6 PEMBUNUH SPERMA: BENAR ATAU MITOS?
Buat kaum Adam yang menginginkan cahaya mata, kiraan dan kualiti sperma amat penting.
Justeru ramai bakal bapa berminat untuk tahu apakah aktiviti dan tabiat yang boleh membahayakan sperma. Ada banyak mitos dan khabar angin tentang perkara ini, namun realitinya kebanyakan aktiviti yang dilakukan lelaki tidak menjejaskan kesuburan mereka.
GL kongsikan tabiat yang dikatakan boleh mempengaruhi kualiti sperma dan kebenaran di sebaliknya.
1. Komputer Riba
Dari segi kiraan dan kualiti sperma, terdapat beberapa bukti bahawa komputer riba dengan sambungan Wi-Fi boleh menjadi pembunuh utama.
Menerusi kajian yang diterbitkan dalam jurnal Fertility and Sterility, sampel sperma dikumpul daripada 29 lelaki dan sebahagiannya disimpan secara normal manakala selebihnya di bawah komputer riba.
Sperma dalam sampel komputer riba didapati kurang keupayaan berenang dan mempunyai lebih banyak kerosakan DNA. Ini sekali gus menjejaskan peluang untuk menimang cahaya mata.
Faktor lain yang mungkin menjejaskan kualitinya adalah haba daripada komputer riba. Bagaimanapun masih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan perkara ini.
2. Tab Mandian Panas

Foto: Freepik
Walaupun benar haba daripada tab mandian panas mungkin menjejaskan kiraan dan kualiti sperma dari semasa ke semasa, para lelaki tidak perlu risau. Melainkan jika anda menghabiskan masa berjam-jam di dalamnya beberapa kali sehari.
Terdapat kaitan antara tab mandian panas serta haba di bahagian skrotum dan penurunan kesuburan. Bagaimanapun penggunaan secara sederhana tidak menimbulkan masalah.
3. Memakai Seluar Dalam Ketat
Briefs atau seluar dalam ketat sering dikatakan sebagai punca ketidaksuburan kerana alat kelamin tidak bebas bergerak dan tidak mendapat pengudaraan yang baik. Namun kebenarannya ia tidak menjejaskan kualiti mahupun kiraan sperma.
“Kebanyakan isteri akan menyuruh suami bertukar kepada boxer, tetapi sebenarnya ia tidak perlu. Sangkaan mereka seluar dalam ketat meningkatkan suhu skrotum. Bagaimanapun impaknya tidaklah besar sehingga boleh menyebabkan ketidaksuburan,” kata Dr Robert Kaufmann, MD, pakar endokrinologi reproduktif.
4. Aktiviti Berbasikal

Foto: Freepik
Berita buruk buat lelaki yang gemar berbasikal. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa aktiviti ini mungkin boleh membunuh sperma.
Satu kajian terhadap atlet lumba basikal Sepanyol mendapati mereka mempunyai kualiti dan kiraan sperma lebih rendah berbanding atlet dalam sukan lain.
Kajian tambahan terhadap penunggang basikal kompetitif jarak jauh menunjukkan bukti serupa. Bagaimanapun untuk menentukan kesahihannya, kajian lebih besar terhadap populasi umum diperlukan.
5. Telefon Bimbit
Satu artikel daripada University of California menghimpunkan beberapa hasil kajian mengenai impak telefon bimbit terhadap sperma dan menunjukkan penemuan buruk.
Lapan daripada sembilan kajian mendapati terdapat kesan negatif terhadap kiraannya yang berpunca daripada telefon bimbit. Terutama apabila ia disimpan di dalam poket seluar.
“Telefon bimbit memancarkan radiasi dalam bentuk gelombang elektromagnet. Ia mungkin mempunyai kesan buruk pada sel yang diperlukan untuk perkembangan sperma dalam testis,” kata Dr Ryan Terlecki, MD, pembantu profesor urologi di Wake Forest Baptist Medical Center.
6. Merokok

Foto: Freepik
Apabila bercakap tentang cara mengelak masalah ketidaksuburan, penting untuk mengetengahkan tabiat tidak sihat ini. “Merokok dikaitkan dengan banyak masalah kesihatan termasuk sperma,” kata Dr Robert Kaufmann.
Selama bertahun-tahun, kajian mendapati masalah kiraan dan kualiti sperma rendah adalah lebih tinggi di kalangan perokok tegar. Penyelidikan lain menunjukkan aktiviti merokok memberi kesan negatif terhadap kromosom sperma. Jadi tabiat ini perlu dihentikan segera jika tidak mahu ia menjejaskan kesuburan anda.
Foto: Marymarkevich/Freepik
Pautan berkaitan: 3 SEBAB MENGAPA LELAKI GAGAL CAPAI EREKSI & CARA ATASI
Tags
Artikel Yang Berkaitan
5 WANGIAN PILIHAN GLAM LELAKI SEMPENA HARI KEKASIH
Sempena Hari Kekasih, pemilihan wangian yang tepat boleh mencipta kenangan kerana wangian bukan sekadar pelengkap gaya.
VALENTINE HAMPIR TIBA, LELAKI GROOMING PLEASE!
Hari Valentine hampir tiba, dan tidak kira apa pendirian anda —sama ada anda menyambutnya, menolaknya, atau tidak peduli, GROOMING please!
5 WANGIAN LELAKI MASKULIN MASA KINI
GLAM Lelaki menyenaraikan wangian terbaik daripada aroma berasaskan kayu pilihan Justin Bieber hingga bau vanila kegemaran Tom Brady.
FORMULASI TIME TRAVEL DARI EUCERIN
Inovasi time travel Eucerin dalam anti-penuaan yang buat anda kelihatan lima tahun lebih muda dalam empat minggu.
JANGAN AMBIL MUDAH JANGKITAN KULAT PADA ALAT SULIT LELAKI!
Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko lelaki untuk mendapat jangkitan kulat.
5 AMALAN UNTUK MENGATASI MASALAH KEGEMUKAN DI KALANGAN LELAKI
Jangan ambil mudah kerana obesiti boleh menyumbang kepada pelbagai isu kesihatan termasuk diabetes dan kolesterol tinggi.