CABBEEN TERUS MENGUKUHKAN NAMA DI MALAYSIA, BUTIK KEEMPAT DI IOI CITY MALL
Jenama fesyen lelaki dari China, CABBEEN, terus mengembangkan pengaruhnya di Malaysia menerusi pembukaan butik keempat di IOI City Mall, Putrajaya.
Acara pembukaan CABBEEN yang berlangsung pada 17 Oktober itu turut dimeriahkan oleh kehadiran pelakon Evertts Gomes, selebriti, pempengaruh serta barisan penggiat kreatif tempatan. Dikenali menerusi gabungan rekaan kontemporari, budaya jalanan dan estetika avant-garde, CABBEEN menjadikan pembukaan butik terbaharunya sebagai satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pengembangan jenama di rantau ini. Majlis tersebut turut dihoskan oleh penyampai radio merangkap KOL, Fiqrie, yang menghidupkan suasana sepanjang acara berlangsung.

Selain meraikan pembukaan ruang niaga baharu, acara ini turut menjadi pentas buat para tetamu menampilkan interpretasi gaya masing-masing menerusi koleksi terkini CABBEEN. Siluet yang berani, perincian jahitan yang teliti serta potongan kontemporari menyerlahkan identiti jenama ini. Mereka mengutamakan ekspresi diri dan keunikan dalam fesyen lelaki. Sambutan diteruskan dengan sesi beramah mesra, acara simbolik serta permainan interaktif yang membuka ruang kepada para tetamu untuk berinteraksi dan bertukar idea. Lebih daripada sekadar pembukaan butik, acara ini mencerminkan aspirasi CABBEEN untuk menjadi sebahagian daripada perkembangan landskap fesyen dan industri kreatif Malaysia.
Cabbeen Gabungkan Rekaan China Dengan Budaya Jalanan Kontemporari
Ditubuhkan pada tahun 1997, CABBEEN Fashion membawa falsafah jenama “Reshape The Trend”. Mereka menekankan rekaan asli, keberanian bereksperimen dan pendekatan fesyen yang mengutamakan identiti individu. Koleksinya meneroka pertembungan antara inspirasi seni tradisional dengan gaya hidup moden, sekali gus menghasilkan rekaan yang berbeza daripada kebiasaan. Gabungan teknik jahitan tersendiri, eksperimen fabrik serta bahasa rekaan yang tidak konvensional membentuk identiti CABBEEN sebagai jenama yang meraikan kebebasan berekspresi menerusi pakaian.
Bagi CABBEEN, fesyen bukan sekadar keperluan harian, sebaliknya menjadi medium untuk seseorang menyampaikan personaliti, karakter dan pendirian tersendiri. Pendekatan ini turut menjadikan jenama tersebut relevan buat generasi lelaki moden yang lebih terbuka untuk bereksperimen dengan gaya peribadi. Di pasaran asalnya, CABBEEN memiliki lebih daripada 650 butik fizikal di seluruh China. Jenama ini turut memperluas pengiktirafan antarabangsa menerusi penyertaan dalam New York Fashion Week. Mereka turut mencatat satu lagi pencapaian korporat apabila disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong pada tahun 2013.
Empat Butik, Satu Misi Memperluas Pengaruh Fesyen
CABBEEN mula memasuki pasaran Malaysia pada Jun 2025 dengan pembukaan butik pertamanya di Pavilion Bukit Jalil, diikuti lokasi kedua di Sunway Velocity Mall pada bulan yang sama. Langkah pengembangan diteruskan menerusi pembukaan butik di Mid Valley Megamall pada Ogos 2026, yang memperkenalkan konsep kedai serta identiti visual terbaharu jenama. Kehadiran di IOI City Mall pula melengkapkan rangkaian empat butik CABBEEN di Malaysia, dengan pembukaan lokasi tersebut pada September 2026.

Kini, peminat fesyen lelaki boleh mendapatkan koleksi CABBEEN di empat lokasi berikut:
- Pavilion Bukit Jalil — Lot 2.21.00, Aras 2, Zon Jingga
- Sunway Velocity Mall — L2-46
- Mid Valley Megamall — F-037
- IOI City Mall — G-67
Selain koleksi utama, CABBEEN turut membawa subjenamanya, 2AM, ke pasaran Malaysia. Kehadiran label tersebut memperluas penawaran fesyen kontemporari yang berteraskan trend semasa. Mereka juga sekali gus mendekati golongan pengguna muda yang melihat fesyen sebagai sebahagian daripada identiti dan gaya hidup mereka. Dengan empat lokasi yang kini beroperasi, CABBEEN turut merancang untuk meneruskan pengembangan rangkaian runcitnya di Malaysia pada tahun 2027.
Menyokong Kreativiti Tempatan Melalui Muzik
Di sebalik perkembangan perniagaan runcit, aspirasi CABBEEN di Malaysia turut merangkumi usaha menyokong industri kreatif tempatan. Jenama ini telah mengambil peranan sebagai penaja kehormat Music Boleh, sebuah inisiatif yang menyokong perkembangan muzik asli Malaysia serta menggalakkan pemuzik dan penggiat kreatif tempatan untuk terus menghasilkan karya original.
Kerjasama ini mencerminkan hubungan erat antara fesyen, muzik dan budaya anak muda, iaitu tiga elemen yang sering menjadi ruang untuk bereksperimen, mencabar kebiasaan dan mengekspresikan identiti. Melalui sokongan terhadap bakat tempatan serta penglibatan bersama komuniti kreatif, CABBEEN berhasrat membina hubungan yang melangkaui dunia fesyen semata-mata.

Seiring dengan pertumbuhan rangkaian butiknya, CABBEEN terus menghubungkan perspektif rekaan dari China dengan landskap kreatif Malaysia yang pelbagai. Pembukaan butik keempat ini bukan sahaja menandakan satu lagi pencapaian dalam perjalanan jenama tersebut. Malah, memperlihatkan komitmennya untuk membina kehadiran yang lebih kukuh dalam dunia fesyen lelaki tempatan.
Pautan berkaitan: DIOR BOLT SIMBOL KEANGGUNAN MODEN DALAM KOLEKSI BEG WINTER 2026-2027
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
KUDRAT 1968 REVEAL THE CAST! SIAPA PELAKON UTAMA FILEM INI?
Pelakon-pelakon utama filem Kudrat 1968 telah didedahkan, dan menjadikan penantian peminat siri High Council yang kian menanti.
GL GANG X ADIDAS: KOLABORASI PENGGAYAAN PENUH STAIL
GLAM Lelaki telah berkolaborasi bersama adidas untuk sesi penggayaan GL Gang x adidas pada 30 September yang lalu.
SESI EKSKLUSIF #STYLEDBYJK BERSAMA GL GANG DAN JENAMA DENIM, LEE
Sembilan GL Gang hadir menyertai masterclass #styledbyJK bersama jenama denim, Lee. Sambil itu, mendekati koleksi musim bunga 2025 Lee.
LAPAN SELEBRITI BERBANGSA CINA YANG BERGIAT AKTIF DALAM DRAMA MELAYU
GLAM Lelaki senaraikan lapan selebriti berbangsa Cina yang berjaya mencipta nama dan pelbagai kejayaan di bidang hiburan tempatan.









