DOKUMENTARI FESYEN TERBAIK UNTUK ANDA

Anda pencinta dunia fesyen? Selami dan hayati kisah realiti yang berlaku dalam dunia serba sengit nan mewah ini menerusi pilihan dokumentari fesyen pilihan GL. Khas untuk anda, penggemar dunia fesyen yang tegar!

1. THE SEPTEMBER ISSUE (2009)

The September Issue mengisahkan tentang majalah Vogue US keluaran September 2007 yang sememangnya isu paling ditunggu-tunggu pencinta fesyen seluruh dunia. Dokumentari ini memberi pendedahan kepada masyrakat tentang senario yang berlaku dalam dunia penerbitan. Konflik, situasi huru-hara dan ditambah pula dengan watak wanita yang sememangnya ditakuti oleh warga fesyen. Siapa yang tidak mengenali wanita yang sering kali diberi jolokan Ice Queen, Anna Wintour? Namun kali ini ia lebih memfokuskan kepada Grace Coddington, pengarah kreatif majalah Vogue US yang harus berdepan dengan Anna. Setiap babak menceritakan satu-persatu tugas mereka yang bertanggungjawab untuk memastikan semuanya berjalan lancar. Dari jurugambar, penata gaya, dan juga penulis, semuanya punya tugas yang besar.

2. JEREMY SCOTT: THE PEOPLE’S DESIGNER (2015)

Mungkin ini bagaikan naskah coretan diari hidup seorang pereka fesyen. Jeremy Scott menyatakan bahawa dokumentari ini tentang hidupnya yang berubah daripada kehidupan serba sederhana di Missouri sehinggalah menjadi pengarah kreatif jenama mewah, Moschino. Jika anda memiliki impian untuk menjadi seorang pereka fesyen, ini sesuai untuk dijadikan bahan inspirasi. Pelbagai cabaran dan halangan diharungi oleh Jeremy untuk berada di tempatnya hari ini.

3. THE DIRECTOR: AN EVOLUTION IN THREE ACTS (2013)

Anda peminat jenama Gucci? Dokumentari ini menyingkap kisah Frida Giannini, bekas pengarah kreatif Gucci dari tahun 2006-2014. Bukan mudah untuk mengelola sebuah jenama besar. Pelbagai krisis juga masalah hadir namun ia menjadikan dokumentari ini seronok untuk ditonton. The Director, karya yang punya kualiti yang tinggi, menceritakan siapa Frida, semalam, hari ini dan esok. Juga kisah cintanya bersama James Franco memberi elemen bonus dalam melengkapkan jalan cerita ini.

4. BILL CUNNINGHAM NEW YORK (2010)

Apabila berbicara mengenai Bill Cunningham, pasti warga fesyen terus menggambarkan setiap gambar yang diambil oleh Bill. Gaya candid serta santai merupakan trademark dalam setiap gambar yang diambil olehnya. Orang ramai pasti akan mengenali Bill dengan basikal kegemarannya dan akan meronda-ronda di sekeliling kawasan bandar untuk menangkap gambar yang menarik. Bill Cunningham meninggal dunia saat usianya 87 tahun Jun lalu. Walaupun begitu, hasil kerjanya sentiasa bernafas memberi inspirasi kepada semua pencinta fesyen di seluruh dunia.

Oleh GLAM Lelaki

Tags: , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.