“BIAR LAIN MENGATA, ASALKAN HATI IBU TERJAGA” – LUAHAN AMIN AZLAN
Sekental mana jiwa sang lelaki, pasti rapuh tatkala berbicara tentang ibu sendiri. Bak kata pepatah, ‘syurga di telapak kaki ibu’, wajarlah mana-mana anak sekalipun menghargai kedua ibu bapa, sementara mereka masih bernyawa. Dan itulah yang dilakukan oleh Amin Azlan. Seorang anak lelaki yang menghargai pengorbanan ibu dengan caranya, namun tindakannya itu menerima respon pelbagai rasa. Ada memuji, ada juga yang mencaci. Video dirakamnya hanya untuk tatapan sendiri dan keluarga, namun tiada pula menyangka ia tular sehingga kecoh diperkata. GL menghubungi Amin Azlan sendiri dan memintanya berkongsi kisah di sebalik video tersebut dan luahan hati setelah sekian lama mendiamkan diri.
GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan tentang latar belakang anda. Nama penuh, umur, adik beradik, kerjaya, hobi dan apa saja yang menarik tentang diri anda?
AMIN AZLAN: Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada GLAM Lelaki kerana sudi menyiarkan kisah hidup saya. Baiklah, nama penuh saya Muhamad Amin Bin Azlan, dan kawan-kawan panggil saya Amin Azlan . Saya berumur 26 tahun dan bekerja sebagai pemandu ambulan. Saya juga mempunyai bisness family sendiri di mana kami menyalurkan bekalan ambulans untuk hospital kerajaan dan swasta. Hobi saya bermain online game Dota2 dan bersenam di gim.
GLAM Lelaki: Video anda memberikan hadiah kepada ibu tular diperkatakan. Boleh anda kongsikan dengan kami tentang bagaimana bermulanya rakaman video itu dan apa di sebalik video tersebut yang tidak semua tahu.
AMIN AZLAN: Motif saya merakam video itu hanyalah untuk suka-suka. Malah kawan-kawan yang mengenali tahu saya gemar memuat naik video-video menarik tentang apa-apa saja. Dan 29 Ogos merupakan hari lahir ibu saya, jadi saya fikir apa salahnya untuk saya rakam video tersebut untuk dikongsi dalam grup Whatsapp keluarga. Tiada suntingan, tiada skrip dan ia dirakam hanya sekali. Telefon pintar saya sorokkan di celahan baju agar ia nampak natural. Tambahan pula ibu saya banyak memberikan kata-kata hikmah dan nasihat sewaktu ia dirakam, jadi saya berfikir apa salahnya saya memuatnaikkan ia di dalam akaun FB saya. Tiada motif untuk diviralkan tapi bila sudah tular saya anggap ini sebagai pengajaran untuk semua. Asyik lihat video tak senonoh saja ditularkan, jadi saya okay saja bila video ini menjadi tatapan umum, lagipun ia benda baik bukan?
GLAM Lelaki: Bagaimana pula dengan repson dan perasaan ibu anda saat momen itu dirakam dan tular di laman sosial?
AMIN AZLAN: Ibu saya okey saja, tetapi akui ibu dia rasa malu juga. Terkejut agaknya. Tetapi saya sudah yakin kan dia. Sebelum membuat keputusan untuk berkongsi video itu, saya periksa semua auratnya tertutup, then baru saya berani upload.
GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan keistimewaan ibu anda?
AMIN AZLAN: Keistimewaan ibu adalah dia segala-galanya bagi saya. Walaupun berusia 63 tahun namun ibu saya masih kuat bekerja bersama kami untuk memajukan perniagaan ambulan peribadi ini. Sejujurnya saya tak boleh bayangkan betapa istimewanya ibu saya dan ibu-ibu yang lain dalam menguruskan anak-anak. Senang cerita, teman wanita tak ada tak mengapa, ibu tak ada boleh mati dibuatnya.
GLAM Lelaki: Bagaimana anda menepis tanggapan video tersebut dibuat hanya untuk menjadikan anda popular dan untuk anda terjun dalam bidang seni dan modeling.
AMIN AZLAN: Bagi saya penularan video ini adalah perkara yang baik dan boleh dianggap satu masej yang berguna. Tetapi saya tidak boleh lari dari perhatian netizen yang memberikan komen serta kritikan seperti anak emak, poyo, gila populariti dan sebagainya. Yang pasti, video ini dikongsi bukanlah untuk digunakan untuk saya terjun ke dalam bidang seni. Saya mempunyai kerjaya dan perniagaan sendiri, dan modeling pula hanyalah part-time.
GLAM Lelaki: Anda mulai digelar ‘anak emak’, ‘mudah tersentuh dan sensitif’ selepas penularan video tersebut. Sejauh mana apa yang telah terjadi ini memberi kesan pada kehidupan anda?
AMIN AZLAN: Saya satu-satunya anak lelaki sulung (selepas kakak saya meninggal dunia 8 tahun lepas), jadi saya merasakan ia tanggungjawab saya untuk melakukan semua bersamanya. Teman ibu ke pasar, shopping baju perempuan, pergi kedai jamu dan lain-lain. Jadi saya tidak boleh lari dari gelaran ini. Mudah tersentuh? Saya rasa semua orang akan tersentuh bila mengingatkan semula tentang pengorbanan ibu dan ayah. Saya pun tidak kisah dilabel begitu. Risaukan tiada wanita yang ingin mendekati? Saya tak kisah. Jika dia tidak dapat menerima keakraban saya dan ibu, mungkin dia bukanlah pilihan terbaik untuk saya.
GLAM Lelaki: Kenapa seseorang lelaki perlu menghargai ibu dan bapa mereka?
AMIN AZLAN: Baik lelaki mahupun perempuan perlulah menghargai ibu mereka semasa mereka masih di dunia. Janganlah nanti bila mereka dah tiada baru nak menyesal. Luangkan sedikit masa pun sudah mencukupi dengan menghubungi dan bertanyakan khabar mereka. Tetapi bagi saya, lelaki punya kelebihan tersendiri contohnya jika lelaki temankan ibu mereka keluar, fungsinya sebagai bodyguard, memegang tangan ibu, mengangkat barang yang ibu beli, dan lelaki lebih kuat nalurinya jika terhidu bau bahaya di sekeliling ibunya sendiri.
GLAM Lelaki: Sekiranya anda ditawarkan untuk berlakon, adakah anda sudi menimbangkannya.
AMIN AZLAN: Kalau dalam drama pukul 7 itu, saya enggan.
GLAM Lelaki: Bagaimana pula dengan solan penjagaan tubuh anda, kerana anda dilihat begitu menjaga kesihatan tubuh badan sehingga menjadi tegap dan sasa seperti sekarang. Sudi kongsikan rutin, regim dan diet anda?
AMIN AZLAN: Saya menhabiskan masa malam saya di gim 5 kali seminggu di antara pukul 10 hingga 12 tengah malam. Ini adalah rutin saya setiap hari untuk saya kekal sihat. Dalam soal diet, saya akan masak setiap hari untuk mengekalkan nutrisi dalam badan. Semantara saya teman ibu ke pasar tu saya juga akan membeli barang saya sendiri untuk meal workout saya.
GLAM Lelaki: Perancangan lain untuk ibu anda selepas ini?
AMIN AZLAN: Insya allah, saya merancang untuk membeli rumah teres untuk kami tinggal bersama tahun depan. Semoga dipermudahkan, amin.
GLAM Lelaki: Kata-kata terakhir buat semua yang mengikuti perkembangan anda serta yang mengkritik anda.
AMIN AZLAN: Buat semua yang memberikan kata-kata semangat, sampai ada yang ternanti-nantikan video seterusnya bersama ibu, saya ucapkan jutaan terima kasih. Buat yang mengkritik, mohon janganlah keraskan sangat hati anda semua. Cuba lihat video tersebut dengan pemikiran terbuka. Maaf jika anda yang terkesan dengan video tersebut. Peace!
Oleh Wan Mohd Firdaus, 21 September 2017
Tags
Artikel Yang Berkaitan
10 FAKTA TENTANG MOVEMBER BOLEH SELAMATKAN NYAWA ANDA
Kempen Movember menonjol sebagai gerakan penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan lelaki.
LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH
Semasa matahari terbenam di ufuk pada hari terakhir tahun 2023, Lexis Hibiscus Port Dickson berubah menjadi syurga kaleidoskopik bagi lebih daripada 2,000 para tetamu yang meraikan perayaan Malam Tahun Baru yang paling dinantikan tahun ini.
STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID
Bagi peminat chef selebriti terkenal Gordon Ramsay, anda kini boleh menikmati makanan lazat di restoran terbarunya Street Pizza di Sunway Pyramid.
SISTEM MUZIK REVOLUSIONER SIRI 100 RUARK MENGHUBUNGKAN ANDA DENGAN MUZIK
Ruark menampilkan Siri 100 sistem muzik yang menawarkan lonjakan dalam kualiti audio evolusi dan gabungan kesenian dan inovasi yang lancar.
10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA
Daripada menunggu lamaran cinta hati, barisan selebriti ini memilih untuk mengabaikan gelaran 'perigi cari timba' dan melamar lelaki idaman.
BACHA COFFEE MEMBUKA DESTINASI SUMBANGANNYA DI SURIA KLCC
Jenama kopi legenda Bacha Coffee diasaskan di Marrakech pada tahun 1910, telah meneruskan jelajah dunianya ke tengah-tengah Kuala Lumpur Suria KLCC.