Skip to content

"CONFIDENCE IS THE KEY, KAN?" SHARUL KAMAL. KENALI PENYANYI DAN PELAKON YANG MULA MENJADI SEBUTAN.

“CONFIDENCE IS THE KEY, KAN?” SHARUL KAMAL. KENALI PENYANYI DAN PELAKON YANG MULA MENJADI SEBUTAN.

Kongsikan artikel ini

Menjelang usia 30, Sharul Kamal tidak sekadar meraikan pencapaian, tetapi melihat muzik dan lakonan sebagai medium untuk menyampaikan rasa dan inspirasi. Sebuah perjalanan tentang kerja keras, disiplin dan keberanian untuk terus mencari ‘emas’ dalam setiap langkah. Baca temu bual GLAM Lelaki bersama penyanyi dan pelakon, Sharul Kamal. 

Foto: Instagram Sharul Kamal

Boleh kongsikan sedikit tentang perjalanan anda dalam muzik? Apakah yang mendorong anda untuk bermula?

Walaupun saya tidak dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai latar belakang muzik, muzik sebenarnya sudah mengalir dalam darah saya sejak kecil. Tanpa saya sedari, minat ayah yang gemar mendengar radio menjadi antara pencetus yang membuatkan saya jatuh cinta kepada muzik. In the End oleh Linkin Park pula merupakan antara lagu terawal yang saya hafal.

Bagi saya, muzik menjadi satu ruang untuk melarikan diri daripada perkara-perkara yang tidak sihat. Ia mengajar saya untuk memahami dan menyalurkan emosi, selain meluahkan segala yang bermain di fikiran. Lama-kelamaan, saya sedar bahawa muzik bukan sekadar bunyi atau melodi, tetapi sebuah ruang yang membolehkan saya menghubungkan perasaan dan cerita saya dengan orang ramai.

Bagaimanakah anda menggambarkan gaya peribadi anda? Adakah ia berubah dan berkembang seiring dengan masa?

Saya seorang yang sangat easy-going. Dalam erti kata lain, apa sahaja yang selesa dan sesuai dengan diri saya, itulah yang akan saya pakai. Dulu, mungkin saya lebih gemar mengikut trend semasa. Tetapi semakin masa berlalu, saya lebih mengutamakan keselesaan. Kalau perlu mengikut trend sekalipun, saya akan pastikan ia tetap sesuai dengan personaliti dan gaya saya.

Pada akhirnya, saya percaya gaya bukan sekadar tentang apa yang kita pakai, tetapi bagaimana kita membawanya. Confidence is the key, kan?

Foto: Instagram Sharul Kamal

Boleh kongsikan sedikit tentang pilihan muzik peribadi anda untuk tahun 2026? 

Untuk 2026, saya cuba mengembangkan lagi vocabulary muzik saya dengan meneroka lebih banyak genre. Kali ini, saya memberi ruang kepada muzik country, folk, blues, jazz dan hip hop, sementara rock sememangnya kekal sebagai muzik ruji saya.

Bagi saya, eksplorasi ini bukan sekadar tentang bunyi, tetapi juga visual. Saya turut memberi perhatian kepada aspek visual dalam muzik kerana ia menjadi sumber inspirasi untuk membentuk dan memperkayakan persembahan-persembahan saya yang seterusnya.

Boleh kongsikan tentang satu karya atau projek yang paling meninggalkan kesan kepada anda?

Setiap karya yang saya hasilkan pastinya mempunyai kenangan tersendiri buat saya. Saya akan sentiasa mengingati setiap emosi dan pengalaman yang hadir sepanjang proses tersebut. Sebagai satu cara untuk saya terus bersyukur dengan apa yang saya miliki dan lalui sehingga hari ini.

Namun, jika perlu memilih satu, saya akan memilih filem pertama saya, Seratus. Filem ini menghimpunkan 99 pelakon yang hebat dan berkaliber. Dan saya diberi kepercayaan untuk memegang watak utama. Bagi saya, ia merupakan satu pengalaman yang sangat istimewa dan kenangan yang akan sentiasa saya bawa sepanjang perjalanan dalam bidang ini.

Foto: Instagram Sharul Kamal

Apakah nasihat yang ingin anda kongsikan kepada penyanyi atau pemuzik baharu?

Saya selalu menganggap seorang penyanyi atau penghibur itu seperti seorang atlet. Kita perlu sentiasa fit kerana kita adalah penghubung rasa kepada pendengar. Kalau diri sendiri lemah atau tidak bertenaga, bagaimana kita mahu menyampaikan emosi dengan tepat?

Bidang ini memerlukan tenaga, stamina dan disiplin. Tidak semestinya perlu menjadi bodybuilder, tetapi cukup dengan mengekalkan rutin harian yang aktif dan bersukan. Apabila tubuh berada dalam keadaan baik, kita bukan sahaja mampu memberikan persembahan yang lebih bertenaga, tetapi juga menjadi penghibur dan penyampai rasa yang lebih baik.

Apakah yang boleh kita nantikan daripada anda pada tahun 2026?

Orang kata, kalau kita mulakan hari dengan senyuman, InsyaAllah hari itu akan dipenuhi perkara yang baik. Begitu juga saya memulakan 2026 dengan pelbagai projek, baik dalam bidang lakonan mahupun muzik.

Tahun ini, saya berpeluang menghasilkan beberapa kolaborasi yang di luar kebiasaan, antaranya projek lagu raya bersama Mierul Aiman. Saya juga membawakan sebuah OST untuk slot Megadrama di Astro, berjudul Bahagia Yang Tertangguh. Tidak lama lagi, lagu dan lakonan saya juga akan muncul dalam sebuah siri Astro yang pernah mencetuskan fenomena.

Jadi, nantikan kemunculannya. Ada lebih banyak yang bakal saya kongsikan.

Foto: Instagram Sharul Kamal

Apakah yang ingin anda capai sebelum mencecah usia 30 tahun?

Saya hanya mempunyai beberapa bulan lagi sebelum mencecah usia 30 tahun. Namun, saya rasa sudah banyak yang saya kecapi kerana perjalanan kerjaya saya bermula sejak usia yang sangat muda menerusi program realiti televisyen, Akademi Fantasia 2015.

Memasuki usia 30 dan tahun-tahun seterusnya, saya mahu terus memperbanyakkan usaha untuk menyampaikan mesej-mesej positif kepada masyarakat menerusi muzik dan lakonan. Khususnya kepada generasi yang lebih muda. Saya berharap karya-karya yang saya hasilkan bukan sekadar menghiburkan, tetapi turut memberi sesuatu yang baik dan bermakna. Agar kita dapat membina masyarakat yang lebih positif dan sihat.

Ada seorang yang istimewa pernah berpesan kepada saya, “Kalau kau nak jadi tukang kutip sampah, teruskanlah mengutip sampai kau jumpa emas.” Bagi saya, mesej di sebalik kata-kata itu cukup besar. Apa sahaja yang kita lakukan, lakukanlah dengan bersungguh-sungguh. Buat kerana tanggungjawab, bukan semata-mata mengikut nafsu atau keinginan. Teruskan, walaupun prosesnya panjang, kerana dengan kesungguhan dan ketekunan, InsyaAllah kejayaan akan menyusul.

Artikel berkaitan: QAL-G, “LAGU ‘SEPI’ MENANDAKAN LANGKAH RASMI PERTAMA SAYA DALAM INDUSTRI MUZIK.”

 

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

HIGH COUNCIL UNIVERSE: INI KRONOLOGI SEBENAR PROJEK: HIGH COUNCIL, KAHAR & KUDRAT 1968

HIGH COUNCIL UNIVERSE: INI KRONOLOGI SEBENAR PROJEK: HIGH COUNCIL, KAHAR & KUDRAT 1968

Bacaan Lanjut
6 HIGH SCHOOL SERIES TEMPATAN ANDA PATUT TONTON SEBELUM KUDRAT 1968

6 HIGH SCHOOL SERIES TEMPATAN ANDA PATUT TONTON SEBELUM KUDRAT 1968

Bacaan Lanjut
KUDRAT 1968 REVEAL THE CAST! SIAPA PELAKON UTAMA FILEM INI?

KUDRAT 1968 REVEAL THE CAST! SIAPA PELAKON UTAMA FILEM INI?

Bacaan Lanjut

5 PENYANYI GENERASI BAHARU MALAYSIA YANG SEMAKIN MENYERLAH

Bacaan Lanjut
TARUNG: UNFORGIVEN BAWAKAN BARISAN PELAKON HEBAT

TARUNG: UNFORGIVEN BAWAKAN BARISAN PELAKON HEBAT

Bacaan Lanjut

GL PLAYLIST: KOLEKSI LAGU RAYA TERBARU TAHUN 2026, DARI ALPHA, MIERUL AIMAN & HAEL HUSAINI.

Bacaan Lanjut