Skip to content

“KENANGKAN MAK ABAH DI TANAH SUCI BUAT SAYA TENANG” – LUAHAN QAIYUM RAHMAN, VITTI LODGE OSAKA

Kongsikan artikel ini

Insiden kekecohan melibatkan beberapa orang anak muda di sebuah rumah tumpangan di Osaka Jepun baru-baru ini ternyata mengejutkan. Rata-rata netizen mengutuk perbuatan tiga orang anak muda tersebut yang secara terangan melakukan perbuatan vandalisme dan buli selepas rakaman CCTV aksi mereka dirakam dan tular di media sosial. Kami di GL juga turut terkesan, mengecam perbuatan itu kerana ia melibatkan maruah dan adab rakyat Malaysia di negara orang secara amnya. Bak kata pepatah, angkara nila setitik, rosak susu sebelanga.

Namun di sebalik kekecohan, pasti ada hikmah atau sesuatu yang boleh dipelajari. Apa yang menarik perhatian GL adalah sikap serta attitude yang ditonjolkan oleh brader baju biru yang tular dek dirinya kelihatan tenang dalam mengawal keadaan walau dirinya diherdik dan dikasari oleh kumpulan individu terbabit. Atas sikap yang ditonjolkan dan wajar sekali dicontohi, penulis GL berjaya menghubungi dan menemubual secara atas talian individu yang dimaksudkan. Muhamad Abdul Qaiyum Bin Abdul Rahman merupakan pekerja di Vitti Lodge & Family Apartment Osaka Jepun. Namun siapakah dirinya, dan kisah benar di sebalik apa yang sebenarnya terjadi ketika kejadian. Semua itu penulis rungkaikan dengan temubual eksklusif kami bersamanya yang kini sedang berada di Jepun. Teruskan membaca.

GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan dengan kami informasi atau sejarah Vitti Lodge & Family Apartment. Bila beroperasi, siapa yang membuka perniagaan ini, kenapa dibuka di Osaka dan apa saja pembaca ingin tahu.

QAIYUM RAHMAN: Vitti Lodge & Family Apartment dibuka pada Julai 2009, hak milik sepenuhnya oleh Arab Sicilian Muslim iaitu Ema Vitti yang berpengalaman selama 26 tahun sebagai chef di hotel 5 bintang sebagai Head Chef. Ema Vitti menjalankan perniagaan restoran ini bermula 2007 sehingga 2014, selepas pertemuaan di antara beliau dengan Muhammad Soffi Roslan atau lebih dikenali sebagai Tok Sheikh yang mengembara ke Osaka dan menginap di Vitti Lodge ini ketika beliau mengalami masalah mencari tempat untuk solat dan mencari makanan halal di Jepun. Selepas pertemuan tersebut, Ema Vitti telah menukarkan semua operasi ke 100% Halal food dan dimasak oleh Muslim sahaja. Ternyata pertemuan Tok Sheikh membawa perubahan besar kepada dirinya dan Vitti Lodge. Sekarang, Tok Sheikh adalah salah seorang rakan usahasama yang menguruskan Vitti Lodge ini.

Pengasas Vitti Lodge & Family Apartment, Ema Vitti dan rakan usahasama, Muhammad Soffi Roslan (Tok Sheikh).

GLAM Lelaki: Kongsikan dengan kami perkhidmatan yang disediakan, dan kenapa Vitti Lodge harus dikunjungi bagi sesiapa saja yang datang ke Osaka, Jepun? Cerita sedikit perbezaan dengan rumah-rumah tumpangan yang lain.

QAIYUM RAHMAN: Di sini, kami memberikan layanan terbaik buat semua tetamu yang datang menginap seperti ahli keluarga sendiri. Kami turut menyediakan sebuah surau khas dan tempat wudhu. Malah, restoran Vitti Halal Cafe Osaka menyajikan masakan lebih dari 130 menu halal termasuk masakan Itali, Malaysia, Timur Tengah dan Jepun. Selain itu, kami menyediakan perkhidmatan pick up percuma warga emas dan kanak-kanak. Selain itu, kami turut menyediakan perkhidmatan Pusat Komunikasi untuk pengembara, basikal, Kansai Airport Transfer, day tours, business trip, pengangkutan dan tour guiding.

GLAM Lelaki: Boleh Qaiyum ceritakan serba sedikit tentang diri anda? 

QAIYUM RAHMAN: Baiklah, nama penuh saya Muhamad Abdul Qaiyum Bin Abdul Rahman. Saya lahir pada 14 Februari 1999, anak ketiga dari empat orang adik beradik. Saya memulakan pengajian saya dalam Pendidikan Budaya Jepun sejak tahun 2016.

GLAM Lelaki: Dan apa pula tugas utama Qaiyum di Vitti Lodge & Apartment?

QAIYUM RAHMAN: Tugas utama saya di Vitti Lodge adalah sebagai tukang cuci dan house keeping. Saya turut bertanggungjawab menyediakan ruang solat untuk tetamu, penyambut tetamu yang datang menginap, menyampaikan peraturan kepada tetamu serta menyemak bahan makanan halal untuk tetamu. Vitti Lodge Guest House adalah dari muslim untuk muslim, jadi bahan-bahan haram seperti alkohol dan daging khinzir atau sewaktunya adalah dilarang sama sekali.

GLAM Lelaki: Baru-baru ini, kecoh tentang kes 3 anak muda tempatan (Malaysia) yang membuat onar (vandalisme dan gangsterisme) di Vitti Lodge. Sebagai individu yang berada di tempat kejadian, mungkin Qaiyum boleh imbas semula apa yang benar-benar terjadi, dan apa yang berlaku di sebalik rakaman CCTV tersebut.

QAIYUM RAHMAN: Pada hari kejadian, seperti yang tersebar memang mereka bertiga terlepas penerbangan ke Malaysia akibat kesilapan tiket yang berlaku berlaku daripada mereka sendiri. Ketika itu, salah seorang daripada mereka membuat keputusan untuk menjamu dua orang rakan mereka yang lain dengan memasak Maggi. Waktu itu, saya baru saja habis kerja dan mahu pulang. Tetapi, seorang pekerja di café bawah lodge memberitahu saya yang dia risau akan apa-apa perkara buruk yang akan berlaku, antaranya mereka belum membuat sebarang pembayaran. Kedua, mereka selalu kotorkan dapur dan yang ketiga, sering kali masak di dapur lodge dan makan di restoran roti canai Vitti Lodge. Jadi, saya pun ditugaskan untuk menegur mereka tentang peraturan di Vitti Lodge. Dan apa yang berlaku seterusnya adalah apa yang anda semua dalam saksikan di dalam video CCTV tersebut.

GLAM Lelaki: Selain dari tindakan melampau yang ditonjolkan oleh ketiga-tiga anak muda tersebut, rakyat Malaysia terus memuji tindakan Qaiyum yang dilihat masih boleh bersabar dan tenang menghadapi kejadian itu, seterusnya menjadi contoh sikap yang harus dipuji dan diikuti. Apa yang ada di benak fikiran Qaiyum ketika itu?

QAIYUM RAHMAN: Saya kenangkan emak dan abah yang pada waktu itu sedang mengerjakan ibadat haji di mekah. Jadi, saya tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku yang hanya menjejaskan pengajian saya serta harapan mereka dan sanak saudara lain di Malaysia. Saya kekal tenang kerana saya tidak suka berkelahi. Saya fikir jika saya bertindak mengikut perasaan, perkara buruk boleh berlaku dan hanya akan menambahkan dosa dan menjadikan saya seorang yang bersalah. Jadi, lebih baik saya serahkan kepada Allah Ta’ala dengan penuh tawakkal dan percaya semua ini pasti ada hikmahnya. Saya tahu Allah sentiasa memerhati hamba-hambanya.

GLAM Lelaki: Apa benar Qaiyum menggunakan duit sendiri untuk memperbaiki kerosakan yang dilakukan oleh ketiga-tiga anak muda tersebut. Khabarnya, ini bukan pertama kali Qaiyum menggunakan duit sendiri. Boleh jelaskan?

QAIYUM RAHMAN: Ya, ini bukan pertama kali. Saya menggunakan gaji kerja sambilan saya di Jepun dan campurkan sedikit dengan wang yang ditinggalkan oleh abah dan emak saya sebelum mereka berangkat ke Mekah. Tetapi dengan janji yang mereka bertiga akan membayar semula wang tersebut kepada saya setelah mereka pulang ke Malaysia. Saya kasihankan mereka kerana masalah penerbangan yang dihadapi oleh mereka, namun saya tidak sangka kebaikan saya dibalas sebegini.

GLAM Lelaki: Baru-baru ini, mereka yang terbabit tampil membuat permohonan maaf. Sejujurnya, adakah anda sudah memaafkan mereka?

QAIYUM RAHMAN: Sedangkan nabi ampunkan umatnya. Ya, saya sudah maafkan mereka, walaupun seorang daripada mereka yang mencekik saya itu belum membuat sebarang permohonan maaf secara terbuka (hanya di FB sahaja) dan belum melangsaikan bayaran akan kerosakan yang dilakukan. Kami bagi pihak Vitti Lodge menuntut permohonan maaf secara live dari individu terbabit agar mengakui kesilapan dan perlu membayar balik ganti rugi.

Namun, saya tidak menafikan yang saya agak trauma dengan apa yang terjadi. Walaupun saya sendiri mempunyai kelayakan dalam seni mempertahankan diri (black belt dalam karate) serta taekwando, namun saya bersyukur saya masih mampu mengawal kemarahan dan tetap bersabar menghadapi kerenah budak-budak ini.

GLAM Lelaki: Selain dari isu vandalisme dan buli, antara isu berbangkit adalah isu najis yang ditinggalkan di bilik mandi tersebut. Baru-baru ini mereka menafikan berbuat demikian, tetapi bagaimana pula dengan pandangan Qaiyum dan pihak Vitti Lodge sendiri?

QAIYUM RAHMAN: Kami tidak merujuk atau menuduh mereka, hanya menganggap mereka suspek-suspek utama. Ini kerana sebelum ini ada juga kes pelancong dari Malaysia membuat perkara yang sama, cuma mereka bertiga adalah yang terakhir check out dari bilik tersebut. Jadi, anda yang membaca sajalah tentukan.

GLAM Lelaki: Apa agaknya harapan Qaiyum serta Vitti Lodge secara umumnya tentang apa yang sudah terjadi selepas ini?

QAIYUM RAHMAN: Saya dan pihak Vitti Lodge mengharapkan apa yang berlaku menjadi sebuah pengajaran yang baik kepada semua yang ingin melancong ke Jepun khususnya. Kita sepatutnya lebih memahami peraturan dan etika ketika melancong di negara orang. Pastikan anda menyediakan keperluan secukupnya jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.

GLAM Lelaki: Dalam tempoh 5 tahun akan datang, di mana Qaiyum melihat diri anda, dan Vitti Lodge sendiri?

QAIYUM RAHMAN: Pada 5 tahun yang akan datang, saya mungkin masih seorang pelajar dan ingin meneruskan pelajaran saya di bumi terbitnya matahari ini. Insya Allah. Untuk Vitti Lodge Guest House pula mungkin akan ada pertambahan bilangan rumah tumpangan bagi memudahkan pelancong terutama yang beragama Islam Untuk menginap di di sini. Untuk sebarang pertanyaan mengenai Vitti Lodge boleh  Whatsapp terus ke +60189888307 atau di FB, Vitti Lodge & Family Apartment / Vitti Halal Cafe Osaka.


Oleh Wan Mohd Firdaus, 21 Ogos 2017

 

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH

Bacaan Lanjut

STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID

Bacaan Lanjut
Ruark

SISTEM MUZIK REVOLUSIONER SIRI 100 RUARK MENGHUBUNGKAN ANDA DENGAN MUZIK

Bacaan Lanjut
10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

Bacaan Lanjut

BACHA COFFEE MEMBUKA DESTINASI SUMBANGANNYA DI SURIA KLCC

Bacaan Lanjut
senaman sakit pinggang

5 SENAMAN TERBAIK UNTUK KURANGKAN SAKIT PINGGANG

Bacaan Lanjut