Skip to content

GLAM LELAKI FEBRUARI 2026, BERSAMA AKTOR GENERASI BAHARU JAZMY JUMA.

Kongsikan artikel ini

Pengarah Kreatif: JOHAN KASSIM, Pengarah Seni Kanan: KHAIRANI RAMLI, Pereka Seni Grafik: HILMAN HISHAM, Pembantu Editorial: SHAKIF MD NOOR Dandanan: CKAY LIOW Grooming: ROZLAN NASIR, Gambar: CHUAN LOOI Teks & temu bual: JOHAN KASSIM

Sebagai pelakon generasi baharu yang semakin mencuri perhatian, Jazmy Juma membuktikan kesungguhan dan kejujuran lakonannya menerusi Hilang Dalam Rindu dan Takdir Cinta Terlarang. Naskhah yang menjadi titik penting dalam perjalanan seninya, memperlihatkan sisi emosi dan kematangan yang kian berkembang. Tahun 2026, Jazmy bakal muncul dalam drama baharu lain, antaranya, Namamu Cinta. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by GLAM Lelaki (@glamlelaki)

Sebagai pelakon baharu, bagaimana Jaz melihat diri Jaz memasuki industri hiburan ini buat kali pertama? Apakah perasaan yang paling kuat ketika itu?

Saya melangkah masuk ke industri ini dengan rasa ingin belajar yang sangat besar. Perasaan paling kuat ketika itu sebenarnya bukan keyakinan, tetapi ketakutan yang sihat. Takut tidak cukup bagus, takut tidak benar-benar memahami dunia sebenar lakonan. Namun dalam masa yang sama, ada rasa teruja kerana akhirnya saya berada di ruang yang selama ini hanya saya perhatikan dari jauh, sejak terlibat dengan muzik dan instrumen pada usia kecil serta persembahan muzik di sekolah.

Apakah momen atau projek awal yang membuatkan Jaz sedar bahawa lakonan adalah sesuatu yang benar-benar ingin Jaz kejar secara serius?

Ada satu projek awal yang membuka mata saya bahawa lakonan bukan sekadar menyampaikan dialog. Ia tentang memahami emosi, latar belakang watak dan kejujuran dalam setiap reaksi serta ekspresi. Apabila saya berasa penat secara emosi selepas penggambaran tetapi masih tidak sabar untuk kembali ke set keesokan harinya, di situlah saya sedar ini bukan sekadar cubaan. Ini adalah sesuatu yang benar-benar ingin saya kejar. Dan saya menikmatinya.

jazmy juma glam lelaki

Top, PRADA

Bagaimana Jaz menyesuaikan diri dengan perhatian, ekspektasi dan tekanan yang datang seiring dengan kerjaya sebagai pelakon baharu?

Saya belajar untuk tidak mengambil segala-galanya secara peribadi. Perhatian dan ekspektasi adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang pelakon.

Tekanan memang ada, tetapi saya cuba menukarkannya menjadi dorongan untuk lebih fokus pada proses dan memastikan diri lebih bersedia sebelum melakukan sesuatu. Selagi saya jujur terhadap karya yang saya hasilkan, saya boleh menerima apa sahaja respons dengan lebih tenang dan terbuka.

Sebagai individu yang masih dalam fasa pembentukan, bagaimana Jaz memastikan diri kekal jujur dengan identiti sendiri dalam industri yang kompetitif?

Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa saya tidak perlu menjadi versi orang lain. Industri ini memang kompetitif, tetapi kejujuran adalah kekuatan. Saya memilih untuk berkembang mengikut rentak sendiri. Berlari dan fokus di lorong sendiri, tanpa meniru perjalanan orang lain semata-mata untuk cepat dikenali. Bagi saya, kekal jujur, fokus dan sentiasa memperbaiki diri adalah kunci utama.

jazmy juma glam lelaki

Kemeja & seluar, COS

Apakah cabaran terbesar yang Jaz hadapi setakat ini dalam dunia lakonan, dan bagaimana pengalaman tersebut membentuk anda sebagai seorang pelakon?

Cabaran terbesar saya adalah keraguan terhadap diri sendiri. Ada masa saya mempersoalkan kemampuan sendiri, walaupun saya tahu tidak wajar untuk terlalu keras terhadap diri. Namun daripada keraguan itu, saya belajar untuk lebih mengenali diri, lebih bersedia, lebih mendalami skrip dan memahami watak dengan lebih mendalam.

Bagaimana proses pembelajaran Jaz sebagai pelakon. Adakah melalui latihan formal, pemerhatian atau pengalaman di set penggambaran?

Semuanya memainkan peranan penting. Saya banyak belajar melalui pemerhatian. Melihat bagaimana pelakon berpengalaman bekerja di set, memahami sistem kerja setiap individu, serta cara mereka mengawal emosi dan tenaga.

Pengalaman di set pula mengajar perkara yang tidak boleh dipelajari melalui teori semata-mata, seperti ketepatan masa (timing), fokus dan kepentingan kerjasama dalam satu produksi. Setiap hari di set adalah ruang pembelajaran yang sangat berharga bagi saya.

Apakah jenis watak atau cerita yang Jaz impikan untuk bawakan, dan mengapa ia penting bagi Jaz secara peribadi?

Saya tertarik dengan watak yang berlapis dan berkonflik dengan diri sendiri. Karakter yang kompleks, gelap dan realistik, yang dekat dengan realiti manusia.

Watak seperti ini penting bagi saya kerana ia memaksa saya menyelami emosi yang jujur dan mendalam, bukan sekadar bermain di permukaan. Saya mahu membawa cerita yang membuat penonton berfikir dan merasai sesuatu yang sebenar.

jazmy juma

Jaket kulit & seluar kulit, COACH, tank top, ONITSUKA TIGER

Siapakah figura atau pelakon yang banyak memberi inspirasi dalam membentuk pendekatan lakonan Jaz hari ini?

Saya terinspirasi oleh pelakon yang tidak bergantung pada dialog semata-mata, tetapi menggunakan bahasa tubuh, ekspresi dan emosi dalaman untuk menyampaikan cerita. Mereka yang berani berdiam, berani terlihat rapuh dan tidak takut kelihatan tidak sempurna di layar — kerana di situlah letaknya kejujuran sebenar dalam lakonan.

Dalam industri yang sering menilai dari luaran, bagaimana Jaz menjaga keseimbangan antara kerjaya, emosi dan kehidupan peribadi?

Saya belajar untuk memisahkan kerja dan kehidupan peribadi. Apa yang berlaku di set, saya tinggalkan di set.

Saya juga memastikan ada masa untuk diri sendiri dengan rutin yang teratur serta aktiviti sukan yang saya amalkan supaya emosi kekal stabil dan sihat. Keseimbangan ini penting agar saya tidak kehilangan arah atau identiti diri dalam perjalanan kerjaya ini.

jazmy juma glam lelaki

Tank top & seluar, COS, kasut loafer, FERRAGAMO

Apabila Jaz melihat perjalanan ini sebagai satu permulaan, apakah harapan dan matlamat yang Jaz simpan untuk diri Jaz sebagai pelakon pada masa hadapan?

Saya berharap untuk menjadi pelakon yang konsisten dan jujur dalam setiap karya. Saya juga mahu setiap naskhah yang saya jayakan memberi sesuatu kepada penonton. Sama ada pengajaran tentang erti kehidupan, tentang kebaikan dan keburukan, atau tentang pilihan yang membentuk diri kita.

Matlamat saya bukan sekadar mengejar populariti, tetapi untuk dihormati kerana komitmen dan kualiti kerja. Saya ingin membina perjalanan yang panjang dan bermakna, bukan sekadar kejayaan sementara. Bismillah.

Artikel berkaitan: SHUKRI YAHAYA KEKAL RELEVAN DAN CEMERLANG SEBAGAI PELAKON DRAMA & FILEM MESKI SUDAH 13 TAHUN DALAM INDUSTRI

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 PELAKON WANITA YANG PERNAH BERGANDING BERSAMA JAZMY JUMA

5 PELAKON WANITA YANG PERNAH BERGANDING BERSAMA JAZMY JUMA

Bacaan Lanjut
GL25: TAHUN PENUH PENGARUH, GAYA & EVOLUSI BUAT GLAM LELAKI

GL25: TAHUN PENUH PENGARUH, GAYA & EVOLUSI BUAT GLAM LELAKI

Bacaan Lanjut

TOTAL GROOMING CHECK: SET PENJAGAAN RAMBUT & BADAN PILIHAN EDITORIAL

Bacaan Lanjut

PENGALAMAN MAGIS POP-UP COACH HOLIDAY 2025

Bacaan Lanjut
jazmy juma abpbh 2025

Ernie Zakri, Fattah Amin, Adam Lee & Jazmy Juma Cemerlang di ABPBH ke-37

Bacaan Lanjut
jazmy juma

JAZMY JUMA, “JUJURLAH DENGAN EMOSI SENDIRI. PELAJARI MANUSIA, BUKAN SEKADAR SKRIP.”

Bacaan Lanjut