OLIVIA BUKTI CINTA AGUNG JENNIFER DAN BAYU KUMBARA

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on StumbleUpon

Sekitar dua tahun lepas, kisah percintaan romantis dirinya bersama dengan seorang pemandu pelancong hebat diperkatakan netizen termasuk masyarakat satu dunia. Walau berasal dari dua dunia berbeza, atas rasa cinta dalam jiwa, perhubungan ikhlas mereka berdua akhirnya termatri melalui ikatan perkahwinan yang sah. Dan baru-baru ini, pasangan Bayu dan Jennier Kumbara kembali menjadi perhatian apabila gambar mereka berdua dengan seorang anak kecil tular di laman-laman sosial. Ya, tepat sekali sangkaan anda! Pasangan ini telah dikurniakan dengan seorang anak perempuan comel, yang diberi nama Olivia.

Namun kenapa agaknya kisah percintaan mereka berdua suatu ketika dahulu menjadi perhatian dunia, sehingga ada yang menganggap kisah cinta mereka ibarat kisah donggeng yang mengilhamkan inspirasi. Ya, GLAM Lelaki berkesempatan untuk menghubungi Jennifer dan memintanya berkongsi kisah cinta agungnya bersama kami.

GLAM Lelaki: Hello Jennifer! Baiklah, pertama sekali boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai diri anda.

JENNIFER KUMBARA: Hello! Terima kasih kepada pihak glamlelaki.my kerana sudi menyiarkan kisah saya ini. Baiklah, nama saya Jennifer Brocklehurst. Saya berasal dari England dan saya mempunyai ijazah dalam bidang Sejarah. Saya duhulunya bekerja di sebuah muzium di United Kingdom sebagai seorang penyelidik. Saya gemar mencari informasi dan khazanah yang tersembunyi. Saya mempunyai seorang adik perempuan, Tessa. Buat masa ini, saya tinggal di Padang, Sumatra Barat bersama dengan suami, Bayu dan anak kami, Olivia. Kami juga mengusahakan sebuah perniagaan iaitu Padang Homestay di mana ia adalah perkhidmatan penginapan buat pelancong yang datang ke Padang. Kami juga bertindak sebagai pusat informasi pelancongan buat mereka yang tidak mahir berbahasa Indonesia. Maka, di sini kami membantu para pelancong mendapatkan pengalaman yang indah ketika melawat Sumatra Barat.

GLAM Lelaki:  Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suami, kisah cinta antara anda berdua kembali tular diperkatakan netizen. Pernah anda menyangka perhubungan anda mendapat publisiti meluas dari media dan orang ramai? Bagaimana pula dengan reaksi Bayu?

JENNIFER KUMBARA: Sejujurnya, sememangnya saya tidak pernah menyangka kisah percintaan kami mendapat perhatian satu dunia. Selepas keraian perkahwinan kami, saya dan suami mendapat banyak masej serta permintaan untuk berkawan di laman-laman sosial khususnya, sehinggakan saya terpaksa menutup telefon bimbit untuk beberapa hari. Selepas itu, kami membuat keputusan untuk mengembara di sekitar Sumatra Barat menggunakan vespa miliknya. Kami tidak putus-putus menerima jemputan hadir ke rancangan-rancangan tv tetapi kami menolaknya secara baik. Ketika itu, kami masih dalam fasa mengenali hati budi dan cuba untuk mengelak dari sebarang perhatian media dan publisiti. Kami lebih suka mendiamkan diri, ini kerana sebelum ini sudah banyak bertebaran berita-berita palsu tentang perhubungan kami. Malu ada, teruja ada dan takut pun ada. Namun kini, saya sudah melihat ini semua sebagai satu yang positif apabila muncul di khalayak ramai. Saya tidak ragu lagi untuk berkongsi kisah kehidupan kami bersama awam. Namun saya gembira apabila kisah perhubungan kami mendapat reaksi positif dari semua orang.

GLAM Lelaki: GL percaya ramai yang ingin atau belum mengetahui bagaimana kisah percintaan kalian bermula. Sudi anda kongsikan detik-detik bermula segalanya. Dan apa pula persepsi pertama anda apabila pertama kali anda bertemu dengannya?

JENNIFER: Kisah percintaan kami bermula sewaktu saya mengembara ke Asia Tenggara. Saya menginap di sebuah hotel di Myanmar dan ada seorang lelaki dari Itali memberitahu saya terdapat pelbagai tempat menarik boleh dilawati di Sumatera. Wujudnya sebuah pantai kecil yang indah dan cantik sekali. Tanpa berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk berkunjung ke sana. Saya bermalam di sebuah penginapan tempat Bayu bekerja, dan itulah pertama kali saya bertentang mata dengan Bayu, hari pertama saya di Sumatera. Pertama kali bertemu, Bayu hanya mampu bertutur sedikit saja dalam Bahasa Inggeris, dan saya pula langsung tidak tahu berbahasa Indonesia, namun kami berdua hanya ingin menghabiskan masa bersama, which we did! Saya terpaksa pulang ke UK selepas sebulan di Indonesia. Dan selepas tingga minggu, saya membuat keputusan untuk kembali ke Indonesia untuk bertemu dengannya. Kami mengembara bersama dari Padang, melewati Sumatra Selatan, Jawa dan Bali. Dan ketika kami di Jawa Timur, Bayu melamar saya. Kami berkomunikasi menggunakan Bahasa ‘indo-lish’ yang kami cipta sendiri dalam mengekalkan komunikasi. Bayu pernah menyebut, pasangan yang mengembara bersama pasti akan kekal bersama. Ya, betul juga apa yang dikatakannya!

GLAM Lelaki: Apakah karekter Bayu yang membuatkan anda yakin dia adalah ‘orangnya’. Boleh kongsikan bersama kami?

JENNIFER KUMBARA: Bayu sangat berbeza. Dia seorang yang periang dan sangat relaks. Hati saya tertambat dengan telatah dan personalitinya yang bersahaja. Pertama kali saya bertemu Bayu, I felt at home! Berjauhan darinya membuatkan saya merinduinya. Bayu seorang yang kelakar, baik hati dan penyayang. Dia suka buat orang ketawa dan selesa dengannya. Maklumlah, Bayu belajar Antropologi (ilmu tentang manusia) di sebuah universiti dan dia sememangnya mudah memahami manusia. Saya terpesona dengan keupayaannya mengenali seseorang berdasarkan karekter pada pertama kali bertemu. Dia memiliki moral yang tinggi dan sudah pastinya seorang suami dan bapa yang penyayang.

GLAM Lelaki: Netizen menganggap kisah percintaan anda cukup memberikan inspirasi, dan anda berdua membuktikan rupa bukanlah segalanya. Komen anda?

JENNIFER KUMBARA: Sejujurnya saya berbesar hati kerana ramai beranggapan kisah kami memberikan inspirasi. Bak kata pepatah di UK, ‘beauty is in the eye of the beholder’, atau tak kenal maka tak cinta. Bagi saya, Bayu adalah seorang lelaki yang amat tampan dan segak di mata saya, walaupun ramai yang menafikannya. Saya sendiri tidak kisah dengan apa yang orang ingin katakan, yang hidup bersamanya adalah saya! Saya mengharapkan perhubungan kami ini dapat menunjukkan sisi lain apakah itu sebenarnya cinta. Ia tidak mengira asal, kerjaya, warna kulit mahupun bahasa…yang pasti cinta adalah cinta.

GLAM Lelaki: Sudah pasti mana-mana perkahwinan sekalipun pasti ada pasang surutnya. Anda dan Bayu juga pasti tidak terkecuali. Jadi bagaimana anda dan Bayu menempuhinya? Dan apa pula cabaran utama yang dihadapi anda dan Bayu?

JENNIFER KUMBARA: Ya, perhubungan yang melibatkan berbeza latar belakang adalah sukar sekali. Pasti banyak perkara yang membuntukan kami berdua namun kami tetap akan berusaha untuk menyelesaikannya, asalkan kami berdua komited dalam perhubungan ini, tiada apa yang mustahil. Kami berikrar untuk sama-sama menempuh walau apa saja dugaan yang datang. Kami mengambil pendekatan untuk sentiasa berbicara dari hati ke hati walaupun terdapat kesulitan dari segi bahasa, namun itu bukan penghalang. Yang pasti, pergaduhan terjadi apabila kita tidak berkomunikasi antara satu sama lain.

Antara cabaran paling utama sudah pastinya perbezaan budaya. Mempelajari bahasa baru dan mengadaptasi persekitran tidak sesukar mempelajari budaya di ‘rumah’ yang baru. Perbezaan antara budaya Sumatera Barat dan Inggeris tidak jauh berbeza namun saya percaya, mempelajari budaya sememangnya mengambil masa yang lama mungkin selamanya. Saya pasti kita semua sentiasa berfikiran semua yang kita buat dirasakan betul, tanpa memikirkan dari segi dan aspek yang lain. Secara asasnya, saya melihat budaya Bayu melalui mata Inggeris saya, dan begitulah sebaliknya. Cabaranya, kami masing-masing punya pendirian sendiri dan adakalanya menyukarkan. Namun, perbezaan ini lah membuatkan kami kuat dari melibatkan diri dalam pergaduhan.

GLAM Lelaki: Selepas dua tahun bersama, anda berdua dikurniakan seorang anak perempuan yang comel, iaitu Olivia. Apa perasaan anda sekarang apabila sudah bergelar ibu?

JENNIFER KUMBARA: Keluarga saya sudah lengkap! Walau baru berusia 9 bulan, Olivia sudah mula berjalan. Ya, sudah pasti kehidupan saya agak penat apatah lagi pertama kali menjadi seorang ibu namun kehadiran Olivia menguatkan dasar percintaan kami. Syukur dan terima kasih kepada tuhan atas segala nikmat yang diberikan.

GLAM Lelaki: Sudah ada perancangan buat Olivia apabila dia besar nanti?

JENNIFER KUMBARA: Tiada apa perancangan yang spesifik cuma sudah pasti saya dan Bayu inginkan yang terbaik duat dirnya. Kami mahu Olivia menjadi seorang insan yang bertanggungjawab, penyayang dan bertimbang rasa. Saya ingin lihat dia membesar dalam persekitaran yang dapat memberikan apa saja buat dirinya mengikut kemampuan, tidak terhad kepada jantinanya.

GLAM Lelaki: Di mana anda melihat diri dan keluarga anda dalam tempoh 5 tahun akan datang?

JENNIFER KUMBARA: Beberapa tahun yang lepas mengajar saya bahawa kehidupan ini sesuatu yang sukar untuk dijangka! Saya dan Bayu tidak merancang apa-apa namun lebih memberikan fokus untuk memperbaiki diri, memahami diri masing-masing dan melalui hari mendatang bersama-sama. Cukuplah kami dikurniakan kesihatan dan kegembiraan. Dan insya allah, saya ingin Olivia untuk mempunyai seorang adik dalam tempoh 5 tahun akan datang.

GLAM Lelaki: Kata-kata terkahir buat mereka di luar sana yang sentiasa menyokong anda dan keluarga.

JENNIFER KUMBARA: Terima kasih! Terima kasih buat semua yang menyokong dan mengikuti perkembangan kami di sosial media. Terima kasih atas segala kata-kata positif. Kami tidak mengharapkan apa-apa selain doakan yang baik-baik untuk kami. Kami bersyukur kisah kami ini sekurang-kurangnya memberikan sedikit inspirasi dalam kehidupan anda. Saya pasti akan berterusan untuk berkongsi gambar dan kisah bersama kalian. Akhir kata, “every day is a gift, remember to be grateful for it.”

Gambar: Instagram @jennifer_kumbara dan koleksi peribadi Jennifer Kumbara

Oleh Wan Mohd Firdaus, 17 Julai 2017



Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.