnya. Makin terserlah menerusi filem Gila-Gila Remaja, pabila dia ditawarkan sebagai teraju utama yakni Azroy. Walaupun filem itu diarahkan oleh arwah ayahnya sendiri, berlakon sebagai Azroy bukanlah atas desakan arwah ayahnya. Tetapi, ketika itu belum ada pelakon remaja yang boleh diketengahkan. So, why not? Sepanjang filem itu dibuat, Faizal bercerita, “Zaman itu, semua elemen yang menjadi trend semasa disuntikkan ke dalam filem Gila-Gila Remaja. Motosikal lasak, budaya remaja, breakdance.” Dan mana bisa lupa adegan ‘ikonik’ Azroy bermotosikal scrambler dengan iringan lagu Kazar, Memburu Impian. Semua itu melekat di kepala pabila melihat atau menyebut nama Faizal. Lantas, daripada filem Gila-Gila Remaja, nama Faizal melonjak. Sehinggakan ada orang mahu menyuntingnya sebagai wajah rasmi Harley Davidson, hanya kerana penangan scrambler dalam filem Gila-Gila Remaja.
Faizal Hussein diangkat sebagai pelakon popular untuk tahun-tahun berikutnya. Wajahnya ada di mana-mana sahaja ketika itu. Dia menggondol gelaran Pelakon Filem Lelaki Pembantu Popular pada 1993 dan sering kali dijemput menjadi hos untuk acara-acara ternama. Popularitinya menjadi-jadi sehingga Faizal tidak biasa dengan keadaan itu. Ada sedikit kesukaran untuk mengadaptasi. Dia akui itu sendiri dalam tulisannya. Faizal merasakan publisiti juga ‘limelight’ yang diterimanya agak kurang menyelesakan. Dia tidak alpa dengan semua itu, namun ia datang kepadanya. Mungkin kerana dia sudah didedahkan dengan publisiti atau populariti sejak kecil lagi; menerusi arwah ayah juga ibunya; jadi sudah terbuku dalam niatnya, berlakon itu adalah kerjanya. Popularity and publicity are all secondary. Lantas, sebab itu dia mengambil keputusan untuk berehat seketika. Kerana mahu mengelak ‘limelight’ yang melampau dan biarlah sederhana. Stay low, let the work speaks. Malah baginya, alasan untuk berehat itu juga kerana dia tidak mahu membuat orang muak melihat wajahnya. Biarlah berpada-pada. Salah satu quote Faizal yang saya petik dalam bukunya, “Jika mengejar ‘limelight’, keikhlasan bekerja tak ada, orang pun cepat lupa. Sebaiknya, bekerjalah dengan ikhlas, ‘limelight’ akan datang mengejar, orang akan ingat sampai mati.”
Pesan Arwah Ayah
“Apa yang masih lagi abang ingat tentang arwah ayah?” Saya bertanya kepada Faizal. Faizal tersenyum, lalu menjawab, “Arwah ayah tegas. Sangat tegas. Lebih-lebih lagi dalam membentuk kami sebagai insan seni (Faizal dan dua kakaknya, Dilla Hussein dan Fairuz Hussein). Kerana dia tahu, bisnes seni bukannya mudah. Menghadapi semua cabaran sebagai insan seni, lebih-lebih lagi di luar sana, harus bersedia fizikal dan mental.” Faizal tahu kerana arwah ayahnya sudah lama dalam industri ini, sudah banyak makan asam garam. Mereka cukup mementingkan nama keluarga serta maruah terjaga. Biar orang hormat atas dasar itu. Bukan kerana populariti semata-mata. Ilmu yang diturunkan oleh arwah ayahnya diambil sebagai guideline. “Tidak ada yang kompleks. Arwah ayah ajar fundamental ringkas terlebih dahulu, tidak terburu-buru mengajar sesuatu yang sudah tinggi,” jelas Faizal saat saya mengajukan soalan tentang apa lagi yang diajar oleh arwah ayahnya. ” Maksud abang?” saya tanya kembali. Iyalah, Bermula dari asas dulu. Misalnya, disiplin, kualiti kerja, penampilan diri juga tepat masa. Itu semua harus dijaga. Hormat kerja dan masa orang lain juga penting,” jawab Faizal. Bagi Faizal, jika ada fundamental ringkas itu, sudah cukup dijadikan rujukan lebih-lebih lagi ketika bekerja. Dan tiap kali kami sentuh tentang masa, Faizal begitu mementingkan konsep ‘one take’ dan tidak suka membuang masa si pengkarya.
“Ada sebab tertentu mengapa arwah ayah menekankan hal ini?” Tanya saya. “Saya rasa barangkali hal ini sudah diaplikasikan dalam diri sejak mula-mula berlakon lagi. Sehinggakan saya rasa jika tidak dapat mencapai one take dan ada beberapa take, itu dikira gagal. Padahal tidak mengapa pun. Namun, itu semua kerana saya tidak suka membuang masa orang. Tak mahu bagi orang menunggu,” jawab Faizal. Dan disebabkan itu juga, tiap kali berlakon atau shooting, Faizal tidak punya masalah untuk setiap take nya. Sebab sudah terbiasa dengan konsep ‘one take’ yang dipegangnya.
Begitu dedikasinya Faizal pada kerjanya itu juga, sampaikan wardrobe pun turut dia ambil kira. Dia selalu menyediakan wardrobe nya sendiri, tanpa bantuan wardrobe stylist di produksi. “Untuk capai karakter yang diberikan, saya sanggup berbelanja lebih membeli wardrobe. Ada sesetengah wardrobe stylist yang kerja sambil lewa dan tidak membuat ‘research‘ tentang watak itu. Tidak hairanlah akan ada watak gadis kampung miskin namun dalam pakaian serba baru… doesn’t make sense!” Jelas Faizal. Malah Faizal tidak kisah jika sebaik sahaja berbelanja untuk membeli wardrobe sendiri dan jika dia terpaksa menggunting lubang pada baju itu pun, dia sanggup. Asalkan konsep watak itu menjadi. Dan ia semua datang daripada ajaran arwah ayahnya tentang, “Jika bekerja, letakkan usaha 100 peratus. Jangan sekadar ‘asalkan boleh’. You’re an actor. That is your job. That is the price you have to pay!” Sayangnya, bagi Faizal, tidak ada lagi aktor generasi baru seperti itu.
“Pabila bercakap tentang arwah ayah abang, teringin juga nak tahu. Adakah kekok bekerja dengan arwah ayah sendiri?” Saya bertanya sekali lagi. “Kekok itu tidaklah. Kerana bagi saya, arwah ayah juga adalah sorang cikgu. Jadi tidak ada masalah ketika kami bekerja bersama,” jawab Faizal. Namun, profesionalisme tetap diutamakan. Ketika di set bersama arwah ayah, Faizal meletakkan dirinya sebagai ‘pekerja’ dan arwah ayahnya adalah ‘bos’. Tidak ada double standard. Tambahan lagi, arwah ayah seorang yang garang dan tegas ketika bekerja. Jadi pabila bekerja, tidak kiralah anak atau tidak, arwah ayah Faizal tetap tegas dengannya. Arwah ayah Faizal melayan Faizal sama seperti mana arwah ayahnya melayan pelakon-pelakon lain. “Daripada situlah saya membuka luas mata dan melihat dunia sebenar dalam industri ini. Dan mungkin sebab itu jugalah saya serius bekerja kerana terpengaruh dengan cara arwah ayah,” jelasnya lagi.
Apa Faizal mahu?
Berbekalkan pengalaman yang cukup banyak, Faizal melihat dengan jelas. Lebih-lebih lagi industri seni tanah air. Daripada 70-an sehinggalah tahun ini, dia sudah merasai transisi period yang bertukar-tukar dari semasa ke semasa. Tentang trend, perubahan revolusi industri seni. Oh… dia bukan bermula dari sekitar 80-an ya. Malah sebelum itu lagi. Sejak zaman filem kita masih lagi hitam putih. Namun, dia ketika itu masih kecil, baru berusia lima tahun (waktu itu sebagai ekstra sahaja). Daripada zaman filem hitam putih sehinggalah kemunculan CGI zaman sekarang.
“Adakah abang rasa beruntung kerana berpeluang merasai semua itu?” Saya bertanya kepadanya. Meluahkan rasa syukur, kata Faizal, “Saya masih lagi bernafas dalam industri ini. Alhamdulillah. Tiap kali saya bangun, saya bersyukur kerana tidak diputuskan dengan kurnian rezeki daripada-Nya untuk terus bekerja dalam industri ini. Ada sesetengah pelakon yang tidak sempat merasai kesenangan dan kemudahan masa kini, namun saya yang bermula dari zaman kecil masih lagi mampu merasainya.”
Bagi Faizal, pelakon-pelakon zaman sekarang beruntung. Lebih-lebih lagi kumpulan pelakon generasi baru. Mereka dipermudahkan kerja menerusi teknologi masa kini, berbanding dengan zamannya dahulu semuanya agak ‘manual’. Teknologi moden seperti CGI terutamanya, tidak menyukarkan pengkarya atau penggiat seni membuahkan hasil yang bermutu. “Jika ada pelakon, sutradara atau pengkarya yang masih lagi merungut atau tidak puas hati dengan kemudahan zaman sekarang, entahlah. I don’t know what’s going on in their heads,” jelas Faizal. Dia bercerita berdasarkan pengalamannya, zaman pelakon-pelakon yang suatu ketika dahulu memang sedikit susah. Tidak kiralah apa kesusahannya, namun tidak sama seperti zaman sekarang.
“Misalnya, seperti yang saya katakan tadi, tentang pelakon yang sanggup berbelanja membeli dan menjaga sendiri wardrobe. Sekarang saya belum lihat lagi pelakon yang seperti itu. Atau pelakon yang menyediakan alatan perubatan kecemasan sendiri, mana tahu sedang berlakon ada kecederaan. Sekurang-kurangnya tidaklah perlu menunggu peralatan kecemasan yang sukar dicari,” jelas Faizal yang bagi dirinya pelakon-pelakon sekarang jangan terlalu manja. Tambah Faizal lagi, dia juga kurang gemar dengan budaya pelakon-pelakon sekarang. Yang sukakan kontroversi dan budaya pelakon yang ketika bekerja, suka duduk berkumpulan, bergaul tidak tentu pasal dan tidak fokus. “Bukankah lebih baik jika ambil masa untuk diri sendiri dan fokus? Buat kerja dengan ikhlas. Dan pabila sedang bekerja, praktis sebelum beraksi? Itu bukan berlagak namanya. That is how it is supposed to be. Saya rasa orang lain pun akan faham jika kita macam itu.”
Usah pandang ringan dengan pandangan ‘orang lama’, itu yang saya rasa secara peribadi. Kerana ‘orang lama’ seperti Faizal lah sudah memiliki pengalaman yang cukup berharga. Dia sentiasa mengharapkan perubahan atau kemajuan dalam industri tanah air. Faizal ada meluahkan yang dia mahu industri seni kita lebih ‘bijak’, biar sama dengan industri seni luar negara. Cukup-cukuplah filem lawak rempit bangang, filem hantu komedi atau filem pengisiannya entah apa-apa. Just for the sake of selling. Bukan kerana kualiti. Dan Faizal merasa filem-filem seperti ini tidak mendidik. “Biarlah industri seni kita (filem terutamanya) ade faedahnya, ada mutu dan ada mesej. Kita semakin moden, kot. Takkanlah kita masih lagi berada di takuk lama? Ikutkan zaman sekarang filem kita sudah berada di fasa yang berbeza dan semakin hari semakin berubah. Sudah-sudahlah dengan filem lawak bangang,” luah hati Faizal yang berterus terang tentang industri ini. Saya sempat menanya Faizal, “Apakah filem sekarang yang pernah dia terlibat dan patut dijadikan contoh?” Jawab Faizal, “Bunohan.” Bagi Faizal, Bunohan arahan Dain Said, adalah satu-satunya filem tempatanyang ‘skalanya’ sudah menyamai filem antarabangsa. “Skrip yang bagus. Jalan cerita yang lain daripada yang lain. Arahan yang menakjubkan. What more can I say? And we need more of that.”
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi April 2014
Tags
Artikel Yang Berkaitan
7 SEBAB TESLA OPTIMUS GEN 2 MENJADI GADGET WAJIB UNTUK LELAKI ALFA
Tesla Optimus Gen 2 adalah peralihan kepada cara hidup yang lebih baik. Dengan reka bentuk yang menawan, dan keupayaan serba guna, ia simbol kemajuandan kemudahan.
SUMBANGAN LUAR BIASA TOKOH MUZIK & SENIMAN NEGARA AHMAD NAWAB
Tan Sri Ahmad Nawab mencipta legasi tersendiri dengan menggubah lebih 2,000 lagu dan menghasilkan lebih 200 album sepanjang kerjayanya. Namun pencapaiannya tidak terhenti di situ.
ZAYN MALIK KENANG LIAM PAYNE DI KONSERT SOLO
Selepas menangguhkan konsert sulung di Amerika Syarikat, Zayn Malik memulakan Stairway to ke Sky Tour di Leeds, England dan sempat memberi penghormatan kepada mendiang Liam Payne.
5 KOLEKSI JAM TANGAN MEWAH BAMBAM GOT7 BUAT ANDA TERGAMAM
Sebagai seorang penggemar fesyen dalam industri muzik, koleksi jam tangan mewah BamBam mempunyai keunikkan tersendiri.
KEHIDUPAN SONG JOONG KI DISERIKAN DENGAN KEHADIRAN CAHAYA MATA KEDUA
Sama seperti anak lelaki sulungnya, cahaya mata kedua Song Joong Ki turut dilahirkan di sebuah pusat perubatan di Rom, Itali.
ERNIE ZAKRI CIPTA SEJARAH TERSENDIRI DI PENTAS ANUGERAH INDONESIA
Rezeki mengiringi penyanyi genit bersuara merdu, Ernie Zakri apabila dinobat sebagai pemenang anugerah Soundtrack Sinetron Paling Ngetop di Anugerah Muzik SCTV 2024.