FENOMENA FILEM CHELOT: INI 7 WAJAH PELAKON YANG DIKENALI
Filem Chelot yang kini nombor satu di Malaysia hadir dengan barisan pelakon tempatan yang amat dikenali dengan bakat lakonan mereka.
Bukan sekadar menawarkan aksi dan debaran, Chelot turut menjadi antara filem tempatan yang mencuri perhatian penonton menerusi barisan pelakon berkaliber. Filem arahan Adrian Teh ini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 Ogos 2026 dan berjaya mencatat kutipan lebih RM14 juta dalam tempoh tayangannya.
Mengangkat kisah Inspektor Haqqim, seorang pegawai Unit Operasi Khas yang berdepan tekanan kewangan dan keluarga sebelum terjerumus ke dalam permainan berbahaya. Permainan bahaya ini melibatkan sindiket penyeludupan senjata. Chelot menghimpunkan nama-nama besar serta wajah popular generasi baharu. Lebih menarik, filem ini turut menampilkan babak aksi single-take sepanjang 1.9 kilometer yang dirakam selama lima minit 19 saat dan diiktiraf Malaysia Book of Records.
Bagi penulis GLAM Lelaki yang melangkah masuk ke dalam pawagam untuk menonton filem ini sendiri, ia semestinya berbaloi. Setiap plot twist yang dipaparkan memberi kejutan dan the hype untuk filem ini? Sangat wajar.
Namun, di sebalik aksi yang mencuri perhatian, siapakah tujuh wajah yang menghidupkan dunia Chelot?
#1 Shukri Yahaya
Membawa watak utama sebagai Inspektor Haqqim, Shukri Yahaya tampil sebagai seorang pegawai Unit Operasi Khas yang berdepan dilema besar apabila tekanan kewangan dan masalah keluarga mula menghimpit kehidupannya. Watak Haqqim bukan sekadar memerlukan fizikal seorang anggota pasukan khas, tetapi turut menuntut sisi emosi yang lebih berat. Keputusan yang dibuatnya selepas satu operasi berakhir dengan tragedi menjadi titik penting yang mengheret dirinya ke dalam dunia jenayah.
#2 Beto Kusyairy
Jika Shukri menjadi wajah di pihak penguatkuasaan, Beto Kusyairy pula memainkan watak Azraf, orang kanan kepada ketua sindiket, Dato’ Bakri. Pertemuan antara Haqqim dan Azraf menjadi antara titik penting dalam perjalanan cerita. Beto sememangnya bukan nama asing dalam filem aksi tempatan dan menerusi Chelot, karakter Azraf memberikan satu lagi ruang untuk pelakon ini menampilkan sisi lakonan yang lebih intens.
#3 Shaheizy Sam
Nama Shaheizy Sam pula hadir sebagai Dato’ Bakri, ketua sindiket yang menjadi antara ancaman utama dalam cerita. Dengan karakter seorang figura berpengaruh dalam dunia jenayah, kemunculan Shaheizy menambahkan lagi aura kepada barisan antagonis Chelot. Gandingan bersama Beto sebagai Azraf turut menjadi salah satu hubungan penting dalam konflik filem ini. Walaupun wataknya penuh gerun dan serius, ada babak yang mencuit hati penonton oleh Dato’ Bakri.
#4 Nadhir Nasar
Daripada drama dan siri televisyen kepada layar perak, Nadhir Nasar turut mencuri perhatian menerusi kemunculannya dalam Chelot sebagai Chacko. Kehadiran Nadhir dalam filem aksi ini memperlihatkan sisi berbeza pelakon generasi baharu tersebut, khususnya apabila digandingkan bersama barisan nama berpengalaman seperti Beto Kusyairy, Shukri Yahaya dan Shaheizy Sam. Sejujurnya, Nadhir Nasar deserves more line dan babak dalam filem ini! Watak Chacko menunjukkan sisi baharu dari Nadhir.
#5 Alicia Amin
Bukan sekadar terkenal dalam dunia peragaan, Alicia Amin turut melebarkan langkah ke layar perak menerusi Chelot sebagai Zahra. Kemunculannya memberikan warna tersendiri kepada filem yang didominasi elemen aksi dan thriller ini. Alicia juga menjadi antara wajah wanita utama yang melengkapkan barisan pelakon Chelot. Sama seperti Nadhir, Alicia yang membawa watak Zahra juga sepatutnya mendapat lebih banyak babak kerana dia cukup menyerlah di dalam filem ini.
#6 Azhan Rani
Nama Azhan Rani pula pastinya tidak asing buat peminat drama dan filem tempatan. Dalam Chelot, dia membawa watak ACP Zafran, melengkapkan lagi sisi penguatkuasaan undang-undang dalam jalan cerita. Dengan pengalaman luas dalam dunia lakonan, kehadiran Azhan membantu memberikan lapisan yang lebih kukuh kepada dunia kepolisan yang menjadi sebahagian daripada naratif filem ini.
#7 Shaza Bae
Shaza Bae turut menjadi antara nama yang sering dikaitkan dengan barisan pelakon Chelot. Kehadirannya menambahkan lagi kepelbagaian wajah dalam filem aksi tempatan yang menghimpunkan pelakon daripada latar dan generasi berbeza. Kali ini, Shaza memegang watak polis wanita buat pertama kali.
Selain daripada wajah-wajah utama ini, terdapat pelakon yang turut muncul sebagai kameo. Antaranya ialah Hannah Delisha, Shaarnaz Ahmad, Arena Wan, Edaman dan ramai lagi. Daripada nama berpengalaman seperti Shukri Yahaya, Beto Kusyairy, Shaheizy Sam dan Azhan Rani, sehinggalah kepada wajah generasi baharu seperti Nadhir Nasar dan Alicia Amin, filem ini jelas tampil dengan barisan pelakon yang cukup berwarna. Dengan sambutan positif di pawagam serta kutipan yang sudah melepasi RM14 juta, filem ini bukan sahaja membuktikan bahawa filem aksi tempatan masih mempunyai tempat di hati penonton, malah sekali lagi mengangkat nama-nama pelakonnya menjadi bualan.
Pautan berkaitan: SIRI TENTANG KESIHATAN MENTAL PATUT TONTON SEMPENA SUICIDE PREVENTION MONTH
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
6 HIGH SCHOOL SERIES TEMPATAN ANDA PATUT TONTON SEBELUM KUDRAT 1968
Sama seperti Kudrat 1968 yang sedang menjadi bualan, enam high school series tempatan ini juga boleh menjadi tontonan!
YSL BEAUTY BLOCK PARTY KUASAI MALAM KUALA LUMPUR DENGAN GAYA
YSL Beauty sekali lagi membuktikan pengaruhnya dalam dunia kecantikan dan budaya pop menerusi penganjuran YSL Beauty Block Party.
LEVI’S® BLUE TAB™, EVOLUSI DENIM DALAM DIMENSI BAHARU
Levi’s® memperkenalkan koleksi baharu mereka dengan acara Blue Tab™ Exhibit yang diadakan di The Grey Box, GMBB.
BARISAN PELAKON HEBAT GAYONG 2 SERTA MENGAPA ANDA PERLU TONTON
Gayong 2 kini kembali selepas hampir setahun menjadi penantian sejak filem pertama yang dilakonkan oleh Beto Kusyairy dan Nabila Huda.
BARISAN DUTA JENAMA BAJU RAYA BULAN BINTANG 2026
Barisan duta jenama Bulan Bintang 2026 tampil hebat sempena pertunjukan fesyen Raya Next Chapter, mewakili generasi moden dan tradisi Melayu.
GL25: SOROTAN EKSKLUSIF TAHUN PENUH PENGARUH
Tahun 2025 menandakan tahun yang penuh momentum buat GLAM Lelaki dengan recap sepanjang tahun bersama GL25.











