Skip to content

GL THE MAN AWARDS 2026, “STAIL NEXT GEN” – FAHD DHAF

GL THE MAN AWARDS 2026, “STAIL NEXT GEN” – FAHD DHAF

Kongsikan artikel ini

Wajah yang sering menghiasi pentas fesyen, Fahd Dhaf turut mempunyai gaya peribadi yang setara dengan penampilannya. 

Pertemuan bersama Fahd di acara-acara fesyen sentiasa rasa seperti bertemu rakan lama. Peramah, namun tetap cool. Muda, berkarisma dan mempunyai gaya tersendiri, Fahd Dhaf merupakan antara bakat baharu yang mula mencuri perhatian dalam dunia fesyen dan hiburan tempatan. Sebagai seorang model, Fahd hadir dengan identiti serta karakter yang mencerminkan semangat generasi baharu. Seiring dengan potensinya yang kian berkembang, Fahd membuktikan bahawa generasi muda turut mempunyai pengaruh dalam membentuk landskap gaya lelaki masa kini. Atas personaliti dan pendekatannya terhadap fesyen, Fahd Dhaf diiktiraf sebagai penerima anugerah Stail Next Gen di GL The Man Awards 2026.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by GLAM Lelaki (@glamlelaki)

1. Bagaimana Anda Ingin Menggambarkan Diri Anda Lima Tahun Akan Datang?

Dalam tempoh lima tahun akan datang, sudah tentu saya mahu mencapai sesuatu dalam kehidupan dan perniagaan. Saya teringin mempunyai kedai kopi sendiri. Sebelum ini, saya pernah terfikir untuk melancarkan jenama pakaian, tetapi memandangkan komitmen yang diperlukan agak besar, saya rasa membuka kafe akan menjadi pilihan yang menarik. Saya juga mahu mempunyai studio pejabat sendiri untuk menghasilkan kandungan kerana saya memang suka mencipta kandungan dan berharap dapat membina sebuah pasukan kecil untuk berkarya bersama.

Saya memilih kafe kerana saya sendiri meminati kopi. Bagi saya, kafe ialah tempat untuk berehat, meluangkan masa bersama rakan-rakan atau menyiapkan kerja. Selain itu, sudah tentu saya juga mengimpikan kereta dan rumah idaman sendiri.

2. Bagaimana Anda Kekal Menjadi Diri Sendiri Apabila Semakin Ramai Orang Mempunyai Ekspektasi Terhadap Anda?

Saya rasa saya sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang masa lalu, asal-usul dan bagaimana saya bermula dalam dunia peragaan. Ketika mula menjadi model, saya berdepan dengan pelbagai ekspektasi. Namun, kita tidak semestinya perlu memenuhi semua kehendak orang lain. Apa yang penting ialah menjadi diri sendiri kerana selagi kita ikhlas dan tulen, orang akan menerima kita seadanya.

Saya juga perlu sentiasa mengingatkan diri untuk berjimat cermat dan merendah diri supaya tidak berubah menjadi seseorang yang berbeza. Terus melakukan perkara yang biasa saya lakukan sebelum menjadi model, seperti meluangkan masa bersama rakan-rakan walaupun mereka bukan orang terkenal juga berada di dalam fikiran saya. Saya cuma mahukan kehidupan yang normal dan tidak terlalu mengejar kemewahan.

3. Di Luar Kerjaya, Apakah Perkara Yang Paling Anda Minati?

Saya memang meminati sukan dan banyak meluangkan masa untuk berlari. Tahun lalu, saya mula berbasikal dan kini saya turut mendalami sukan renang. Disebabkan itu, saya mula menceburi sukan triatlon. Buat masa ini, saya sedang memberikan tumpuan untuk menyertai perlumbaan Ironman pertama saya di Langkawi. Bagi saya, itu satu pencapaian besar yang ingin direalisasikan.

Saya dan rakan-rakan berlatih bersama-sama selama setahun untuk mencapai matlamat ini. Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti saya akan memasang impian untuk menyertai perlumbaan seperti ini. Semuanya bermula apabila saya bertemu dengan sekumpulan rakan yang menyeronokkan dalam sebuah komuniti sukan. Mereka sentiasa mencabar saya untuk mencuba sesuatu yang baharu dan saya rasa saya tidak akan sampai ke tahap ini tanpa mereka.

4. Apakah Erti ‘Good Style’ Buat Anda Sebagai Seorang Lelaki?

Buat masa ini, saya banyak memberikan perhatian kepada aspek proporsi dalam berpakaian. Saya masih menggemari gaya minimalis dengan potongan longgar, manakala palet warna pilihan saya sejak dahulu ialah rona bumi. Dari segi siluet, saya tidak begitu gemar bereksperimen dengan sesuatu yang terlalu ekstrem kerana lebih selesa dengan gaya minimalis.

Namun begitu, sekarang saya mula mencuba warna-warna terang. Contohnya, saya mungkin memakai pakaian serba hitam tetapi menambah kasut atau topi berwarna merah sebagai pernyataan gaya. Saya juga suka bermain dengan proporsi, seperti memadankan baju berpotongan singkat dengan seluar jeans longgar.

Secara keseluruhannya, bagi saya, gaya yang baik bermula dengan keyakinan diri. Apabila seseorang tahu cara menggayakan pakaian mengikut kesesuaian diri dan mampu membawakan penampilannya dengan yakin, itulah yang saya anggap sebagai gaya yang baik.

5. Berkaitan Dengan Tema ‘Celebrate Style’, Bagaimana Anda Meraikan Gaya Dalam Cara Tersendiri?

Selagi anda yakin dengan gaya sendiri, teruskan sahaja. Memang terdapat banyak rujukan fesyen yang boleh dijadikan inspirasi, tetapi tidak semestinya setiap gaya itu sesuai untuk kita. Saya rasa identiti gaya peribadi terbentuk secara perlahan-lahan melalui pengalaman dan pemerhatian terhadap orang di sekeliling. Daripada situ, kita boleh mengambil inspirasi dan menyesuaikannya mengikut cita rasa serta personaliti sendiri.

6. Satu Lagu Yang Bermain Di Fikiran Sekarang?

Buat masa ini, lagu Secondhand daripada Don Toliver. Saya suka lagu itu kerana bunyinya menggabungkan elemen hip-hop dengan melodi yang menarik. Sebenarnya, saya memang meminati muzik R&B, terutamanya lagu-lagu yang berentak perlahan. Sebab itulah saya suka Don Toliver, kerana muziknya mempunyai melodi yang begitu tersendiri.

Pautan berkaitan: GL THE MAN AWARDS 2026, “STAIL TERBAIK”- GAJEN CHANDRA

Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

GL THE MAN AWARDS 2026, “MAN OF INFLUENCE”-AMIRUL DANIAL

GL THE MAN AWARDS 2026, “MAN OF INFLUENCE” – AMIRUL DANIAL

Bacaan Lanjut
GL THE MAN AWARDS 2026, “STAIL TERBAIK”- GAJEN CHANDRA

GL THE MAN AWARDS 2026, “STAIL TERBAIK”- GAJEN CHANDRA

Bacaan Lanjut
UNDIAN GL THE MAN AWARDS 2026 BERMULA! KENALI 10 NOMINEE GL STYLE'S CHOICE

UNDIAN GL THE MAN AWARDS 2026 BERMULA! KENALI 10 NOMINEE GL STYLE’S CHOICE

Bacaan Lanjut
GL THE MAN AWARDS 2026 STYLE’S CHOICE

GL THE MAN AWARDS 2026 STYLE’S CHOICE

Bacaan Lanjut

AVANT-GARDE & HIGH FASHION DESIGNER “ON YOUR RADAR”

Bacaan Lanjut
RECAP GL THE MAN AWARDS 2025: 10 BEST LOOK PILIHAN GLAM LELAKI

RECAP GL THE MAN AWARDS 2025: 10 BEST LOOK PILIHAN GLAM LELAKI

Bacaan Lanjut