Skip to content

RESEPI RAHSIA HAEL HUSAINI: DISEBALIK KEJAYAAN DUA DASAWARSA DALAM INDUSTRI MUZIK

DUA DEKAD HAEL HUSAINI: ANTARA AMBISI, EVOLUSI DAN LEGASI

Kongsikan artikel ini

Pengarah Kreatif: JOHAN KASSIM, Pengarah Seni Kanan: KHAIRANI RAMLI, Pereka Seni Grafik: NURIN AFRINA , Pembantu Editorial: BATRISYIA FAISAL, Dandanan: CKAY LIOW Grooming: SHENG SAW, Gambar: CHEE WEI Teks & temu bual: NUHA ADAM

Salah satu perkara yang paling saya kagumi ialah melihat individu yang masih memiliki semangat luar biasa dalam berkarya. Lihat sahaja figura legenda tempatan seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang sanggup mendalami seni tarian tradisional demi menjayakan persembahan konsert Gema Bumantara baru-baru ini. Begitu juga Dato’ M. Nasir menerusi siri konsert Ciptaan Dekad Kelima. Namun, ketika menemu bual Hael Husaini baru-baru ini, saya menemukan semangat yang sama dalam dirinya.

Iaitu sebuah kecintaan mendalam terhadap seni dan kerjaya yang diceburinya. Semangat untuk terus bereksplorasi, berkembang dan memberikan yang terbaik. Tanpa pernah kehilangan rasa cinta terhadap apa yang dilakukannya.

Saya pernah beberapa kali bersua dengan Hael Husaini. Namun, dua pertemuan terdahulu sekadar diisi perbualan santai seperti “I like your outfit!” atau “Where did you get your bag?”. Tetapi, sebaik sahaja perbualan menyentuh soal muzik, ada sesuatu yang berubah. Mata Hael seakan-akan bercahaya, manakala senyumannya tidak pernah lekang daripada wajah. Satu ekspresi yang cukup menggambarkan kecintaan mendalam terhadap bidang yang diceburinya. Selain keyakinan terhadap kebolehan dan potensi dirinya sebagai anak seni.

Barangkali, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa muzik telah menjadi sebahagian besar daripada kehidupannya, memandangkan hampir separuh daripada usianya didedikasikan kepada dunia ini. Hael bukan sekadar berjaya bertahan dalam industri yang sentiasa berubah, malah terus berdiri lebih teguh dengan identiti dan prinsip seninya sendiri. Lantas, apakah sebenarnya rahsia di sebalik perjalanan dan legasi yang sedang dibinanya? Hael Husaini kembali bersama GLAM Lelaki untuk cover November 2026.

Baju, blazer, seluar & kasut, ONITSUKA TIGER

Tahniah atas kemenangan di  Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini! Bagaimana perasaan Hael?

Terima kasih! Sudah tentu saya berasa amat berbesar hati, lebih-lebih lagi apabila berjaya meraih anugerah Vokal Terbaik. Sejujurnya, saya agak terkejut kerana ini merupakan kemenangan pertama saya di Anugerah Industri Muzik (AIM) sebagai artis solo di bawah nama Hael Husaini. Saya pernah membawa pulang anugerah AIM sebelum ini. Namun ketika itu sebagai anggota kumpulan. Jadi, kemenangan kali ini cukup istimewa kerana ia merupakan pengiktirafan pertama sepanjang perjalanan kerjaya solo saya.

Satu lagi pengiktirafan yang diraih Hael baru-baru ini ialah bagi kategori Tontonan Muzik Video Tertinggi untuk lagu Meriah Lain Macam. Sejauh mana Hael menikmati proses menghasilkan muzik video? Dan adakah ia merupakan salah satu aspek kreatif yang paling digemari dalam perjalanan bermuzik?

Semestinya! Saya memang gemar meneroka setiap aspek kreatif dalam kerjaya saya. Khususnya dalam penghasilan muzik dan muzik video. Sejujurnya, saya tidak menyangka lagu raya tersebut akan meraih jumlah tontonan muzik video tertinggi. Bagi saya, lagu raya mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana ia mampu menyatukan orang ramai. Dan paling penting, mencetuskan rasa gembira.

Apa yang lebih menarik, menjelang Aidilfitri, kebanyakan pendengar lazimnya akan kembali kepada akar tradisi, termasuk dalam pemilihan lagu raya. Jadi, apabila sebuah lagu raya yang berjiwa moden mendapat sambutan sebegini, ia sememangnya satu kejutan yang menggembirakan. Ia juga menjadi pembakar semangat baharu buat saya untuk terus bereksperimen dan menghasilkan karya yang berbeza.

Sebulan yang lepas, Hael turut melancarkan single kolaborasi bersama Mimifly berjudul Garah. Boleh Hael ceritakan bagaimana kolaborasi ini bermula dan apakah yang mendorong Hael untuk berkolaborasi dengannya dalam projek ini?

Sebenarnya, lagu ini sudah lama dihasilkan. Kira-kira lima tahun yang lalu. Pada asalnya, impian saya adalah untuk menyanyikan lagu ini bersama Allahyarham M. Daud Kilau. Sebab itu, lagu ini mempunyai elemen cheeky dengan sentuhan dangdut Melayu yang cukup kuat. Tetapi, apakan daya, tiada rezeki untuk merealisasikan impian tersebut.

Selepas itu, saya memperdengarkan lagu ini kepada Mimi dan bertanya sama ada dia berminat untuk berkolaborasi. Tanpa berfikir panjang, respons Mimi cukup spontan, ‘Okay, damn. Let’s go!’ Dari situ, segalanya mula bergerak dan akhirnya terhasillah kolaborasi Garah.”

Baju, sweater zip-up, seluar & kasut, ONITSUKA TIGER

Hael dilihat cukup mengambil berat tentang penerimaan dan pandangan pendengar terhadap setiap karya yang dihasilkan. Bagaimana Hael mencari keseimbangan antara kepuasan artistik sendiri dengan jangkaan dan cita rasa pendengar?

Selepas sekian lama berada dalam industri. Saya rasa perkara paling penting bagi seseorang artis adalah untuk memahami apa yang ingin disumbangkan kepada industri. Kita sememangnya mahu menjadi autentik dalam berkarya dan mengekalkan identiti sendiri. Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak boleh terlalu syok sendiri. Bagi saya, keseimbangan itu penting. Saya rasa saya sudah menemui the key untuk menggabungkan muzik yang saya gemari dengan apa yang dekat di hati pendengar. Sebenarnya, ada ‘resepi’ tersendiri untuk mencapainya. Apa yang penting adalah bagaimana kita menterjemahkan cita rasa sendiri menjadi sesuatu yang turut boleh dinikmati oleh orang lain.

Hmm…Interesting. Kalau begitu, boleh Hael kongsikan sedikit tentang ‘resepi’ yang dimaksudkan itu?

Resepinya sebenarnya cukup mudah, iaitu trust your guts. You know when it’s good. Setiap kali menghasilkan lagu, saya akan cuba membayangkan bagaimana orang lain akan mendengarnya. Dan apakah perasaan yang ingin saya sampaikan menerusi karya tersebut. Bagi saya, muzik bukan tentang memaksa orang untuk mendengar apa yang kita hasilkan. Sebaliknya, saya mahu mencipta lagu yang boleh dekat dengan pendengar, sehingga mereka mampu mengaitkan lirik, melodi dan mesejnya dengan kehidupan masing-masing. Apabila sesebuah lagu itu boleh mencetuskan hubungan sebegitu dengan pendengar. Pada saya, itulah kejayaan sebenar sesebuah karya.

Setelah dua dekad menceburi industri seni. Apakah satu perkara paling besar yang Hael pelajari sepanjang perjalanan ini?

Perjalanan hampir 20 tahun dalam industri ini telah mengajar saya terlalu banyak perkara. Saya percaya ramai anak seni sebenarnya bermula sebagai individu yang introvert. Mungkin mereka tidak begitu ekspresif dalam meluahkan perasaan atau menyuarakan pendapat. Tetapi seni menjadi medium untuk mereka menyampaikan apa yang terbuku di dalam diri. Bagi saya, itulah keistimewaan seni.

Selain itu, perjalanan kerjaya yang bermula secara perlahan turut mengajar saya untuk sentiasa merendah diri, tidak kira dengan siapa saya berurusan atau di mana pun saya berada. Pada akhirnya, kita harus ingat dari mana kita bermula dan tidak sesekali membiarkan kejayaan mengubah siapa diri kita.

Baju, jaket, seluar & kasut, ONITSUKA TIGER

Lirik dan melodi, manakah yang lebih menjadi keutamaan?

Pada saya, perkara pertama yang paling penting ialah melodi kerana melodi menjadi penghubung kepada keseluruhan nuansa dan penyampaian sesebuah lagu. Sekiranya melodi tidak mampu mengangkat lirik yang baik. Maka hilanglah asas kekuatan lagu tersebut. Saya juga sentiasa mencari pendekatan berbeza untuk menyerlahkan bait-bait tertentu dalam sesebuah lagu. Antaranya melalui permainan kord yang lebih unik. Bagi saya, perincian sebegini mampu memberikan warna dan emosi tersendiri kepada sesebuah karya.

Pernahkah Hael mengalami creative block? Bagaimana Hael mengatasinya?

Bagi saya, ia bukanlah creative block. Sebaliknya lebih kepada rasa penat. Muzik sudah sekian lama menjadi impian dan sebahagian besar daripada kehidupan saya. Jadi, pada fasa ini, saya masih menikmati setiap proses dalam menghasilkan muzik. Sudah tentu ada masanya saya berasa letih. Tetapi kepuasan terbesar adalah apabila melihat hasil karya sendiri berjaya direalisasikan dan mendapat tempat di hati pendengar. Itulah yang menjadi pengubat penat dan sumber semangat untuk saya terus berkarya

Hael sering dilihat bergandingan dengan penyanyi wanita dalam menghasilkan karya kolaborasi. Misalnya, Dayang Nurfaizah, Nadeera, DOLLA dan terbaharu, Mimifly. Adakah terdapat sebab tertentu?

Saya sebenarnya bukan seorang yang cerewet dalam soal kolaborasi. Malah, saya sentiasa terbuka dan menantikan peluang untuk bekerjasama dengan artis lelaki juga. Cuma, mungkin kerana artis wanita lebih ekspresif dan proaktif dalam menyuarakan hasrat untuk berkolaborasi, jadi mereka lebih kerap menghubungi saya terlebih dahulu.

Baju, blazer, seluar & tali pinggang, ONITSUKA TIGER

Kolaborasi lagu pertama Hael bersama Dayang menerusi lagu Haram ternyata membuka ruang kepada banyak lagi kerjasama selepas itu. Mengapakah Hael ingin terus memilih Dayang sebagai rakan kolaborasi?

Siapa yang tidak mahu bekerja dengan Dayang, bukan? (ketawa). Dia merupakan figura yang cukup ikonik dalam industri seni Malaysia. Sebelum Haram, saya sebenarnya pernah menghasilkan sebuah lagu bersama Dayang berjudul Dia. Cuma, ketika itu, Hael masih belum Hael. Namun, saya sudah merasakan impian saya untuk bekerjasama dengannya menjadi kenyataan.

Bagi lagu Haram pula, pada asalnya ia dirancang sebagai sebuah lagu solo. Namun, tiga hari sebelum penggambaran muzik video, saya merasakan ada sesuatu yang masih kurang dalam lagu tersebut. Jadi, saya mengambil risiko dengan menghubungi pengurus Dayang untuk menawarkan kolaborasi ini. Alhamdulillah, rezeki saya apabila Dayang bersetuju.

Kami terus merakamkan lagu tersebut dan pada keesokan harinya, saya memperdengarkannya kepada team saya. Sebaik sahaja Dayang menyanyikan nota pertama, saya tahu bahawa dialah tuan kepada lagu tersebut. Memang berani mati keputusan itu! Itulah antara risiko kreatif yang saya ambil, tetapi ternyata ia membuahkan hasil.

Hael sentiasa bereksperimen dalam muzik. Tetapi apakah jenis muzik yang paling Hael gemar ciptakan?

All of it. Terutama yang baru-baru. Saya sentiasa mencabar diri terutamanya dari sudut sonik dan penerokaan bunyi. Saya juga gemar mendengar serta mendalami karya artis-artis baharu kerana di situlah saya menemukan inspirasi dan perspektif muzik yang segar. Walaupun umur tidak muda, saya berjiwa muda.

Apakah elemen atau karakter yang paling menggambarkan essence muzik Hael?

Ramai yang pernah bertanya soalan ini kepada saya. Tetapi, rahsianya sebenarnya terletak pada kepercayaan terhadap diri sendiri. I have a golden ear. I know when it’s a hit. Bukanlah niat saya untuk overclaim, tetapi saya bangga dengan pencapaian yang telah saya raih setakat ini. Ada kalanya, saya sanggup menyimpan sesebuah lagu lebih daripada setahun sekiranya merasakan ia masih belum mencapai tahap kesempurnaan yang saya inginkan.

Bagi saya, proses menghasilkan muzik ini sama seperti memasak. Selagi rasanya belum menepati cita rasa, kita perlu terus menambah perisa dan memperbaiki setiap aspek sehingga mendapat hasil yang ingin dihidangkan.

Jaket, seluar, tali pinggang & beg, ONITSUKA TIGER

Diluar industri, apa hobi Hael selain mencipta dan menulis lagu?

Memancing ikan liar. Saya bukanlah seorang yang penyabar. Jadi, memancing, terutama di ceruk-ceruk, banyak mengajar Hael tentang sabar dan tenang. Saya suka pergi ke Royal Belum dan boleh duduk situ buat sehari suntuk. I love the wildness of the fish there. Kuat dia tarik joran, terasa seperti berlawan dengan diri sendiri.

Hael juga seorang yang ternama dalam dunia fesyen. Diluar hari-hari glamor, apa stail yang Hael akan pilih?

Apa sahaja yang mudah dan selesa. Apapun yang dipakai, asalkan rasa yakin dengan diri sendiri, itu sudah memadai.

Artikel berkaitan: GLAM LELAKI OKTOBER 2026: GL THE MAN AWARDS 2026

Mengintegrasikan fesyen dan advokasi, one article at a time.

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

the weeknd KL

PERSONALITI YANG HADIR KE KONSERT AFTER HOURS TIL DAWN KL!

Bacaan Lanjut

DORM GL: DIANTARA PERSONA FANTASI DAN REALITI NIK RIFAIE

Bacaan Lanjut
DORM GL: ARKA ANTAGONIS MUAZ ZABIR

DORM GL: ARKA ANTAGONIS MUAZ ZABIR

Bacaan Lanjut
DORM GL: BAKAT BERDIMENSI ZAIRI AZIZ

DORM GL: BAKAT BERDIMENSI ZAIRI AZIZ

Bacaan Lanjut
DORM GL: SUSUNAN LANGKAH EVERTTS GOMES

DORM GL: SUSUNAN LANGKAH EVERTTS GOMES

Bacaan Lanjut
DORM GL: SETAHUN KEDALAM PERALIHAN INDUSTRI GBRIL

DORM GL: SETAHUN KEDALAM PERALIHAN INDUSTRI GBRIL

Bacaan Lanjut