Skip to content

“BERGAYA BUKAN UNTUK DIGODA & DIPERGUNA” – LUAHAN SYAHIZAM ZAMIR GURU KACAK TULAR DI ALAM MAYA

Kongsikan artikel ini

Profesion guru kini dilihat semakin mencabar. Selain dari tekanan dalam mendidik anak bangsa agar menjadi manusia berguna untuk agama dan negara, profesionalisme guru masa kini dilihat digugat oleh sikap dan segelintir anak-anak murid yang leka melayan nafsu semata sehingga sanggup mengabaikan maruah sendiri. Ya, kebelakangan ini tular di laman sosial gambar surat-surat cinta yang dihantar secara sembunyi kepada guru lelaki kesukaan, sehinggalah satu tahap ada yang tidak teragak-agak merayu untuk melakukan perbuatan tidak senonoh. Nampak kacak sedikit, habis dikacaunya! Apa sudah jadi dengan sikap murid-murid sekolah zaman ini?

Turut menerima tempias dek isu ini adalah seorang guru lelaki yang gambarnya viral tersebar sekelip mata dek penangan ‘Surat Cinta untuk Cikgu Hanafi’. Menafi sekeras-kerasnya dirinya bukanlah guru yang dimaksudkan, Syahizam Zamir atau lebih mesra dipanggil Zameer mengakui agak terkejut dan terkilan dengan apa yang berlaku. Dek gambarnya diguna dan dieksploitasi sesuka hati, dirinya turut dikecam netizen. Namun adakah seorang guru wajar dipersalahkan dan didenda atas semata dianugerahkan rupa dan handal bergaya. Ya, GLAM Lelaki berkesempatan untuk menemubual Zameer sendiri bagi mendapatkan pandangan peribadinya. Teruskan membaca.

GLAM Lelaki: Boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai tentang diri anda? Nama penuh, asal, umur, tarikh dan tempat lahir, adik beradik dan hobi.

SYAHIZAM ZAMIR: Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada penulis GL kerana sudi menemubual saya. Baiklah, nama saya Syahizam Zamir Sharifudin, dan saya berasal dari Ampang Kuala Lumpur. Saya berumur 29 tahun dan dilahirkan pada 19 November 1988. Saya memiliki 4 adik beradik. Hobi saya adalah bersenam di gim dan window shopping.

GLAM Lelaki: Boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai profesion anda sebagai seorang guru.

SYAHIZAM ZAMIR:  Sebenarnya, minat menjadi guru sudah lama, sejak kecil lagi. Saya kini bertugas di Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya Ampang Selangor. Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris. Saya mula bertugas sejak 2012 sehinggalah kini.

GLAM Lelaki: Kenapa anda meminati profesion pergurunan? Ringkaskan kepuasan yang anda dapat?

SYAHIZAM ZAMIR: Oh, saya meminati profesion perguruan kerana saya suka berinteraksi dengan orang serta memberikan sesuatu kepada masyarakat. Kepuasan apabila murid berjaya dan panggilan “cikgu” itu sendiri satu kepuasan yang tidak dapat dibeli. Yang pasti, tidak semua boleh menjadi seorang guru. Dahulu selalu berangan suatu hari nanti saya akan dipanggil dengan panggilan tersebut. Ini kerana saya sangat menghormati guru-guru saya dan mereka adalah inspirasi untuk saya saya selain ibu dan bapa serta keluarga yang banyak membantu dan menjadikan saya apa adanya sekarang.

GLAM Lelaki: Profesion guru dari dahulu lagi bukannya mudah. Pasti tertekan melayan kerenah murid-murid. Jadi, bagaimana agaknya anda boleh kekal tenang, cool, nampak sentiasa ceria dan sentiasa segak. Apa yang anda amalkan?

SYAHIZAM ZAMIR: Tidak dinafikan tugas sebagai seorang pendidik ini memberikan tekanan tetapi setiap kali itu juga saya melihat kembali betapa saya inginkan kerjaya ini. Jadi saya melihat dari perspektif yang berbeza. Banyak lagi perkara dalam dunia pendidikan yang boleh buat kita bahagia. Justeru saya seringkali melibatkan diri dengan aktif dalam bidang kokurikulum dengan mangajar tarian kepada murid sehingga berjaya membawa nama sekolah ke peringkat antarabangsa seperti di Turki, Italy, Indonesia, London dan Paris. Jadi mengapa perlu tertekan? Malah, saya juga bersyukur dikelilingi rakan sekerja dan barisan pentadbir sekolah yangg baik dan membantu dalam setiap aspek. Tuntasnya, saya gembira kerana dikelilingi mereka-mereka yang positif.

GLAM Lelaki: Profesion guru kini semakin mencabar dek peralihan kepada zaman digital dan media sosial. Isunya kini para pelajar seakan punya akses untuk menggunakan kemudahan ini semata untuk mendekati guru mereka seperti apa yang tular baru-baru ini. Komen anda?

SYAHIZAM ZAMIR: Sejujurnya saya mengasingkan dunia kerjaya dan peribadi. Kedua-duanya ada tempat yang eksklusif dalam hidup saya. Kerjaya saya sebagai seorang pendidik tapi saya masih manusia biasa yang punya kehidupan sendiri tetapi masih dalam laluan yang tidak menggugat nama baik profesion ini. Saya menghadkan capaian media sosial saya daripada pelajar kerana bagi saya ia terlalu peribadi dan tidak apa yang boleh diaplikasikan oleh mereka untuk pembelajaran mereka. Bukan kerana saya sombong tetapi itu prinsip saya supaya tidak mencampur adukkan urusan kerja dan peribadi. Saya juga tidak mempunyai rantaian rakan yang besar dan selesa dengan beberapa kawan rapat sahaja. Senang cerita, saya sangat selektif dalam berkawan.

GLAM Lelaki: Sejujurnya, pernah atau tidak anda melalui pengalaman yang heboh diperkatakan baru-baru ini walaupun anda sendiri mengakui kisah itu tidak melibatkan diri anda?

SYAHIZAM ZAMIR:  Pengalaman yang dinyatakan tidak pernah berlaku pun, memandangkan saya agak tegas di sekolah. Jadi murid mungkin segan dan takut untuk mendekati. Tapi pernah juga lah saya didekati ibu bapa kepada murid, bukan anaknya.

GLAM Lelaki: Seakan satu fenomena, guru yang kacak yang bergaya mudah mendapat perhatian terutama sekali murid-murid wanita. Malah ada yang yang mendakwa dan menasihati guru agar tidak perlu bergaya sakan kerana hanya akan menggangu perhatian para pelajar. Komen dan pandangan peribadi anda?

SYAHIZAM ZAMIR:  Kita sebagai insan biasa memangg suka kan keindahan. Dari mata turun ke hati. Itu lumrah. Bagi saya penampilan itu penting. Ia tidak perlu mahal tapi cukup untuk kelihatan kemas, segak dan bersih. Murid mengidolakan apa yang mereka lihat. Saya juga pernah berada di kerusi mereka jadi saya tahu apa yang mereka suka lihat. Boleh dikatakan hampir 70% masa murid dihabiskan di sekolah. Jadi bagaimana untuk guru mengekalkan fokus dan minat murid? X factor itu penting, selain skill mengajar yang bagus. Secara peribadinya, penampilan guru yang baik dan kemas membantu murid untuk fokus di kelas. Cuma, sedikit kecewa apabila niat kami untuk bergaya dan nampak segak di mata mereka disalah ertikan, malah ada yang digoda dan diperguna pihak-pihak tertentu.

GLAM Lelaki: Isunya kini, guru pula seakan dipersalahkan jika dilihat terlalu rapat dengan melayan murid wanita seperti apa yang viral baru-baru ini sehingga diajak melakukan perbuatan tidak senonoh. Komen anda?

SYAHIZAM ZAMIR:  Guru perlu meletakkan batasan kepada murid. Tujuan utama tak lain untuk menjaga profesionalisme pendidik yang telah diamanahkan ibu bapa. Terpulang kepada guru untuk mengatasinya. Kadang-kadang ada juga guru yang difitnah dan mungkin juga sekelumit berita berkenaan salah laku guru di media elektronik dan cetak menyebabkn imej guru lain tercalar. Bagi saya, yang salah tetap salah dan berani kerana benar. Maknanya, kita ambil yang positif dan cuba untnk mengelakkn sebarang perkara yang tidak diingini.

GLAM Lelaki: Baru-baru ini, gambar anda telah disalahgunakan portal atau blog tertentu apabila kisah seorang guru mendapat surat cinta viral di sosial media. Apa pandangan anda dan nasihat yang anda boleh berikan pihak-pihak tertentu yang sewenang-wenangnya mengunakan gambar anda dan mengaitkan dengan diri anda?

SYAHIZAM ZAMIR:  Sejujurnya saya agak terkilan dengan portal tersebut serta segelintir netizen yangg menghentam profesionalisme saya sebagai pendidik berkenaan isu surat tersebut sedangkan ia tiada kaitan dengan saya. Dari situ sudah terlihat cara kotak pemikiran segelintir masyarakat kita yang mudah melatah tanpa sebarang usul periksa. Saya tidak begitu ambil peduli sebab saya tahu apa yang benar. Seperti yang saya katakan, saya cuba untuk positif. Cuma bagi saya tidak sepatutnya blog mahupun portal tersebut menggunakan gambar saya tanpa kebenaran.

GLAM Lelaki: Anda dilihat sering kali tampil bergaya walaupun berada di sekolah. Ceritakan serba sedikit bagaimana anda menjaga personaliti anda dalam berfesyen walaupun berkerja sebagai seorang pendidik.

SYAHIZAM ZAMIR:  Saya telah diajar oleh keluarga untuk menjaga diri. Tidak perlu kacak untuk menjaga penampilan. Ia adalah rutin harian. Saya juga seperti lelaki yang lain. Memakai baju dan seluar. Cuma mungkin berbeza dari segi pemilihan item dan cara pembawakan. Menjadi tenaga pengajar tidak membataskan saya untuk menjadi diri saya. Tak salah untuk bergaya asal kena pada tempatnya.

GLAM Lelaki:  Awak juga dilihat seorang yang menjaga penampilan menerusi kecergasan. Mungkin awak boleh ceritakan serba sedikit tip-tip awak menjada kesihatan yang boleh dikongsikan bersama pembaca.

SYAHIZAM ZAMIR: Menjaga kesihatan lebih penting daripada penampilan sebenarnya. Ia nikmat yang paling mahal dan tak boleh dibeli. Makanya ia dah menjadi sebahagian rutin saya seharian untuk ke gim selepas pulang dari sekolah. Saya tidaklah mahu menjadi cikgu sado atau sebagainya. Cukup untuk kelihatan segak ketika menyarungkan baju. Tiada tip penting cuma saya kurangkn pengambilan nasi dalam diet harian dan bakar apa yang saya makan bagi mengelakkn berat badan melampau. Saya ke gim 4 kali seminggu dan cheatday.

GLAM Lelaki:  Sekiranya awak ditawarkan untuk terjun dalam bidang seni, seperti lakonan dan pengacaraan adakah awak sudi menimbangkannya?

SYAHIZAM ZAMIR:  Ya sudah tentu. Itu adalah minat saya. Berinteraksi dengan masyarakat. Kerjaya dan minat seharusnya selari. Asalkan tidak menggangu kerjaya tetap saya sebagai seorang pendidik.

GLAM Lelaki: Nasihat awak untuk semua lelaki-lelaki di luar sana untuk pentingnya menjaga penampilan dan peribadi.

SYAHIZAM ZAMIR: Tubuh badan dan kesihatan kita adalah anugerah. Jadi kita harus menghargai dan menjaganya. Bukan untuk diri kita sahaja malahan untuk orang sekeliling yang memandang. Lelaki masa kini sudah pandai bergaya dan menjaga penampilan. Tapi perlu diingat jangan menjadi mangsa fesyen. Less is more. Terdapat banyak rujukan yang boleh digunakn untuk tampil lebih berkeyakinan. Contohnya Glam Lelaki sendiri. Jadi tiada alasan untuk tidak menghargai diri sendiri. Terima kasih!

(Sumber foto: Instagram @chikocullen dan koleksi peribadi Syahizam Zamir)

Oleh Wan Mohd Firdaus, 16 Ogos 2017 

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

10 FAKTA TENTANG MOVEMBER BOLEH SELAMATKAN NYAWA ANDA

Bacaan Lanjut
5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

Bacaan Lanjut

LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH

Bacaan Lanjut
makanan Lelaki

5 MAKANAN YANG LELAKI PERLU ELAK UNTUK ZAKAR LEBIH KUAT

Bacaan Lanjut

STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID

Bacaan Lanjut
Ruark

SISTEM MUZIK REVOLUSIONER SIRI 100 RUARK MENGHUBUNGKAN ANDA DENGAN MUZIK

Bacaan Lanjut