Skip to content

DANIEL BOGERS, BEKAS PELUMBA MOTOR, KINI MENONJOL SEBAGAI INSPIRASI FITNESS & PENGULAS SUKAN

Kongsikan artikel ini

Daniel Bogers, bekas pelumba kini berkembang sebagai hos, pengulas sukan, dan figura kecergasan. Bekas pelumba motor ini mengubah haluan kerjayanya dengan menonjol di rangkaian media sebagai pengulas dan hos sukan, sambil menyalurkan minatnya dalam dunia kecergasan melalui penciptaan kandungan penuh inspirasi. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Danial Bogers (@danial.bogers)

Bolehkah Daniel kongsikan sedikit tentang perjalanan Daniel dalam dunia kecergasan dan content creation? Apakah yang mendorong anda untuk bermula?

Perjalanan saya bermula pada tahun 2023. Selepas pandemik COVID-19, berat badan saya meningkat sebanyak 16 kilogram dan mencecah lebih 80kg. Satu angka yang tidak pernah saya capai sebelum ini. Pada masa yang sama, perkembangan kerjaya perlumbaan saya terhenti akibat COVID-19, dan saya seolah-olah kehilangan arah.

Saya sedar bahawa saya tidak mahu terus berada dalam keadaan tidak cergas, dan pasti ada cara untuk menjadikan kesihatan sebagai satu gaya hidup walaupun saya bukan lagi seorang atlet profesional. Dengan pengetahuan sedia ada, saya berani mengambil risiko yang terkawal dan mencuba pelbagai jenis senaman serta diet melalui kajian dan latihan yang pernah saya lakukan sebelum ini. Daripada situ, saya mula berkongsi perjalanan tersebut di media sosial menerusi penciptaan kandungan. Untuk menunjukkan bahawa kecergasan dan gaya hidup sihat boleh menjadi sebahagian yang mudah dalam kehidupan seharian.

Bagaimanakah Daniel menggambarkan gaya peribadi? Adakah ia berubah dari semasa ke semasa?

Saya boleh katakan gaya saya berkembang seiring dengan peningkatan usia dan kerjaya. Dahulu, saya gemar mengenakan kemeja-T grafik dan jersi, dan sehingga kini saya masih memakainya sekali-sekala. Namun, gaya saya kini lebih cenderung kepada penampilan minimalis dengan sedikit sentuhan gaya tersendiri, termasuk elemen athleisure pada waktu tertentu.

Sepanjang perjalanan, bertemu dengan ramai individu yang berjaya membuatkan saya sedar bahawa penampilan yang menarik tidak semestinya perlu terlalu menonjol. Ia lebih kepada bagaimana seseorang membawa diri dan keyakinan dalam pakaian yang dipilih.

Apakah gaya peribadi Daniel, dan bagaimana anda mengikuti perkembangan fesyen lelaki?

Gaya peribadi saya kekal berteraskan konsep minimalis. Saya gemar mencari pakaian yang kelihatan ringkas di rak, tetapi tampak hebat apabila dipakai dan sesuai dengan bentuk badan saya.

Saya mengikuti perkembangan fesyen lelaki terutamanya melalui media sosial. Walaupun saya tidak sentiasa mengikut trend semasa, saya menggunakannya sebagai rujukan dan inspirasi untuk bereksperimen dengan gaya sendiri.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Danial Bogers (@danial.bogers)

Adakah terdapat trend atau aksesori fesyen tertentu yang sedang menarik perhatian Daniel ketika ini?

Tiada yang terlalu spesifik, tetapi saya gemar melihat bagaimana trend fesyen lama dikitar semula dengan sentuhan moden, seperti gaya Y2K. Sebagai pencinta hip hop, saya membesar dengan seluar jean longgar, budaya hip hop dan jenama seperti FUBU. Jadi, melihat seluar baggy dan elemen gaya tersebut kembali menjadi trend adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan.

Bolehkah anda kongsikan pengalaman kerja yang paling diingati setakat ini?

Terdapat banyak pengalaman bermakna, tetapi yang paling melekat dalam ingatan saya ialah melengkapkan tahun keempat sebagai pengulas dan wartawan penyiaran untuk Idemitsu FIM Asia Road Racing Championship, bekerjasama dengan Bajuu by Wardrobe, serta terpilih untuk menjadi pengulas bagi Idemitsu Asia Talent Cup di Sepang.

Pengalaman terakhir itu amat istimewa kerana ia merupakan kali pertama saya berpeluang bekerja bersama penganjur MotoGP World Championship (Dorna), dan juga kali pertama saya membuat ulasan secara solo untuk satu perlumbaan. Ia benar-benar satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan saya merasakan ia telah memberi impak besar terhadap hala tuju kerjaya saya.

Apakah nasihat anda kepada mereka yang baru memulakan perjalanan kecergasan?

Anda perlu percaya kepada proses. Ia mungkin mengambil sedikit masa, tetapi hasilnya pasti berbaloi. Sangat mudah untuk berasa patah semangat apabila membandingkan diri dengan orang lain, terutamanya apa yang kita lihat di media sosial. Namun, anda perlu ingat bahawa ia adalah tentang anda lawan diri anda sendiri.

Hanya dengan berusaha untuk hadir dan memulakan langkah sudah menjadikan anda versi diri yang lebih baik hari ini. Jadi, berbanggalah dengan usaha tersebut dan percayalah pada apa yang sedang anda lakukan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Danial Bogers (@danial.bogers)

Siapakah sumber inspirasi anda?

Dalam dunia sukan, inspirasi saya ialah Valentino Rossi, Fabio Di Giannantonio dan Lionel Messi. Dari segi fesyen pula, inspirasi saya ketika ini ialah Tim Dessaint.

Apakah projek terbaharu anda?

Projek terbaharu saya ialah menghasilkan colour stories untuk siaran kejohanan perlumbaan seperti Idemitsu FIM Asia Road Racing Championship dan Petronas Malaysian Cubprix. Ia merupakan satu cabaran yang saya berikan kepada diri sendiri, dan saya amat bersyukur kerana penerbit serta ketua saya memberi kepercayaan untuk saya bereksperimen dalam bidang ini.

Pengalaman ini sangat bermakna buat saya kerana ia membantu mengembangkan kemahiran dalam suntingan, penulisan skrip dan penceritaan secara keseluruhan.

Siapakah jenama atau individu impian anda untuk bekerjasama?

Bagi jenama, sudah tentu saya ingin bekerjasama dengan Alo sekali lagi, Bajuu by Wardrobe, serta impian zaman kanak-kanak saya iaitu Abercrombie & Fitch—walaupun yang terakhir itu mungkin kekal sebagai impian buat masa ini (haha).

How does the year 2025 have treated you?

Tahun 2025 merupakan satu perjalanan yang penuh liku. Sebahagian besarnya indah, namun detik-detik yang membawa saya kembali berpijak di bumi nyata adalah sesuatu yang perlu untuk saya mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam.

Alhamdulillah, saya belajar lebih banyak tentang diri saya pada tahun 2025 berbanding sebelumnya, dan saya merasakan pengalaman ini telah mempersiapkan saya untuk tahun 2026 yang lebih hebat. Saya benar-benar teruja menantikannya!

Artikel berkaitan: EDDY SYAMIN, “TAHUN 2026 ADALAH TENTANG FOKUS DAN PERTUMBUHAN.”

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

eddy

EDDY SYAMIN, “TAHUN 2026 ADALAH TENTANG FOKUS DAN PERTUMBUHAN.”

Bacaan Lanjut

OSKAR LEE, SEIMBANG ANTARA SUKAN DAN STAIL. “SAYA MEMANG AKTIF SUKAN SEJAK KECIL.”

Bacaan Lanjut
IKON BARU DUNIA FIT MALAYSIA: NEXT-GEN FITFLUENCERS

INSPIRASI BAHARU DUNIA FITNESS MALAYSIA: ‘NEXT-GEN FITFLUENCERS’

Bacaan Lanjut
kulit berjerawat

KETAHUI 7 CARA UNTUK MENGATASI KULIT BERJERAWAT DAN SENSITIF UNTUK KAUM LELAKI

Bacaan Lanjut

HYROX: PERLUMBAAN FITNESS PALING ‘NEXT LEVEL’ UNTUK LELAKI MASKULIN

Bacaan Lanjut

PILATES: SENAMAN BAHARU UNTUK LELAKI MODEN

Bacaan Lanjut